“AGROEKOLOGI UNTUK SEMUA: Inisiatif di Malaysia” – PETANI

Yahqappu Adaikalam, petani yang mengambil berat mengenai biodiversiti, menjual hasil kebunnya di tanah kebunnya di Batu Asrang, Selangor.

YAHQAPPU ADAIKKALAM
Berbakti kepada Pertanian

Tanah Yahqappu Adaikkalam seluas 1½ ekar di Batu Arang, Selangor mempamerkan semua ciri agroekologi penting bagi melindungi bumi daripada cengkaman agrokimia yang menakutkan. Dua puluh tahun mengamalkan pertanian asli menjadikan Yahqappu seorang petani yang baik yang mengutamakan alam sekitar dalam apa jua keadaan.

Yahqappu mempunyai paling sedikit toleransi untuk kerja rutin. “Saya tidak boleh kekal terpaku di satu tempat. Dalam proses menentukan kerjaya yang betul, saya mendapati bahawa pertanian asli sesuai dengan sifat saya.

Ramuan pancakavya yang dibuatnya memastikan tanah sentiasa subur.

“Sejak saya mula bertani, percubaan menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dalam hidup saya. Cabaran harian yang dihadapi dalam pertanian  adalah peluang untuk percubaan, kegagalan dan pencapaian baharu. Saya merasa diberkati dalam erti kata bahawa pertanian sentiasa menghubungkan saya dengan alam semula jadi dan  mengubah saya menjadi seorang yang berfikir,” kata Yahqappu.

Yahqappu berkata bahawa jika seseorang itu memahami keperluan tanah dan memperoleh teknik yang betul untuk memastikan ia subur dengan nutrien yang betul, maka dia adalah tuan tanah yang sebenar.

“Penggunaan agrokimia yang berleluasa telah menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada tanah. Adalah amat menyedihkan apabila melihat ramai petani Malaysia tidak dapat melihat melangkaui pendapatan, dan mereka tidak menyedari keuntungan adalah jangka pendek.

“Contohnya, satu dekad yang lalu, penanaman bunga melati sedang popular di sekitar kawasan saya. Semua desas-desus tentang berapa banyak keuntungan yang boleh diperolehi melalui penanaman bunga melati itu kini telah reda.

Ramuan pancakavya memanfaatkan banyak tanaman di ladangnya.

“Alasan di sebalik semua ini adalah penggunaan bahan kimia pertanian yang banyak. Perlahan-lahan, tanah itu mengecewakan mereka. Apa lagi yang kita boleh harapkan daripada tanah yang telah dirampas seluruh nutriennya?

“Ini mengingatkan saya kepada perumpamaan mengenai arnab dan kura-kura. Seperti arnab yang terpedaya dengan kepantasan dan kekuatannya sendiri, petani berpendapat mereka boleh mencapai sasaran semata-mata dengan bergantung kepada bahan kimia pertanian, tanpa menyedari hakikat bahawa toksin tersebut sebenarnya adalah perosak kepada seluruh usaha mereka.

“Petani asli adalah seperti kura-kura. Mereka mungkin lambat, tetapi mencapai sasaran, dan lebih-lebih lagi, dengan kesabaran dan ketekunan, ia membantu mengekalkan alam semula jadi,” jelas Yahqappu.

Dengan kaedah ramuan pancakavya yang dipermudahkan, tanahnya sentiasa subur dan hasil tuaiannya melimpah ruah.

Yahqappu berkata kaedah pengkomposan cacing tanah yang dipelajarinya daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat berguna dalam mengekalkan kesuburan tanah di ladangnya. Dia menjual kompos cacing tanah itu dengan harga RM5.00 sekilogram.

Selain itu, lembu, ayam, dan arnab yang diternaknya, melalui najisnya, terus membantu memperkayakan tanah di ladangnya.

Yahqappu juga mencuba mengeluarkan minyak bijan kerana sifat kesihatan minyak bijan yang banyak dan permintaannya yang tinggi.Selepas mengeluarkan minyak, sisa bijan digunakan dalam penyediaan ramuan pancakavya yang dipermudahkan.

Satu genggam sisa bijan, 3 liter air kencing lembu, 5kg tahi lembu, dan 300 gram molases dicampurkan bersama dalam bekas. Campuran ini dikacau pada waktu pagi dan petang selama 48 jam, selepas itu ia sedia untuk digunakan.

Rumpai yang tumbuh di ladang dipotong dan diselerakkan di atas tanah yang sama. Pancakavya yang dipermudahkan itu kemudiannya disimbah sama rata pada rumpai dan ditutup dengan tikar kawalan rumpai berliang. Penyejatan air harian di bawah tikar itu membantu mengekalkan kelembapan dan mempercepatkan proses pengkomposan.

MENGURUS LADANG DENGAN CARA TRADISIONAL. Yahqappu tidak menunggu pelanggannya. Dia terus bergelumang di kebun manakala hasil kebunnya terbiar di atas meja di tepi jalan. Hanya dengan bunyi loceng yang menandakan kedatangan pelanggan. Yahqappu akan bergegas untuk bertemu pelanggannya. Dengan cara itu, katanya, dia mempunyai lebih banyak masa untuk menjaga tanah dan menjual hasil pertaniannya. 
Yahqappu dengan ramuan pancakavya yang dipermudahkan.

Selepas sebulan, apabila tikar dibuka dan mencedok tanah keluar, ia menjadi rapuh, tanda pengkomposan yang sempurna dan kesuburan tanah.

Mengikut anggaran Yahqappu, satu ekar tanah ladang memerlukan 10 tan kompos. Pancakavya yang dipermudahkan itu mempunyai dua tujuan iaitu mengawal rumpai dan mengubahnya menjadi kompos.

Yahqappu berkata kawalan makhluk perosak bukan lagi menjadi kebimbangannya. Apabila keseimbangan ekologi dipulihkan dan dikekalkan, makhluk perosak dan makhluk lain dijaga secara semula jadi. Pembasmian sepenuhnya makhluk perosak tidak mungkin dilakukan di mana-mana ladang, apatah lagi ia bertentangan dengan alam semula jadi.

Pada masa ini, Yahqappu menanam sayur-sayuran seperti bendi, terung, kacang panjang, labu ular, tebu dan pelbagai jenis sayuran berdaun. Selepas tamat jualan pada hari itu, baki sayur-sayuran dihantar ke pasar raya berdekatan di mana ia dipamerkan di rak yang dikhaskan untuk hasil organik.

Yahqappu tidak menggaji mana-mana pekerja di ladangnya. “Bertani adalah kebaktian bagi saya. Saya sedih melihat pekerja menjalankan tugas tanpa sebarang minat, dan saya sedar mereka juga menderita dalam proses itu. Ketika itulah saya memutuskan untuk bergerak sendiri. Jika anda kekal tenang dan gigih, akhirnya alam semula jadi akan memberikan ganjaran kepada anda,” rumus Yahqappu.

 

Krishnaveni dan Ganesan, dari Batu Arang adalah pelanggan Yahqappu. “Saya suka rasa bendi yang berbeza,” kata Krishnaveni.
Rosli Ab Ghani dari Negeri Sembilan tidak pernah gagal untuk singgah ke gerai sayur Yahqappu setiap kali berkunjung ke rumah anak perempuannya di Batu Arang. Katanya minyak bijan membantu pertumbuhan rambut.

Agroecology Fund