“Agroekologi untuk Semua: Inisiatif di Malaysia” – INSTITUSI PENDIDIKAN

SANGGA SINNAYAH: Mengintegrasikan alam sekitar dan pertanian dalam pembelajaran harian

Guru Besar Sangga Sinnayah meninggalkan pelajar yang peduli alam sekitar.

Sejak sedekad lalu, bekas Guru Besar, Sangga Sinnayah telah menerima pujian dan sanjungan atas usahanya dalam memperkenalkan konsep agroekologi, menyemai kesedaran alam sekitar dan mengamalkan pertanian organik di sekolah yang diajarnya.

Walaupun pendidikan alam sekitar semakin berakar umbi dalam sistem pendidikan pada alaf ini, Sangga masih ingat bermula pada 1983 semasa kerjaya awalnya sebagai guru. Tanpa pengetahuan pihak sekolah, dia membawa kanak-kanak mendaki.

Dia kemudiannya mengusahakan kebun sayur di sekolah dan meluaskan lagi aktivitinya dengan juga turut memasukkan ciri-ciri alam sekitar yang lain.

“Saya tidak dapat memahami apa yang mendorong saya ke arah ini. Persekitaran tempat saya dibesarkan semasa kecil menyemai nilai menghormati alam semula jadi dalam diri saya. Alam semula jadi memberi saya keseronokan yang luar biasa. Rumah saya dikelilingi dengan kebun sayur.

“Pada ketika itu, ayam-ayam berkeliaran dan lembu-lembu meragut dan merumput adalah satu pemandangan biasa. Di tempat saya, pisang berbuah dengan subur sepanjang tahun, dan kami memakan pisang yang masak sepuas hati dan juga berkongsi dengan jiran kami.

“Sayur-sayuran bebas daripada bahan kimia toksik. Istilah seperti ‘ditanam secara organik’ dan ‘makanan organik’ tidak pernah didengari. Semua yang kami makan adalah sangat asli dan lazat. Saya rasa mungkin ada keinginan mendalam dalam diri saya untuk mengembalikan gaya hidup yang berharga itu,” kenang Sangga.

Mantan Guru Besar, Sangga Sinnayah mula menerapkan pendidikan alam sekitar ke dalam kurikulum, empat dekad lalu.

Apabila Sangga menjadi guru besar pada tahun 2009, beliau menggunakan kedudukannya untuk memasukkan pendidikan alam sekitar ke sekolah yang diajarnya. “Dasar pendidikan kita sebenarnya telah digubal untuk menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar. Ia bergantung kepada budi bicara guru untuk mentafsir dasar dan mengasimilasikan pendidikan alam sekitar dengan sewajarnya untuk manfaat kanak-kanak,” tegas Sangga.

Kebun sayur pertama Sangga diusahakan di SJK Tamil Changkat, Pulau Pinang, pada 2009. Beliau menanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan menyedari bahawa pelajar teruja untuk mempelajari selok-belok pertanian.

Aktiviti alam sekitar dan pertanian lebih meluas di SJK Tamil Sungai Ara, di mana beliau berkhidmat dari tahun 2011 hingga 2019. Bersama-sama dengan sayur-sayuran, guru dan pelajar menanam pokok pisang, yang menjadi sumber pendapatan untuk sekolah.

Makanan tradisional Malaysia seperti batang pisang dan bunga, dan ubi kayu mendapat sambutan apabila dijual kerana nilai pemakanannya yang tinggi. Pendapatan yang diperoleh sekolah melalui jualan sayur-sayuran ini mencecah RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Panduan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat berguna dalam penyediaan penggalak pertumbuhan seperti pancakavya dan asid amino ikan, bagi memastikan pertumbuhan sihat tanaman.

“Pelajar paling menggemari aktiviti alam sekitar kerana ia merupakan satu kerehatan bagi mereka daripada kepompong kediaman pangsapuri dan kesusahan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan.

Semasa aktiviti ini, mereka membebaskan diri, bereksperimen dengan menanam, menikmati pertumbuhan tanaman mereka, teruja untuk menuai sayur-sayuran mereka sendiri, belajar memasak di kawasan lapang, menikmati hidangan yang dimasak sendiri, dan kemudiannya membersihkan diri.

Semua ini meningkatkan keyakinan mereka, menanamkan rasa tanggungjawab, dan meningkatkan kreativiti dan inovasi. Tidak dinafikan, ada ibu bapa yang menentang perkara ini, tetapi semuanya berjalan lancar apabila sekolah ini mengungguli dalam peperiksaan di peringkat sekolah rendah bagi seluruh Negeri Pulau Pinang,” kata Sangga. Ini dengan sendirinya adalah bukti pendekatan holistik oleh Sangga.

Pelajar terlibat dalam aktiviti pembersihan pantai.

Seiring dengan aktiviti bercucuk tanam, Sangga juga menjalankan aktiviti sifar sisa di sekolahnya. Semua guru dan pelajar di sekolahnya membawa bekas makanan masing-masing. Pihak sekolah tidak mengedarkan botol air mineral dalam sebarang aktivitinya. Terutama sekali, pihak sekolah mengulangi konsep menolak sisa, yang Sangga percaya ia merupakan elemen terpenting dalam aktiviti sifar sisa.

Katakan “Tidak” kepada mana-mana produk apabila ia diperkenalkan kepada kami akan menjimatkan banyak masa dan tenaga dari segi mencari jalan dan cara untuk mengitar semula atau membuangnya. Malah, menolak adalah salah satu cara yang paling mudah dan paling menjimatkan kos untuk mengekalkan sistem ekologi.

Ia merupakan kelebihan tambahan kepada sekolah kerana aktiviti yang dilaksanakan juga selaras dengan 17 matlamat pembangunan mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang merangkumi antara lain ialah kesihatan dan kesejahteraan yang baik, pendidikan berkualiti, bandar dan komuniti yang mampan, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab.

“SJK Tamil Sungai Ara berjaya melaksanakan 11 daripada 17 SDG dan disebabkan pencapaiannya, ia merupakan satu-satunya sekolah yang dijemput untuk mengambil bahagian sebagai tetamu khas dalam Sidang Kemuncak SDG PBB yang diadakan di Kuala Lumpur pada 6 November 2019,” kata Sangga dengan penuh semangat.

Sangga bersara sebagai guru pada Jun 2022. “Saya yakin persaraan adalah permulaan kepada penerokaan baharu. Saya menyewa tanah seluas 10,000 kaki persegi di Balik Pulau, Pulau Pinang untuk bercucuk tanam mengikut rentak saya sendiri.

Ini adalah satu perjalanan saya untuk berhubung secara aman dengan alam semula jadi. Saya bersedia menggunakan peluang ini untuk mempelajari nuansa pertanian dan lebih mendalami alam semula jadi. Inilah yang saya perlukan selepas hampir empat dekad bekerjasama dan berkomunikasi dengan pelajar, guru, dan masyarakat secara amnya,” rumus Sangga.

Agroecology Fund