“AGROEKOLOGI UNTUK SEMUA: Inisiatif di Malaysia” – KERJA KOMUNITI

Farid Izzeady bin Amir Wahiduddin.

FARID IZZEADY BIN AMIR WAHIDUDDIN
Mengubah Tanah Pertanian Tandus menjadi Tanah Kebun yang Subur

Farid Izzeady bin Amir Wahiduddin lulusan ijazah Sarjana Muda Sains Alam Sekitar dan Pengarah Urusan Diribumi Ecological Services (DES), menyediakan perundingan mengenai kaedah pertanian organik dan bekerja secara aktif untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar.

Usaha Farid bermula daripada cintanya kepada penduduk luar bandar. Beliau mahu membawa beberapa perubahan positif kepada kehidupan masyarakat luar bandar melalui pengetahuan alam sekitar yang diperoleh daripada pendidikan universitinya, yang melahirkan  Diribumi Ecological Services.

Izzeady (di tengah) bekerja untuk kebaikan suku Temiar, masyarakat orang asli di Gua Musang, Kelantan, yang hidupnya terjejas teruk akibat aktiviti pembalakan.

Menganjurkan program ceramah untuk pelajar, aktiviti meredah hutan untuk menghubungkan semula belia dengan alam semula jadi, mengenal pasti amalan pertanian terbaik komuniti dan menghubungkannya dengan orang awam, memperkenalkan semula amalan pertanian tradisional, mengambil bahagian dalam perbincangan serantau untuk berkongsi pengetahuan mengenai agroekologi dan amalan pertanian tradisional, mempromosikan dan menghidupkan semula kepelbagaian makanan tradisional adalah antara aktiviti yang terus berkembang melalui penganjurannya.

Farid adalah kisah kejayaan. Setakat ini mereka telah bekerja di 10 buah kampung. Daripada jumlah itu, tujuh kampung mengamalkan kaedah pertanian kimia. Dengan agroperhutanan  (agroforestry) sebagai tema mereka, selepas pelbagai program ceramah dan latihan, kampung-kampung itu kini telah menghapuskan bahan kimia pertanian secara berperingkat dan menanam padi dan sayur-sayuran secara organik.

Membimbing masyarakat orang asli Temiar untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dengan mengamalkan kemahiran pertanian asli.

Di tiga kampung lagi, mereka memulakannya semula dengan organik. “Pemilik tanah membiarkan tanah pertanian mereka tidak diusahakan. Kami mendekati dan meyakinkan mereka mengenai manfaat serta keperluan penting untuk pertanian organik, tidak lama kemudian mereka bertindak, memberi kehidupan kepada tanah tandus dengan memperkenalkan semua teknik pertanian asli.

“Bagi penanaman padi, kami memperkenalkan kaedah System of Rice Intensification (SRI) kepada petani. Kami melatih petani dari awal mengenai cara mengolah tanah, menanam, dan menuai serta semua butiran lain mengenai menggugurkankan bahan kimia toksik dan menggantikannya dengan input organik.

“Kami memberi amaran kepada petani terlebih dahulu mengenai kemungkinan hasil tuaian jatuh dalam percubaan pertama mereka, memandangkan tanah memerlukan masa untuk pulih semula selepas semua serangan toksik yang dilalui akibat daripada kaedah pertanian konvensional,” jelas Izzeady.

Menubuhkan pertanian perhutanan asas di kebun kecil getah untuk masyarakat orang asli Semai di Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang.

Penduduk kampung ini bersifat merendah diri dan pemurah. Mendekati mereka untuk tujuan murni membuahkan hasil pada kebanyakan masa. Kami percaya tanah yang tandus perlu dijadikan tanah pertanian asli sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan keselamatan dan kedaulatan makanan,” kata Izzeady.

“Kami juga turut bekerjasama dengan orang asli. Mata pencarian orang asli Temiar, komuniti orang asli Gua Musang, Kelantan, terjejas teruk akibat aktiviti pembalakan. Akibatnya, kemahiran orang Temiar yang berasaskan hutan untuk mencari rezeki terjejas teruk.

“Bagi melindungi kehidupan mereka, kami menubuhkan Kebun Mandiri Orang Asli (Ladang Organik Orang Asli). Ia bertujuan untuk menyediakan latihan mengenai pertanian asli yang membolehkan mereka menghasilkan makanan sendiri sambil mengekalkan gaya hidup dan tradisi mereka,” katanya.

Latihan Sistem Intensifikasi Padi (SRI) untuk petani.

Diribumi Ecological Services juga merangka rancangan untuk aktiviti pengkomposan. “Setakat ini, kami telah membuat perjanjian dengan 10 pemilik restoran di kawasan Taiping dan melabur dalam mesin mencarik sisa.

Kami merancang untuk mengumpul 3 tan sisa setiap bulan. Rancangan untuk menghubungkan pelajar universiti bagi mengkaji nilai pemakanan kompos itu juga dalam perancangan,” tambahnya.

“Semua aktiviti kami adalah menjurus ke arah memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan belia dan orang ramai serta memotivasikan penduduk kampung untuk beralih kepada kaedah pertanian yang lebih selamat,” rumus Izzeady.

Agroecology Fund