
CHUAH JIUNN HARNG
Memulihkan Semula Tanah dan Mewujudkan Semula Kehidupan
Chuah Jiunn Harng, dengan panggilan mesra “Jake”, mengembangkan impiannya untuk menjadi petani organik semasa belajar bioteknologi di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Semasa membuat latihan di sebuah universiti yang lain, sebahagian daripada tugasnya adalah membantu pelajar Sarjana dalam membuat penyelidikan mengenai makanan ubah suai genetik. Pelajar-pelajar ini berusaha untuk meningkatkan lagi nilai pemakanan betik dengan memanipulasi kandungan karotenoid buah itu.

Penyelidikan itu bukannya menimbulkan minat Jake terhadap organisma ubah suai genetik (GMO), malah membuatkannya tertanya-tanya mengapa sejumlah besar wang digunakan untuk kajian itu. Beliau berpendapat bahawa menanam betik secara terus di tanah yang subur akan mendapat manfaatnya yang lebih sihat dan menjimatkan kos.
Pada 2015, untuk menimba pengalaman dalam pertanian, Jake bekerja di sebuah ladang di Kedah. Kerja-kerja penyelidikan di ladang ini mengajarnya satu lagi perspektif mengenai komodifikasi makanan.
“Mereka mentakrifkan makanan semata-mata sebagai makanan tambahan, dan berdasarkan andaian ini, mengusahakan cara untuk meningkatkan satu sayuran atau buahan tertentu dengan sekumpulan nutrien untuk memastikan ia memperoleh harga yang lebih baik di pasaran.
“Tempat-tempat yang saya pergi untuk menimba pengalaman ini berfungsi sebagai pembuka mata mengenai cara bagaimana industri makanan memandang makanan itu, iaitu produk untuk mendapatkan keuntungan.
“Apa yang lebih teruk ialah selepas menyebabkan gangguan kepada komposisi semula jadi tanaman, mereka mendakwanya sebagai organik, dengan itu memberikan tanggapan yang salah kepada pengguna mengenai kualiti makanan,” dedah Jake.

“Akhirnya, saya merasa lega, apabila ladang di Sungai Ara, Pulau Pinang, yang diuruskan oleh mentor saya Lee Kok Leong, kelihatan menjanjikan dalam erti kata yang sebenar bahawa ia mempunyai semua ciri-ciri agroekologi yang saya ingin pelajari. Ia meyakinkan saya mengenai hala tuju yang perlu saya ikuti dalam usaha saya sebagai petani organik.
“Saya juga mempunyai pengenalan ringkas kepada kaedah pertanian biodinamik yang mengemukakan mengenai hubungan jiwa antara petani dan tanah,” cerita Jake lagi.
Pada masa ini, Jake mengusahakan pertanian di atas tanah seluas 10 ekar milik keluarganya di Sungai Lembu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Beliau menamakan ladangnya sebagai Hillside Organics kerana terletak di Bukit Langkap, dengan pemandangan Empangan Mengkuang di atas kawasan yang sedikit berbukit.
Petani sebelum ini mengamalkan tanaman tunggal (monocropping) di mana keseluruhan 10 ekar itu ditanam dengan buah naga. Penggunaan baja kimia dan penyemburan racun kulat amat berleluasa pada masa dahulu.

Apabila Jake mengambil alih ladang itu pada 2018, dengan restu sepenuhnya daripada keluarganya, dia menghentikan penggunaan bahan kimia pertanian secara berperingkat. “Buah naga yang sama berkilat dengan penggunaan bahan kimia pertanian mempunyai rupa yang agak kusam dan kecut apabila diberikan baja semula jadi. Pengguna enggan membeli, mengesyaki bahagian dalaman buah juga akan menjadi sama.
“Saya terpaksa meyakinkan mereka dengan menekankan bahawa ia ditanam secara organik. Saya tidak boleh mengharapkan orang tengah melakukan ini untuk saya. Oleh sebab itu, pada peringkat awal penanaman secara organik, saya mendirikan gerai sendiri untuk menarik pelanggan membeli hasil organik saya.
Setelah pengguna merasai buah naga organik itu, kerana rasa buahnya yang berbeza, mereka terus datang kembali. Jadi, beginilah caranya seseorang itu perlu bekerja lebih untuk mempopularkan makanan tulen dalam kalangan pengguna,” tegas Jake.
Sebelum ini, ladang yang ditanam dengan buah naga itu diuruskan dengan bantuan lima pekerja. Menghapuskan bahan kimia secara berperingkat serta digabungkan dengan pelan kerja yang betul telah mengurangkan beban kerja dengan ketara. Jake boleh menguruskan keseluruhan 5 ekar itu dengan seorang pekerja sahaja. Dengan cara ini, dia juga boleh mengurangkan perbelanjaan.
Penanaman buah naga turut diselang selikan dengan tanaman seperti jambu, amra, pisang, ciku, kelapa, durian, nangka, lemon, limau, mangga, betik, petai, dan durian belanda. Kaedah penanaman selingan (intercropping) ini terbukti memberi manfaat kepada tanah dalam jangka masa panjang kerana ia menghalang kehilangan sepenuhnya nutrien tertentu daripada tanah.

Jake menyediakan sendiri penggalak pertumbuhan dan penghalau perosak. Kaedah penyediaan ini diperolehi melalui latihan dan bengkel yang dihadirinya serta melalui nasihat oleh pakar dalam bidang pertanian.
Memandangkan Jake telah menghapuskan sepenuhnya penggunaan bahan kimia toksik, menghapuskan rumpai melalui pembunuh rumpai tidak lagi menjadi persoalan.
“Di kawasan tertentu di ladang saya, kesuburan tanah dikembalikan semula dengan membiarkan rumput tumbuh. Sebenarnya, rumput berfungsi sebagai pelindung bagi melindungi tanah daripada haba dan hakisan, dengan itu dapat menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembiakan mikroorganisma, yang akhirnya meningkatkan kesuburan tanah,” tambahnya lagi.

“Di kawasan di mana saya ingin menanam pokok buah-buahan kekal, rumpai itu dikawal dengan bantuan empat ekor lembu. Lembu ini adalah bahagian penting jika seseorang itu ingin merealisasikan sepenuhnya matlamat untuk menubuhkan ladang agroekologi. Lembu meragut rumpai dan rumput dan ini membantu meningkatkan kesuburan tanah dengan tahinya.
“Lembu-lembu ini ditambat di kawasan di mana saya ingin membersihkan rumput. Ini dapat memastikan lembu tidak meragut sayur-sayuran dan tanaman yang ditanam untuk dijual dan dimakan,” jelas Jake.

Kaedah ini penting bagi menghidupkan semula mikroorganisma dalam tanah, yang semakin pupus akibat penggunaan bahan kimia pertanian yang banyak. “Saya menggali lubang yang sama di dalam tanah dan mengisi lubang itu dengan tahi lembu kering. Tahi lembu mengandungi mikroorganisma yang tinggi dan apabila ditambah ke dalam tanah, ia membantu penggandaan mikroorganisma dalam tanah.
“Cacing tanah, yang sebelum ini menggali lebih dalam ke dalam tanah untuk mengelakkan bahan kimia toksik, telah kembali semula untuk memakan tahi lembu dan mengisi kembali tanah dengan tuangannya.
“Ini adalah beberapa perkembangan yang dialu-alukan di taman saya,” katanya bersemangat.
Dalam satu petak, Jake menanam sayur-sayuran seperti kailan, kangkong, bayam hijau, bayam merah, dan sawi. Ini adalah untuk kegunaannya sendiri, dengan bakinya dijual di pasaran.

Jake juga pernah mencuba menanam padi. Dia membeli benih yang diluluskan oleh kerajaan untuk dicuba dan telah mengkaji setiap peringkat penanaman padi, seperti anak benih, pemindahan, pembajaan, merumput, berbunga, mengisi, dan menuai selepas tanaman matang.
Walaupun percubaan kali pertama tidak memberikan hasil yang diharapkan, Jake beralih ke percubaan kedua dan bertekad untuk menambah baik rancangan pemakanan nutrien dalam penanaman padi.

“Sesekali saya bertemu rakan-rakan petani. Kebanyakan mereka mempunyai pengalaman yang agak lama dalam pertanian dan tidak sabar-sabar untuk berkongsi maklumat berharga mengenai teknik pertanian mesra alam.
“Ini membantu saya untuk berkembang menjadi petani yang lebih tulen. Saya juga mengadakan bengkel mengenai kaedah penyediaan penggalak pertumbuhan seperti bokashi sebagai cara mengasah kemahiran dan pengetahuan saya dalam agroekologi. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di halaman Facebook beliau, Hillside Organics.

“Bagi saya, agroekologi adalah teras kehidupan. Alam semula jadi sedang menunggu untuk membocorkan banyak rahsianya kepada kita. Kita perlu berusaha untuk mengkaji alam semula jadi dan mengendalikannya dengan cara yang lebih harmoni. Jika anda memusnahkan bumi atas nama mencari rezeki, akhirnya, bumi akan memberontak dan kita terpaksa menanggung bebannya,” rumus Jake.