ADAKAH INDUSTRI TEMBAKAU AKAN CAMPUR TANGAN DALAM RANG UNDANG-UNDANG KAWALAN PRODUK TEMBAKAU YANG DICADANGKAN?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Malaysian Green Lung Association ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia atas sokongan beliau berhubung pelaksanaan dasar Generasi Penamat (GEG) semasa pembentangan Belanjawan 2023.

Kami juga turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas cecair rokok elektronik selaras dengan Artikel 6 Konvensyen Rangka Kerja WHO mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC) yang memperuntukkan bahawa cukai dan langkah-langkah harga ke atas produk tembakau dan rokok juga mesti digunakan untuk cecair rokok elektronik.

Ini bermakna setiap cukai yang dikenakan perlu disusuli dengan undang-undang untuk menaikkan harga runcit dan menjadikannya tidak mampu terutama sekali kepada kanak-kanak dan remaja.

Kami merasa amat kecewa kerana produk tembakau yang mengandungi nikotina, larutan cecair atau gel akan dikecualikan di bawah Akta Racun 1952.

Ini akan membolehkan rokok elektronik yang mengandungi nikotina dijual di pasaran untuk keseronokan dan tidak dianggap sebagai racun.

Oleh sebab itu, kami ingin menegaskan bahawa pelaksanaan cukai ini mestilah didahului dengan kelulusan Rang Undang-undang dengan peruntukan GEG agar kredibiliti Kerajaan Perpaduan terjamin.

Pelaksanaan ini akan memberi gambaran positif kepada masyarakat bahawa Kerajaan Perpaduan sememangnya sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat khususnya golongan yang mudah terjejas iaitu kanak-kanak dan remaja.

Kami juga turut menggesa agar rang undang-undang ini dibentangkan dengan segera. Ini kerana terdapat khabar angin bahawa industri tembakau telah mengemukakan cadangan undang-undang baharu menggunakan Akta Makanan 1983 sedia ada.

Kami ingin mengingatkan pelobi industri tembakau bahawa mereka akan melanggar WHO FCTC kerana ia secara jelas memperuntukkan dalam Artikel 5.3 bahawa “Dalam menetapkan dan melaksanakan dasar kesihatan awam mereka berkenaan dengan kawalan tembakau.

Pihak yang terlibat hendaklah bertindak untuk melindungi dasar-dasar ini daripada kepentingan komersial dan lain-lain kepentingan industri tembakau mengikut undang-undang negara”.

Kerajaan tidak seharusnya dipengaruhi oleh pelobi industri dan perlu menggubal undang-undang yang melarang campur tangan sedemikian.

Sungguh ironi bahawa tembakau, vape dan rokok elektronik yang membahayakan kesihatan kita diletakkan setanding dengan makanan.

Undang-undang 1983 telah meletakkan kegunaan berkaitan tembakau di bawah Seksyen 36 Akta Makanan. Ia tidak sepatutnya berlaku, tetapi ia berlaku dan kekal dalam Akta selama 40 tahun yang lalu!

Kita tidak seharusnya mengulangi kesilapan yang sama dengan memasukkan rokok elektronik, vape, dan kini rokok yang diproses daripada daun herba (termasuk daun teh) ke dalam Akta Makanan pada kali ini.

Ia sepatutnya menjadi Akta Kawalan Tembakau yang berdiri sendiri untuk mengawal ketat produk ketagihan ini.

Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan agar tidak mudah mengalah dengan desakan industri tembakau yang bermotifkan keuntungan semata-mata.

Kebijaksanaan kerajaan dalam membuat keputusan yang tepat akan memastikan rakyat khususnya generasi akan datang bebas daripada gejala ketagihan nikotina.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

 

Kenyataan Akhbar, 2 Mac 2023