Hari ini 14 November kita menyambut Hari Diabetes Sedunia. Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko diabetes yang kini berada di tahap yang membimbangkan.
Diabetes merupakan isu kesihatan awam yang perlu dititikberatkan. Kini kelaziman kes diabetes semakin meningkat di seluruh dunia disebabkan pelbagai faktor seperti pertumbuhan penduduk, peningkatan usia, urbanisasi dan peningkatan kelaziman obesiti dan kurang bersenam.
Malaysia berada di tangga teratas dalam kalangan negara ASEAN yang mempunyai paling ramai penghidap diabetes dan tangga keenam di rantau Pasifik Barat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat lebih 200 juta penghidap diabetes di seluruh dunia dan setiap tahun tujuh juta lagi menghidapnya. Pada 2019, berlaku lebih 500,000 kematian membabitkan mereka yang berusia 60 tahun ke bawah disebabkan diabetes di Asia Tenggara.
Menurut Buletin Perangkaan Sosial Malaysia 2019, diabetes merupakan salah satu daripada 10 penyebab kematian utama pada 2018.
Di Malaysia di sebalik pelbagai kempen mencegah kelaziman diabetes terutama diabetes jenis 2, kes diabetes telah meningkat ke tahap epidemik (wabak). Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019), seorang dalam lima orang dewasa atau sekitar 3.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas menderitai diabetes. Kelaziman diabetes di Malaysia telah meningkat kepada 18.3 peratus, berbanding cuma 1-2 peratus pada 1960.
Diabetes adalah penyakit kronik yang boleh dicegah dan bagi mereka yang sudah menghidapinya, diabetes boleh diurus, diperlahankan atau dicegah komplikasinya dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan memilih makanan yang berkhasiat.
Diabetes di Malaysia dijangka berterusan dan naik pada kadar yang tinggi disebabkan gaya hidup tidak sihat yang kita amalkan.
Mari kita perhatikan sejauh mana penduduk Malaysia tidak sihat:
> Malaysia mempunyai paling ramai penduduk dengan berat berlebihan dan obes di Asia; obesiti merupakan penyebab utama diabetes. Ini disebabkan tabiat penduduk yang makan terlalu banyak, makan makanan yang tidak betul dan kurang bersenam.
> Kita mengambil 20 sudu teh gula sehari. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kempen mencegah diabetes telah menyarankan pengambilan 5 sudu kecil gula sehari.
> Pengambilan daging perkapita kita adalah 55 kilogram berbanding 30 kilogram di Jepun dan cuma 23 kilogram di Thailand.
> Rakyat Malaysia yang melebihi usia 18 tahun secara purata mengambil 7.15 gram garam sehari, dua gram melebihi paras lima gram yang disarankan oleh WHO.
> Kita tidak mendapat tidur yang secukupnya padahal ia adalah kunci kepada kesihatan yang baik. Mengikut satu kajian serantau, penduduk Malaysia hanya mendapat 6.3 jam tidur secara purata. Ini membawa kepada jurang tidur purata 1.7 jam lebih singkat daripada tempoh tidur 8 jam yang disarankan. Menggunakan telefon bimbit dan menghabiskan masa atas talian menjadi salah satu penyumbang kurang tidur.
> Secara purata rakyat Malaysia menghabiskan masa 12 jam sehari untuk berbual di telefon dan melayari Internet. Daripada tempoh 12 jam itu, 3 jam 3 minit dihabiskan di telefon bimbit, 5 jam 36 minit di komputer dan 3 jam 27 minit menggunakan sosio media.
Sementara kurang tidur mungkin sekadar merupakan pilihan gaya hidup, kajian menunjukkan kekurangan tidur yang kronik bukan sahaja boleh menyebabkan prestasi yang buruk dan produktiviti menurun, malah memberi kesan kepada kesihatan seperti obesiti, penyakit jantung dan diabetes selain memendekkan jangka hayat.
Kajian menunjukkan bagi setiap penghidap diabetes yang diketahui, terdapat sekurang-kurangnya seorang lagi yang tidak dikesan dan tidak dirawat sehingga muncul komplikasi yang sukar dipulihkan.
Lama kelamaan, gula darah yang tinggi akibat diabetes boleh menjejaskan sistem organ utama tubuh, menyebabkan serangan jantung, strok, kerosakan saraf, kegagalan ginjal, kebutaan, mati pucuk dan jangkitan yang boleh membawa kepada pemotongan anggota tubuh.
Diabetes bukan sahaja membebankan sumber negara, malah turut membabitkan anggota tubuh (amputasi), penglihatan (kebutaan), ginjal (kegagalan), jantung (kegagalan), dan saraf (kerosakan) penghidapnya.
Berikutan peningkatan kelaziman kes diabetes yang membimbangkan di Malaysia, kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk membendung epidemik ini.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan agar:
> Mendidik penduduk mengenai bahaya obesiti dan diabetes
> Makanan tidak berkhasiat yang kaya dengan lemak, gula, garam dan penambah tidak seharusnya digalakkan melalui pengenaan cukai ke atas makanan seumpamanya
> Menyediakan kemudahan rekreasi yang mencukupi di semua kawasan kediaman
> Mewajibkan pengeluar makanan melabel jumlah natrium dalam produk
> Mengharamkan mesin minuman di sekolah, hospital dan lain-lain tempat awam
> Mewajibkan pelabelan yang jelas mengenai kandungan lemak dalam semua makanan, termasuk makanan segera
> Mengadakan kempen untuk mendidik ibu bapa dan anak-anak mengenai bahaya obesiti dan diabetes
Kenyataan Akhbar, 14hb. November 2020
Untuk maklumat lanjut mengenai “Gula Memudaratkan Kesihatan”, dapatkan panduannya di sini