Menyatukan komuniti dan memupuk mereka kepada amalan ekologi yang baik melalui kebun komuniti meningkatkan alam sekitar dengan pesat dan menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk didiami. Pada masa yang sama, ia menyemai rasa tanggungjawab dan memupuk perpaduan dan perikatan dalam kalangan sesama ahli.
Kebun komuniti di Tanjung Bungah, Pulau Pinang dan Gombak, Selangor, menunjukkan contoh yang sempurna bagaimana orang lain boleh menyumbang ke arah persekitaran yang lebih bersih dan selamat.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………..
DR KAM SUAN PHENG: Memulihkan Sungai dan Menghubungkan Penduduk
Kebanyakan daripada kita akan gembira merebutnya jika ditawarkan peluang untuk tinggal di tempat yang dikelilingi oleh bukit-bukit yang hijau, sungai yang berliku-liku, dan taman-taman yang indah. Namun, itu menjadi semakin mustahil dalam keadaan Malaysia sekarang, di mana alam semula jadi terus dilupuskan daripada kerimbunannya dan digantikan dengan hutan konkrit.
Untuk mencapai sedikit daripada apa yang kita dambakan, perkara yang paling boleh kita lakukan ialah memainkan peranan kita dalam memulihkan semula alam semula jadi, seperti yang ditunjukkan oleh pakar tanah dan saintis Datin Dr Kam Suan Pheng.
Dr Kam, yang juga ahli aktif Penang Forum, menyuarakan mengenai perubahan iklim, pencemaran sungai, dan pembangunan bukit dan memainkan peranan penting dalam mengubah beberapa keadaan serius dalam alam sekitar kita.
Kebun komuniti bandar yang diusahakan oleh Dr Kam di atas tanah seluas suku ekar di sebelah Sungai Kelian di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah sebenarnya, berpunca daripada semangatnya untuk memulihkan semula sungai itu. Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan sungai, pada 2019, Dr Kam bersama pasukannya menjalankan kajian ke atas dua sistem sungai di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Salah satu sungai itu ialah Sungai Kelian. Semasa kajian, tanah terbiar di sebelah sungai itu menarik perhatiannya. Dia melakukan tinjauan untuk mengetahui bagaimana penduduk mahu tanah itu digunakan, dan majoriti memutuskan untuk mewujudkan kebun komuniti bandar. Selepas melalui beberapa prosedur dengan JPS dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kebun bandar dimulakan pada April 2021.
Mengingati sekatan Covid-19 pada tempoh itu, kumpulan WhatsApp ditubuhkan untuk menjelaskan tujuan kebun komuniti dan menggalakkan penglibatan penduduk di kebun itu. “Pada masa ini, kami mempunyai 90 ahli dalam kumpulan itu. Walaupun kesemua mereka tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti kebun, mereka mengambil bahagian dalam bertukar-tukar idea, biji benih dan pengalaman berkebun.
“Pada peringkat awal, penduduk di kawasan sekitar berganding bahu bagi membersihkan semak samun dan mengalihkan konkrit yang tertimbus, dengan bantuan MBPP. Tanah itu kemudiannya dibahagikan kepada petak, yang diperuntukkan kepada penduduk yang menyatakan minat dalam pertanian bandar. Setiap petak hendaklah diuruskan oleh satu kumpulan.” jelas Dr Kam.
Chuah Seong Yuen, mempunyai pertalian dengan sebuah syarikat pembinaan, dan penduduk lain membantu dengan menyumbang bahan binaan yang boleh dikitar semula seperti batu bata, palet kayu, tiang buluh, pagar logam yang dibuang, peti kayu, dan sebagainya. Dengan cara itu, kebun itu dibentuk dengan perbelanjaan yang minimum dan dengan usaha gotong-royong ahli membina pagar sempadan serta pelbagai tugas penyelenggaraan.
Chuah dan ahli lain turut membawa anak-anak mereka ke kebun dan memperkenalkan mereka kepada tanaman. “Saya ajar mereka untuk membezakan antara tanaman dan rumpai. Kanak-kanak sepanjang hari melihat gajet mereka. Tanaman menjadi asing bagi mereka. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memperkenalkan semula anak-anak kita kepada alam semula jadi. Saya rasa ini adalah langkah pertama yang perlu kita ambil jika kita mengambil berat tentang keselamatan makanan.
“Pada mulanya, anak-anak saya memberontak, tetapi akibat desakan yang berterusan, mereka mengalah. Kini mereka membantu saya merumput. Saya menjelaskan kepada mereka mengenai pendebungaan dan kepentingannya dalam pengeluaran makanan. Mereka juga memberi makan ikan di sungai berhampiran,” kata Chuah.
Khoo Hooi Lay, seorang pemuzik, memastikan kebun komuniti berkembang subur dengan penjagaannya yang berterusan. Hampir setiap hari, dia akan berada di kebun menjaga tanaman dan menjalankan uji kaji dengan tanaman Mediterranean yang dimanfaatkannya selama 9 tahun ketika tinggal di Jerman.
Tanaman Mediterranean seperti oregano Mexico, pudina Jepun, pudina oren, tarragon Mexico, rosemary, balsem lemon dan kucai menarik minatnya, kerana nilai perubatan tanaman itu, dia cuba menanamnya di kebun itu.
Sebaliknya, semua jenis tanaman tempatan seperti terung dan tebu tumbuh dengan baik di atas tanah. Khoo mempromosikan nilai perubatannya dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan.
Ahli yang berminat telah menghadiri latihan pertanian semula jadi CAP dan mempelajari kaedah menjaga tanaman, menyediakan penggalak pertumbuhan dan penghalau perosak untuk melindungi dan meningkatkan pertumbuhan tanaman. Ini meningkatkan lagi keyakinan mereka dan menjadikan mereka tukang kebun yang berpengetahuan.
Pada masa ini, kita menjalani kehidupan yang dikelilingi oleh dinding konkrit dan sering bergerak dengan kereta, dengan itu menyumbang kepada peningkatan jejak karbon kita. “Kebun komuniti ini adalah sebahagian daripada rancangan untuk taman sungai di sepanjang 350 meter Sungai Kelian, yang akan menyediakan sambungan antara dua taman kejiranan MBPP di sebelah sungai.
Laluan berjalan kaki baharu yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sepanjang tebing bertentangan sungai dari kebun sedang dijalankan. Ia menyediakan akses kepada penduduk untuk berjalan di sepanjang sungai dan bersambung ke pasar basah Tanjung Bungah yang berhampiran.
Oleh itu, pada masa hadapan, kita akan dapat melihat lebih ramai orang menggunakan laluan untuk berjalan ke pasar sambil menikmati kebun, taman dan pemandangan sungai secara serentak,” kata Dr Kam.