“AGROEKOLOGI UNTUK SEMUA: Inisiatif di Malaysia” – PETANI

Kesavan Manokaran

KESAVAN MANOKARAN
Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Cadang Pertanian Selamat

Semangat Kesavan Manokaran untuk menanam dan rasa ingin tahu mengenai alam semula jadi membawanya kepada kerjaya dalam bidang pertanian. Pemegang ijazah Sarjana Pengurusan Keselamatan Industri, Kesavan bekerja sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan sejak sembilan tahun lalu. Dia berceramah kepada orang ramai dari semua lapisan masyarakat mengenai langkah keselamatan yang perlu mereka patuhi dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.

Memandangkan kerjanya melibatkan latihan dan dialog yang meluas, pada satu ketika, dia mula memikirkan bahan kimia pertanian, yang meresap ke udara, air, dan tanah. Dia mula menyedari bahawa hampir tidak ada sesiapa yang membincangkan atau memberi amaran mengenai bahan pencemar yang boleh membawa maut ini walaupun ia masih berterusan berada dalam alam sekitar.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID 19 pada 2020 memberi Kesavan peluang untuk mencuba bidang pertanian. “Kita perlu amalkan apa yang kita sampaikan. Jika saya melalui kerja saya bercakap mengenai keselamatan, maka saya mestilah menunjukkan contoh yang baik,” tegasnya.

Dengan ini, timbulnya pemikiran untuk mempelajari dengan lebih lanjut mengenai agroekologi. Pada 2019, Kesavan menghadiri sesi latihan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai pertanian bebas kimia. Di sini dia belajar bagaimana cara menyediakan penggalak pertumbuhan, penghalau makhluk perosak, dan kaedah menyimpan  benih.

Terutama sekali, beliau berjaya mendapatkan sedikit gambaran mengenai bagaimana syarikat korporat cuba untuk menguasai sektor pertanian melalui politik benih mereka. Pendedahan sedemikian memberi isyarat kepada Kesavan mengenai tanggungjawab untuk mengelakkan sama sekali bahan kimia pertanian.

Maklumat mengenai penghalau makhluk perosak yang dikongsi oleh CAP amat berharga. Gabungan daun semambu (neem) sebagai bahan utama dan pelbagai tumbuhan sumber tempatan menjadikan penghalau serangga yang baik.

“Kaedah CAP membimbing petani sentiasa menjadikan mereka berdikari. Ia bukan formula yang tegar untuk diikuti, tetapi pemahaman asas mengenai bagaimana seseorang boleh menghasilkan penyelesaian mereka sendiri untuk masalah perosak.

Air rebusan daun semambu, daun turi (sesbania), daun sirih, dan pirandai (adamant creeper) menjadikan penghalau serangga yang baik. Sebahagian daripada daunnya diperolehi dari kebun saya sendiri. Sesetengahnya boleh dipetik dari alam liar dan oleh itu ia tidak melibatkan sebarang kos.

Begitu juga, najis dan air kencing lembu yang diperoleh daripada lembu yang meragut rumput segar adalah penghalau makhluk perosak dan penggalak pertumbuhan yang paling berkesan. Najis dan air kencing lembu dicairkan dengan air dan disembur pada tumbuhan.

Pada masa ini, Kesavan menguruskan plot tanah keluarganya di Ladang Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Ia ditanam dengan terung, cili dan bendi. Pada awal proses pembelajarannya, Kesavan menggunakan benih hibrid untuk penanaman memandangkan dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai benih.

Kemudian, apabila diberitahu mengenai kesan buruk benih ini, dia menerima benih warisan yang dikongsi oleh CAP dan daripada rakan-rakannya dan menanamnya. Sebenarnya, kesilapan awal itu menguntungkannya dalam erti kata bahawa dia boleh mempelajari perbezaan antara kedua-dua jenis itu.

Daripada pemerhatian Kesavan, benih hibrid direka untuk bertindak balas dengan baik hanya kepada baja kimia dan racun makhluk perosak. “Apabila saya menggunakan kompos dan penghalau makhluk perosak yang sama untuk kedua-dua terung warisan dan hibrid, terung daripada benih warisan tumbuh subur, manakala pertumbuhan terung daripada benih hibrid menunjukkan beberapa kemerosotan.

“Jadi, apabila anda benar-benar mendalami agroekologi, mulakan dengan benih warisan untuk mengelakkan kerumitan pada masa hadapan,” nasihat Kesavan.

Kesavan mencampurkan pancakavya dan asid amino ikan dengan bahagian yang betul dan menyemburkannya pada tanaman. Ini memberikan rangsangan tambahan kepada tanaman. Melalui percubaan dan kesilapan dapat membina keyakinannya dalam menjaga tanah dan memanfaatkan tanah itu sepenuhnya.

Di antara semua ini, rakan-rakan Kesavan cuba meyakinkannya untuk memilih pertanian berasaskan bahan kimia, dengan menyatakan bahawa ia menghasilkan penuaian yang lebih baik. Kesavan, yang mempunyai latar belakang kerohanian yang kuat, menegaskan tiada bahaya yang harus ditimpakan kepada mana-mana makhluk hidup dan enggan berganjak daripada pendiriannya.

“Kenapa membunuh apabila alam mengimbangi dirinya? Semasa menjaga tanaman, saya melihat sekawan burung pipit dengan pantas mematuk serangga yang memusnahkan tanaman saya. Itulah pengalaman pertama saya di lapangan dan pendedahan mengenai betapa indahnya alam semula jadi menjaga dirinya sendiri.

“Saya tidak perlu membunuh serangga yang memakan tanaman saya apabila alam semula jadi telah mencipta pemangsa untuk melakukan kerja itu. Sebaliknya, semburan racun makhluk perosak akan menghalau burung-burung itu dari ladang saya.

“Berhubung setiap hari dengan tanaman (tanpa niat untuk merosakkannya) mendedahkan banyak perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata biasa kita,” dedah Kesavan.

Kesavan menyimpan rekod terperinci mengenai ujian harian, input, hasil dan perbelanjaannya. Dia kagum dengan kos minimum yang terlibat dalam pertanian bebas bahan kimia.

“Amalan pertanian yang baik adalah satu perjuangan, Kanniappan dari Kulai, Johor, memainkan peranan penting dalam pemahaman saya mengenai pengetahuan dalam agroekologi. Dia memberikan penyelesaian dan idea untuk pencarian dan keraguan saya mengenai pertanian.

“Alam semula jadi ini amat luas, dan ia adalah satu proses pembelajaran hidup untuk kita semua. Secara keseluruhannya, pertanian mendedahkan kepada saya bahawa alam semula jadi sentiasa bersedia untuk berkongsi kurniaannya. Kita perlu membuat keputusan bagaimana untuk memaksimumkan manfaat alam semula jadi tanpa merosakkannya,” tegas Kesavan.

“JIKA ANDA LETIH, BELAJAR UNTUK BEREHAT, BUKAN BERHENTI” ~ Murlitaran Prathapan

Usaha pertanian Kesavan adalah usaha bersama antara dia dan sepupunya, Murlitaran Prathapan. “Apabila saya memberitahu Murlitaran mengenai hasrat saya untuk mengusahakan ladang organik, beliau mengalu-alukan idea saya dan memberikan banyak cadangan yang membina.

“Kami berkongsi semua kerja bertani. Kami bersama-sama melakukan percubaan dengan pelbagai kaedah untuk menjadikan tanaman ini tumbuh subur. Walaupun dengan pengalaman kami yang terhad dalam pertanian, melalui perbincangan dan kerana rasa ingin tahu, kami menambah baik penggalak pertumbuhan dan penghalau makhluk perosak dan mencubanya pada tumbuhan yang berbeza.

“Apabila saya hilang semangat, Murlitaran memotivasikan saya dengan kata-kata yang menjadi kegemarannya, “Jika anda letih, belajar untuk berehat, bukan berhenti.” Kata-kata ini memulihkan kita ke arah kemajuan.

“Murlitaran juga memainkan peranan penting dalam memasarkan hasil ladang. Kemahiran beliau dalam berkomunikasi dan meyakinkan pelanggan adalah kelebihan kepada usaha pertanian kami. Dia sentiasa menjadi tonggak kekuatan saya,” kongsi Kesavan.

Agroecology Fund