Abaikan Lobi Tembakau dan Gubal Undang-undang Kawalan Tembakau

Industri tembakau dan pihak berkepentingan kini sedang melancarkan kempen di media bagi mempengaruhi penggubal undang-undang supaya menolak “Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok (GEG)”. Penggubal undang-undang tidak seharusnya menyerah kepada tekanan dan melepaskan tanggungjawab mereka kepada orang ramai untuk menggubal undang-undang bagi melindungi nyawa dan kesihatan mereka. Mereka perlu menggubal undang-undang itu dalam sidang Parlimen yang akan datang tanpa sebarang kelewatan lagi.

Apa yang paling mengejutkan ialah gesaan oleh Pengamal Perubatan Swasta Malaysia “untuk mempertimbangkan sains pengurangan bahaya sebelum tergesa-gesa dengan undang-undang  generasi penamat.” Apakah yang mereka maksudkan dengan ini? Kajian saintifik telah mengakui akan hubungan antara merokok dan kanser serta penyakit utama lain. Empat ratus orang mati setiap hari akibat kanser kerana merokok. Berapa lama lagi kita akan menunggu sebelum mengambil langkah berkesan untuk membendung bencana ini?

Menghisap tembakau merupakan ketagihan yang diperolehi selama bertahun-tahun dan oleh sebab itu rang undang-undang GEG ini bertujuan untuk menghentikannya dengan menyasarkan generasi muda. Secara bertahap, dalam beberapa tahun, penamatan tembakau ini boleh dicapai.

Malaysia merupakan penandatangan Konvensyen Rangka Kerja mengenai Kawalan Tembakau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FCTC), perjanjian pelbagai hala yang mengikat secara sah yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan tembakau dan pendedahan kepada asap tembakau. Kami komited untuk mengambil langkah bagi mencapai objektif FCTC dan Rang Undang-undang Tembakau adalah hasilnya.

Kerajaan kita telah melaksanakan pelan strategik untuk mematuhi komitmen kita di bawah FCTC. Pelan Strategik Kebangsaan Kawalan Tembakau 2015-2020 (NSPTC) bertujuan bagi memperkukuh lagi pelaksanaan kawalan tembakau di negara ini. NSPTC mempunyai sasaran jangka sederhana untuk mengurangkan kelaziman merokok kepada 15% menjelang 2025, serta sasaran jangka panjang untuk mencapai “penamat” tembakau di Malaysia menjelang 2045. Rang Undang-undang Tembakau ini telah difikirkan dengan baik, rasional dan satu perundangan yang munasabah untuk mencapai objektif NSPTC dan FCTC.

Satu lagi kumpulan yang menentang rang undang-undang GEG ini ialah pengedar vape melalui persatuan mereka. Rizani Zakir dan Ridhwan Rosli, yang mewakili pengedar vape, mendakwa telah mengumpul 600,000 tandatangan petisyen secara dalam talian yang menentang RUU tersebut. Dakwaan itu boleh dipertikaikan. Tetapi jawapan ringkasnya kepadanya ialah dasar dan undang-undang kesihatan tidak diputuskan melalui petisyen dalam talian tetapi melalui proses yang ditetapkan.

Rang undang-undang ini telah melalui proses perundingan dan, akhirnya, selepas Jabatan Peguam Negara dan Jemaah Menteri memberi kebenaran, ia dibentangkan di Parlimen. Pandangan pihak berkepentingan telah diambil kira. Kesihatan dan nyawa manusia lebih penting daripada keuntungan peniaga vape. Kami juga ingin mengingatkan mereka bahawa terdapat Fatwa yang melarang vape.

Ia juga telah dilaporkan bahawa pemilik lebih daripada empat puluh kedai kopi dan restoran telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap Rang Undang-undang itu. Mereka tidak menentang undang-undang GEG itu tetapi bimbang mengenai penguatkuasaannya. Ia kini dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang menangani isu berperlembagaan dan penguatkuasaan. Kerajaan telah bersetuju dengan beberapa perubahan dalam peruntukan berkaitan penguatkuasaan untuk menyesuaikan dengan kebimbangan peniaga. Oleh itu mereka tidak perlu risau.

Sehubungan itu, kami menggesa penggubal undang-undang agar mengabaikan sahaja taktik penangguhan oleh lobi tembakau dan meneruskan untuk meluluskan Rang Undang-undang GEG ini.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar /Surat kepada Pengarang, 28 September 2022