Sekali lagi kita mendengar hasil keluaran Malaysia ditolak oleh negara lain. Terbaharu air mineral botol ditarik balik oleh pihak berkuasa Singapura. Air mineral botol itu didapati mengandungi Pseudomonas aeruginosa – bakteria yang biasa ditemui dalam najis, tanah, air dan kumbahan.
Adalah sesuatu yang amat pelik apabila insiden seperti ini tidak ditemui oleh pihak berkuasa tempatan walaupun dianggarkan rakyat Malaysia meminum lebih daripada 100 juta air botol setahun. Memandangkan kepada situasi ini ramai pengguna rakyat Malaysia mungkin meminum air tercemar.
Undang-undang utama yang mengawal keselamatan makanan di negara ini adalah Akta Makanan 1983, Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Tujuannya adalah untuk melindungi orang ramai daripada penipuan dan bahaya yang berkaitan makanan, untuk menggalakkan persediaan yang selamat, pengendalian, pengedaran dan jualan makanan berkualiti tinggi dan sihat.
Memandangkan keselamatan makanan perlu dikekalkan daripada pengeluaran hinggalah kepada pengambilannya, banyak kementerian dan agensi terlibat dalam proses ini. Antaranya ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, pihak berkuasa tempatan dan Kastam (untuk import dan eksport makanan).
Meskipun kewujudan undang-undang dan badan penguatkuasa yang diamanahkan untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia mendapat makanan yang selamat dan berkhasiat, kita jarang mendengar hasil keluaran tempatan kita ditarik balik.
Bagaimanapun banyak makanan Malaysia ditarik balik di negara asing di samping penolakan air mineral sepertimana yang dilaporkan:
- Pada 2018, iceberg lettuce ditarik balik oleh pihak berkuasa Singapura selepas ia dikesan mengandungi paras racun makhluk perosak yang tinggi dalam sayuran yang diimport dari ladang Malaysia.
- Pada 2017, China menolak buahan dari Cameron Highlands akibat kehadiran organisme ubah suai genetik (LMO)*.
- Pada 2016, udang Malaysia, kebanyakannya dari kolam akuakultur Pulau Pinang, ditolak oleh kerajaan AS akibat kehadiran antibiotik yang diharamkan (nitrofuran dan chloramphenicol).
- Pada 2015, kira-kira 300 kumpulan sayuran – kebanyakannya sayuran berdaun hijau dan buahan dihentikan daripada dijual di Singapura, selepas sisa racun makhluk perosak ditemui dalam sampel melebihi paras yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Dikatakan 3%-5% sayuran dan buahan dari Malaysia melebihi had racun makhluk perosak yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Singapura.
Memandangkan kepada rekod buruk hasil pertanian, sejak 1 Mei, pengeksport hasil pertanian Malaysia ke Singapura perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan untuk memiliki tanda pengenalan MyFood Tag yang merupakan mekanisme untuk mengukuhkan kawalan keselamatan makanan dan mengesannya dalam rantaian bekalan makanan.
Sementara ia adalah satu pensijilan secara sukarela di Malaysia, hasil keluaran tanpa MyFood Tag tidak dibenarkan memasuki Singapura.
Proses pensijilan ini mengaudit pengeluaran, penyimpanan, pengangkutan, pemprosesan dan pengedaran bahan makanan. Sistem MyFood Tag ini seharusnya dijadikan mandatori untuk memperbaiki keselamatan makanan bagi rakyat Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye, keperluan MyFood Tag untuk hasil keluaran ini untuk Singapura adalah permintaan daripada pihak berkuasa Singapura dan akan hanya dilaksanakan untuk sayuran dan buahan segar pada masa ini.
Kerajaan perlu menjalankan pemeriksaan secara berterusan, tidak kira sama ada sayuran untuk dieksport atau penggunaan tempatan. Sayuran yang tidak selamat mestilah dikeluarkan dari pasaran dan petani yang menjual sayuran dan buahan yang tidak selamat mestilah dikenakan hukuman.
*LMO didefinisikan sebagai sebarang organisme hidup yang mempunyai kombinasi bahan genetik yang diperolehi melalui bioteknologi moden. Bioteknologi moden membolehkan pemindahan gen antara organisme berbeza. Pada masa ini produk LMO diimport ke negara kita termasuklah biji benih, makanan haiwan dan beras. LMO biasa termasuklah tanaman pertanian yang telah diubah suai secara genetik untuk pengeluaran yang lebih besar atau bagi rintangan kepada makhluk perosak atau penyakit.
Surat Kepada Pengarang, 8 Julai 2019