“AGROEKOLOGI UNTUK SEMUA: Inisiatif di Malaysia” – KEBUN BANDAR 

LETCHUMY SATHIAH
Formula Mudah untuk Kebun Bandar yang Subur

Letchumy Sathiah.

Kemerosotan alam sekitar dan keprihatinan kita terhadap agroekologi yang sedang kita tangani sekarang ini  mungkin tiada dalam pemahaman Letchumy Sathiah. Tetapi kehidupannya menyentuh banyak aspek ini. Menyelamatkan bumi bukan dalam agendanya. Namun begitu, aktiviti hariannya menjurus ke arah itu. Dia secara senyap melakukan usahanya untuk meningkatkan kualiti persekitaran tempat tinggalnya dan dengan rendah hati menganggapnya sebagai tingkah laku untuk menjalani kehidupan yang produktif dan bermakna.

Semasa zaman kanak-kanak dan remajanya di ladang getah, keluarga Letchumy memiliki petak tanah yang besar yang ditanam dengan sayur-sayuran dan diternak lembu, memberikan mereka sumber sayur-sayuran dan susu yang baik. Najis lembu digunakan untuk menyuburkan tanah, ini bermakna penanaman adalah mudah dan hasil tuaiannya adalah melimpah-ruah.

Letchumy menjaga sendiri kebunnya. Kebun itu menghasilkan kebanyakan sayur-sayuran yang diperlukan untuk kegunaan harian. Sayur-sayuran tambahan dibekalkan secara percuma kepada ahli keluarga dan rakan yang jauh.

Bagaimanapun, selepas perpindahan pekerja estet, tanah menjadi masalah utama. Keluarga itu tidak mempunyai pilihan selain menjual lembu mereka. Namun begitu, itu tidak menghalang Letchumy dalam apa cara sekalipun untuk menanam dan makmur.

Letchumy, 74, berkahwin pada usia 14 tahun, dan dalam tempoh itu, pertanian menjadi sumber pendapatannya. Dua puluh lima tahun lalu, ketika dia mula-mula berpindah ke rumahnya sekarang di Taman Tun Sambanthan, Sungai Siput, Perak, tanah di sebelah rumahnya penuh dengan konkrit dan kerikil yang ditinggalkan selepas kerja pembinaan rumah baharunya.

Perlahan-lahan, dia membersihkannya dan mula menanam pelbagai jenis sayur-sayuran, herba, dan pokok. Sejak itu, berkebun dan menanam menjadi amalan hariannya. Tiada hari berlalu tanpa menjaga tanaman, menggali tanah, atau menuai.

Bahan-bahan penting dalam masakan India, daun kari dan cili tumbuh subur di kebun Letchumy. Disebabkan oleh bekalan nutrien yang berterusan, masalah makluk perosak dan penyakit biasa yang dihadapi oleh penanam dengan cili tidak wujud di kebunnya.

Semangatnya terhadap tanaman dan ilmu herba yang diwarisi daripada ibu mertuanya membuatkan dia terus menerokainya. “Pada peringkat awal, apabila saya cuba menanam herba atau tanaman tertentu, ia tidak menjadi sihat seperti yang saya jangkakan. Tetapi saya perhatikan tanaman yang sama tumbuh dengan baik di timbunan sampah dan di celah-celah di sepanjang longkang. Itu adalah satu pendedahan untuk saya.

MEMBERI MAKAN BURUNG. Letchumy memberi makan burung yang melawat kebunnya. Dalam tempoh dua jam selepas temu bual dengan Letchumy, kami melihat empat jenis burung berkicauan riang di kebunnya. Burung-burung ini memakan serangga perosak yang memusnahkan tanaman dan meninggalkan sisanya. Kedua-dua ini meningkatkan mikroorganisma dan menyuburkan tanah.

“Semua tanaman memerlukan bekalan nutrien yang berterusan, dan timbunan sampah (kebanyakannya dengan sisa makanan) dan longkang berfungsi sebagai tempat penyimpanan nutrien untuk tanaman tumbuh subur. Saya mengambil konsep ini, mengubah suainya, dan menerapkannya pada kebun saya. Apabila anda memerhati alam semula jadi dengan teliti, ia mendedahkan pelbagai rahsianya,” kata Letchumy.

Kebun Letchumy kini mempunyai lebih daripada 50 jenis herba, tanaman dan pokok. Kecuali ikan, daging, minyak, dan beberapa rempah ratus, kebanyakan bahan masakannya diperolehi dari kebunnya sendiri.

Sisa dapur harian Letchumy tidak dibuang. Dia menambahkan air kepada sisa dapur (seperti kulit bawang dan bawang putih, kulit buah, daun teh, kulit telur, tulang ikan, dan sebagainya.), mengisarnya dengan kasar, dan kemudiannya dibiarkan menapai sekitar 8-10 jam. Keesokan paginya, dia menapis cecair dan menyiramkannya pada setiap tanaman. Dengan cara itu, dia memastikan setiap tumbuhan mendapat bahagian nutrien yang saksama daripada sisa dapur yang ditapai.

Sisa dapur yang dicincang dan diperam mencukupi untuk mengekalkan kebun yang subur, kata Letchumy.

Tanaman menyerap nutrien dengan cepat melalui cecair yang sedikit ditapai. Sisa daripada penapisan itu kemudiannya digunakan pula di sekeliling tanaman. Sisa ini merosot dengan cepat kerana ia telah dicincang dan juga telah melalui beberapa proses penapaian.

“Di rumah kami, tiada satu pun bahan kompos masuk ke tong sampah. Sisa makanan anak cucu semuanya berakhir di kebun. Apabila mereka makan, saya akan memastikan walaupun kulit sayuran yang dikunyah dibuang ke dalam tong yang dikhaskan untuk mengisar dan menapai.

MENYIMPAN DAN BERKONGSI BENIH. Letchumy menyimpan benih tanamannya sendiri dan mengedarkannya kepada kalangan rakan dan kenalannya yang ramai. Dengan pengetahuan yang banyak mengenai herba, dia membantu orang di sekelilingnya mendapatkan kelegaan daripada penyakit yang sederhana.

“Sisa dapur yang dicincang mengambil masa yang lebih singkat untuk menjadi kompos berbanding ketika kita meletakkannya secara keseluruhan. Tanah dan air yang ditapai bukan sahaja berfungsi sebagai kompos tetapi juga sebagai penghalau makhluk perosak kerana kehadiran bawang putih, bawang merah, dan cili, yang merupakan bahan penting dalam masakan harian kita. Makhluk perosak amat membenci bau ini,” jelas Letchumy.

Letchumy berjaya membuktikan bahawa sisa dapur sahaja sudah memadai untuk tukang kebun rumah sepertinya. “Sisa dapur menjaga kedua-dua kesuburan tanah dan masalah makhluk perosak. Jadi pada asasnya, tidak ada sebab untuk seseorang itu tidak menanam.

“Dalam kes saya, beban membeli baja dan penghalau makhluk perosak tidak timbul kerana saya menghasilkan kedua-duanya dari rumah saya. Jadi berkebun tidaklah membebankan seperti yang difikirkan,” kata akhirnya.

Agroecology Fund