ALAM SEKITAR TERANCAM PUNCA PENGELUARAN KERANG MEROSOT: CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat keadaan alam sekitar yang semakin terancam merupakan punca utama pembiakan dan pengeluaran hasil kerang di negara ini teruk terjejas.

Selain kegiatan penyeludupan benih hidupan laut itu ke negara jiran yang kerap berlaku dan gagal dibenteras dengan berkesan, masalah pencemaran laut serta kemusnahan hutan paya bakau menyebabkan pembiakan kerang di perairan negara ini terancam dan semakin pupus.

Mengulas laporan Pakar Bidang Biologi Marin Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Zulfigar Yassin dalam kenyataan media tempatan baru-baru ini, CAP bimbang dengan masalah berkenaan kerana ia tidak diberi sewajarnya oleh pihak kerajaan walau pun keadaan tersebut sudah berlarutan sejak sepuluh tahun yang lalu.

Menurut Zulfigar, hasil kerang di negara ini telah menurun sehingga 84% sejak tempoh itu iaitu dari 100,000 tan metrik kepada 16,000 tan metrik sekali gus menyebabkan harga makanan laut tersebut melambung tinggi.

CAP percaya jika punca masalah ini tidak ditangani segera ia bukan saja membebankan pengguna malah sumber pendapatan nelayan dan bekalan makanan negara juga akan terjejas dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

Tinjauan CAP di Perak dan Pulau Pinang mendapati beberapa kawasan semulajadi pembiakan kerang di kedua-dua negeri ini telah terancam akibat penebangan hutan paya bakau yang menjadi sumber bekalan makanan hidupan kerang, pencemaran sisa beracun dari kolam ternakan udang,kilang industri dan pencemaran lumpur akibat projek tambak laut serta mendapan tanah akibat projek pembangunan di darat dan tanah tinggi.

Masalah tersebut telah menyebabkan hampir 5,000 nelayan pantai di negeri berkenaan terjejas sumber pendapatan mereka kerana benih kerang sukar membiak dan banyak yang mati menyebabkan hidupan laut ini semakin hari semakin pupus.

Justeru CAP menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap punca-punca berlakunya masalah ini dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan perkara tersebut dengan tegas dan berkesan. Aktiviti menternak kerang perlu diperluaskan di kalangan nelayan tempatan bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka dan pengeluaran makanan untuk rakyat negara ini.

 

Kenyataan Media, 9 Ogos 2016