Akta Kredit Pengguna Sudah Lama Ditunggu

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan kenyataan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, bahawa Akta Kredit Pengguna akhirnya boleh menjadi sebahagian daripada perundangan Malaysia kita bermula pada tahun hadapan.

CAP sudah lama memperjuangkan pelaksanaan Akta Kredit Pengguna yang lebih lengkap sejak dua dekad yang lalu. Pada 2004, CAP menerbitkan satu memorandum berhubung keperluan bagi Akta Kredit Pengguna yang memberikan tumpuan kepada bidang yang menjadi masalah dalam urus niaga seperti sewa beli, pinjaman wang, jualan kredit (contohnya, Courts Malaysia, Singer dan sebagainya), pajak gadai, pinjaman koperasi, kad kredit dan pinjaman peribadi).

Idea utama Akta Kredit Pengguna perlu merangkumi semua bidang kredit pengguna dan ia mestilah ditujukan ke arah perlindungan pengguna. Inilah apa yang kami sarankan dalam memorandum itu.

Sejak bertahun terdapat juga inisiatif tertentu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk terlibat dengan NGO berhubung perkara ini. Salah satu sesi yang dihadiri oleh CAP yang diadakan pada 2011; malangnya tidak membuahkan hasil yang ketara dalam menggubal Akta Kredit Pengguna.

Bagaimanapun, pada April tahun ini kami sekali lagi menghadiri satu sesi bersama dengan KPDNHEP untuk membincangkan saranan bagi cadangan Akta Kredit Pengguna yang amat positif.

Penyelidikan berterusan oleh kami berhubung perkara ini menunjukkan bahawa banyak negara yang mempunyai Akta Kredit Pengguna yang khusus dengan peruntukan yang benar-benar melindungi pengguna. Kami berharap Akta Kredit Pengguna Malaysia akan mencerminkannya dan tidak hanya digunakan untuk menyatukan semua peruntukan yang sedia ada di bawah pelbagai akta yang menangani berkaitan pinjaman/meminjam memandangkan sesetengah daripada peruntukan ini amat kabur.

Beberapa cadangan yang kami ada untuk dikemukakan termasuklah:

  • Mengadakan tempoh bertenang bagi semua jenis pinjaman,
  • Kemudahan pinjaman perlu memberikan butiran akaun pinjaman yang boleh difahami oleh orang biasa,
  • Mengadakan peruntukan yang menghentikan pengguna daripada mengalami kerugian apabila cagaran atau barangan yang ditarik balik dilelong,
  • Menghapuskan kadar rata dalam kaedah pengiraan kadar faedah,
  • Melibatkan agensi pelaporan kredit dalam Akta Kredit Pengguna,
  • Menjadikan pembayaran semula pinjaman awal bermanfaat kepada pengguna,
  • Mengenakan hukuman denda yang lebih berat terhadap bank dan penarik semula yang tidak mematuhi undang-undang dalam proses penarikan semula kenderaan bermotor.

Sebagai sebuah persatuan yang digerakkan ke arah membantu orang ramai dengan masalah pengguna, kami telah menerima banyak aduan berorientasikan pinjaman/meminjam yang antaranya: bank dan penarik semula mengelakkan undang-undang dalam penarikan balik kenderaan bermotor dalam urus niaga sewa beli, pengurus bank menjual pelaburan berkaitan insurans tanpa menjelaskan sebahagian wang (biasanya diambil daripada Simpanan Tetap) akan digunakan untuk bahagian insurans, secara tidak sengaja meminjam daripada Ah Long dengan mempercayai bahawa mereka peminjam wang berlesen, tidak mampu untuk membayar semula pinjaman menurut jadual disebabkan pengiraan kadar faedah yang dikelirukan dan banyak lagi.

Kekurangan perundangan yang lengkap pada masa kini bagi menangani isu kredit pengguna telah menyebabkan golongan berpendapatan rendah terus dieksploitasi oleh “jerung”.

Sehubungan itu, kami mengulangi sekali lagi harapan kami agar kenyataan oleh Gabenor BNM akan diberikan kuasa perundangan dan pada tahun hadapan pengguna kita akhirnya akan dilindungi dengan lebih sempurna apabila mereka ingin meminjam daripada institusi pinjaman.

 

Surat Kepada Pengarang, 18 Jun 2019