Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan berita mengenai pengenalan Akta Kawalan Tembakau yang sekian lama tertangguh bagi menggantikan Kawalan Peraturan Produk Tembakau (CTPR) 1993 yang selama ini diletakkan di bawah Akta Makanan 1983.
Kementerian Kesihatan diharap dapat memperbetulkan segala kelemahan yang wujud di dalam CTPR dan menjangka bagaimana industri tembakau akan berkembang di masa depan. Kita perlu faham bahawa merokok adalah mengenai ketagihan nikotina dan pengekalan paras nikotina di dalam darah.
Kita juga perlu memahami bahawa konsep merokok tradisional akan menjadi ketinggalan zaman kerana kawalan ketat Konvensyen Kerangkakerja bagi Kawalan Tembakau, WHO, akan memaksa industri untuk berfikir lebih jauh daripada pemikiran biasa. Oleh itu pihak industri akan menggunakan lanjutan jenama dan produk agar produk keluaran mereka tidak berada dalam lingkungan definisi undang-undang kawalan tembakau atau FCTC di kebanyakan negara.
Pihak industri menyedari bahawa sebarang pindaan yang sah mungkin mengambil masa berbulan lamanya, jika bukan bertahun, untuk diwartakan. Maka ia akan bertindak terlebih dahulu untuk membantutkan usaha mengawal tembakau yang cuba dilaksanakan.
Selepas ratifikasi FCTC di Malaysia pada 2005, kami perhatikan kaedah pembungkusan menjadi lebih menarik di mana kami mensyaki pihak industri melakukan eksperimen untuk menguji sejauh mana mereka boleh mempromosi produk keluaran mereka pada 2008. Pada ketika itulah kita temui ‘flip pack’, ‘button pack’, berperisa buah, malah turut dimasukkan ‘insert’ dan ‘onsert’, dan pelbagai jenis sarung (sleeve) pada paket rokok.
Sesetengah sarung itu bertujuan menutup amaran kesihatan bergambar (PHWs) jika PHWs dilaksanakan; tindakan yang diambil terlebih dahulu oleh industri tembakau setahun sebelum Artikel 11 FCTC mengenai PHW diperkenalkan!
Sejak bertahun-tahun CTPR telah menjalani beberapa pindaan termasuk pengenalan amaran kesihatan bergambar pada Januari 2009, yang pada ketika itu membabitkan 40% di bahagian depan dan 60% di bahagian belakang. Teks amaran yang tertulis dalam Bahasa Malaysia pada muka depan dan Bahasa Inggeris pada muka belakang kekal sama.
Penjelasan yang mengelirukan seperti ‘ringan, ‘rendah tar’, ‘premium’ atau ‘penuh perisa’ dilarang pada pek rokok. Bagaimanapun ini tidak menghalang syarikat tembakau daripada mengelak larangan itu dengan menggunakan nama-nama yang kreatif dan canggih seperti “Advance Hybrid”, “Double Burst” dan “Ice Blast”.
Pada suatu masa, dalam usaha untuk mengelak isu asap aliran tepi, menghisap vape (vaping) menjadi popular buat seketika dengan industri menegaskan apa yang keluar daripada vape sebahagian besar hanyalah wap sahaja. Kerajaan kemudian mengharamkan e-cecair yang mengandungi nikotina kerana “Penjualan nikotina tanpa kebenaran dianggap haram.”
Tabiat menghisap vape tidak berlanjutan disebabkan pengguna gentar mengenai beberapa kes alat vape meletup. Terdapat kajian yang menunjukkan ia boleh menyebabkan ‘popcorn lungs’ (jika e-cecair itu mengandungi sejenis kimia yang digelar diacetyl); masalah Vapers tongue, dan penyakit lain; pengharaman penggunaan nikotina dalam e-cecair; serta pelbagai masalah lain.
Berikutan tindakan beberapa negara mengharamkan merokok di tempat awam, syarikat tembakau perlu memikirkan cara lain untuk menyemai ketagihan nikotina seperti mengunyah tembakau, dan sejak kebelakangan ini pula, dengan menggunakan alat ‘memanas bukan membakar.’ Menghidu dan mengunyah tembakau telah dibincangkan di antara syarikat tembakau sebagai pengganti kepada pintasan masalah asap aliran tepi di tempat tertutup.
Produk memanas bukan membakar didapati tidak selamat digunakan pada tahun lalu kerana kajian terkini menyarankan bukti baharu risiko kesihatan yang dikaitkan dengan penggunaannya.
Definisi mengenai rokok dalam CTPR agak sempit memandangkan “mana-mana produk yang mengandungi kesemua atau sebahagian derivatif atau pengganti tembakau yang dipotong, dihiris atau dihasilkan, digulung dalam satu atau beberapa kertas pembalut, dan boleh digunakan serta- merta untuk merokok.”
Bagi Akta Kawalan Tembakau, ia perlu dirumuskan melampaui definisi rokok dengan turut memasukkan semua produk berasaskan tembakau, produk yang mengandungi nikotina, atau apa jua bahan yang digunakan bagi tujuan yang sama seperti produk tembakau, kecuali ia adalah untuk tujuan perubatan dan doktor mempreskripsinya.
Pada Januari 2018, syarikat tembakau Philip Morris International mengumumkan yang ia akan berhenti menjual rokok sepenuhnya dalam usaha mencapai matlamat masa depan yang “bebas rokok.” Ini mungkin benar kerana syarikat berkenaan mengumumkan pengenalan alat “memanas bukan membakar” sebagai potensi penggantinya. Malah syarikat tembakau kelihatan tergesa-gesa untuk memasarkan produk hampir serupa untuk mengatasi kawalan ketat rokok biasa.
Sejak berdekad CAP telah memberi pandangan mengenai kawalan tembakau dan dengan pengalaman yang ada, ia bersedia untuk bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan. Akta Kawalan Tembakau perlu selaras dengan undang-undang lain, khususnya berhubung rokok yang diseludup di mana kami mendesak agar dikenakan hukuman penjara mandatori dan rampasan barangan dan harta benda mereka yang terlibat dalam dagangan haram.
Surat kepada Pengarang, 24 April 2019