Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan pembentangan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada persidangan Parlimen semasa.
Ini merupakan satu langkah penting dalam melaksanakan tanggungjawab Malaysia di bawah Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC), perjanjian pertama yang dirundingkan di bawah naungan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterima pakai pada tahun 2003.
Malaysia adalah sebahagian daripada proses yang bersejarah itu dan pada 16 September 2005, Kerajaan telah meratifikasi FCTC, jadi Rang Undang-undang 2022 ini sebenarnya sudah lama tertangguh.
Dalam membawa Rang Undang-undang 2022 ini ke hadapan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhak untuk menjaga kesihatan semua rakyat Malaysia dengan melaksanakan kewajipan antarabangsanya yang mengikat secara sah, dan melindungi generasi akan datang dengan berani apabila memperkenalkan peruntukan generasi penamat (GEG) untuk semua rakyat Malaysia yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.
Pemantauan oleh CAP terhadap industri tembakau selama bertahun-tahun mendedahkan banyak telatah industri untuk memintas malah menggagalkan pelaksanaan FCTC, dan ini juga dapat dilihat di negara di seluruh dunia.
Oleh sebab itu, CAP mengutuk tindakan secara terang-terangan oleh pelobi industri tembakau untuk cuba campur tangan di tengah-tengah persidangan Parlimen seperti mana yang didedahkan dalam siaran media sosial. Kami menggesa semua Ahli Parlimen untuk mengisytiharkan dengan segera kepentingan mereka atau kepentingan pegawai dan pekerja mereka dalam industri tembakau.
Gangguan ini secara langsung melanggar peruntukan utama dalam FCTC. Menyedari kuasa pengaruh dan campur tangan industri tembakau, Perkara 5.3 dengan jelas menyatakan bahawa: “Dalam menetapkan dan melaksanakan dasar kesihatan awam mereka berkenaan dengan kawalan tembakau, Pihak ini hendaklah bertindak untuk melindungi dasar ini daripada kepentingan komersial dan kepentingan lain industri tembakau mengikut undang-undang negara”.
Pada November 2008, Pihak FCTC menerima pakai garis panduan untuk melaksanakan Perkara 5.3 mengenai perlindungan dasar kesihatan awam berkenaan dengan kawalan tembakau daripada kepentingan komersial dan kepentingan lain industri tembakau.
Menurut WHO, “tujuan garis panduan ini adalah untuk memastikan bahawa usaha untuk melindungi kawalan tembakau daripada kepentingan komersial dan lain-lain kepentingan industri tembakau adalah secara menyeluruh dan berkesan.
Pihak-pihak ini perlu melaksanakan langkah-langkah di semua bahagian kerajaan yang mungkin mempunyai kepentingan di dalamnya, atau keupayaan untuk, mempengaruhi dasar kesihatan awam berkenaan dengan kawalan tembakau… Garis panduan ini dibuat dengan menggunakan bukti saintifik terbaik yang sedia ada dan pengalaman Pihak dalam menangani gangguan industri tembakau ”.(https://fctc.who.int/publications/m/item/guidelines-for-implementation-of-article-5.3)
Adalah baik untuk mengingat balik daripada laman sesawang WHO bahawa FCTC “adalah perjanjian berdasarkan bukti yang mengesahkan hak semua orang terhadap standard kesihatan tertinggi” dan bahawa ia “dibangunkan sebagai tindak balas kepada globalisasi epidemik tembakau. Penyebaran epidemik tembakau ini dipermudahkan lagi melalui pelbagai faktor kompleks dengan kesan rentas sempadan, termasuk liberalisasi perdagangan dan pelaburan asing langsung. Faktor lain ialah seperti pemasaran global, pengiklanan tembakau transnasional, promosi dan penajaan, dan pergerakan rokok seludup antarabangsa dan rokok tiruan juga telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan tembakau yang meletup”.
(https://fctc.who.int/publications/i/item/9241591013)
Pada masa ini, terdapat 182 Pihak yang meliputi lebih daripada 90% penduduk dunia yang menjadikannya salah satu perjanjian yang paling meluas dalam sejarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Akhbar, 28 Julai 2022
Pautan Laman Sesawang yang Penting
https://fctc.who.int/publications/i/item/9241591013 yang mana Malaysia adalah Pihak kepada: https://treaties.un.org/pages/ViewDetails.aspx?src=TREATY&mtdsg_no=IX-4&chapter=9&clang=_en dan maka ia mesti mematuhinya.
Di samping itu, Pihak FCTC juga telah menerima pakai garis panduan kepada Perkara 5.3:
https://fctc.who.int/publications/m/item/guidelines-for-implementation-of-article-5.3 yang termasuk ‘Pihak perlu berinteraksi dengan industri tembakau hanya apabila dan setakat yang sangat diperlukan untuk membolehkan mereka mengawal selia industri tembakau dan produk tembakau dengan berkesan.’
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/