Sekatan atau pengharaman pengeluaran organisma diubahsuai secara genetik (GMO) wujud di banyak negara di seluruh dunia. Namun Malaysia telah meluluskan lapan jenis jagung dan enam jenis kacang soya yang telah diubahsuai secara genetik (GM) untuk makanan, makanan ternakan dan pemprosesan. Di samping itu, kelulusan juga telah diberikan bagi kajian lapangan nyamuk GM, betik, dan pelepasan produk GM untuk digunakan sebagai racun perosak dan baja[1]. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak menyedari kelulusan-kelulusan ini.
Kelulusan tersebut telah dikeluarkan oleh Jabatan Biokeselamatan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di bawah peruntukan Akta Biokeselamatan 2007. Produk GM yang diluluskan untuk makanan, makanan ternakan dan pemprosesan mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Antaranya rintangan terhadap serangga dan toleransi kepada racun herba. Kegunaan seolah-olah tidak berbahaya ini menyembunyikan pelbagai risiko yang belum ditangani oleh pihak berkuasa dengan secukupnya walaupun kebimbangan dan bantahan dibangkitkan oleh kumpulan-kumpulan masyarakat sivil termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang telah memberi ulasan dengan rujukan bukti saintifik. Risiko-risiko ini termasuk kebimbangan terhadap kesihatan, alam sekitar, sosial, etika dan budaya.
Pada tahun 2009, Akademi Perubatan Alam Sekitar Amerika (American Academy of Environmental Medicine – AAEM), sebuah persatuan pakar-pakar perubatan antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat, menggesa untuk moratorium segera terhadap makanan GM dengan menyatakan, “makanan yang diubahsuai secara genetik … menimbulkan risiko kesihatan yang serius. Beberapa kajian haiwan menunjukkan … ketidaksuburan, masalah imun, mempercepatkan penuaan, memberi kesan kepada regulasi insulin, dan perubahan dalam organ-organ utama dan sistem pencernaan”.[2]
Pada bulan Oktober 2013, satu kenyataan[3] yang dikeluarkan oleh European Network of Scientists for Social and Environmental Responsibility (ENSSER) menekankan bahawa tidak ada konsensus saintifik mengenai keselamatan makanan dan tanaman yang diubahsuai secara genetik, dan menyatakan bahawa dakwaan makanan dan tanaman GM selamat untuk manusia, haiwan dan alam sekitar adalah “memperdayakan“. Sehingga kini kenyataan itu telah ditandatangani oleh lebih 300 saintis dan diterbitkan dalam jurnal, Environmental Sciences Europe.[4] Kenyataan itu membuat beberapa kesimpulan:
- Tidak ada kata sepakat mengenai keselamatan makanan GM. Dakwaan bahawa makanan GM adalah selamat untuk kesihatan manusia berdasarkan pengalaman populasi Amerika Utara yang memakan jumlah besar produk GM setiap hari tidak mempunyai asas saintifik kerana makanan GM tidak dilabel di Amerika Utara dan oleh itu, ia adalah mustahil untuk mengesan atau mengkaji kesan kepada kesihatan.
- Tuntutan bahawa beberapa ratus kajian mendapati makanan GM adalah selamat didapati palsu dan tidak bertanggungjawab. Malah, beberapa kajian yang dinamakan menunjukkan bukti kesan toksik.
- Tuntutan bahawa badan-badan saintifik dan kerajaan menyokong keselamatan GMO adalah dibesar-besarkan atau tidak tepat.
- Tidak ada kata sepakat mengenai risiko alam sekitar tanaman GM.
Di peringkat antarabangsa, Protokol Biokeselamatan Cartagena[5] dan Codex Alimentarius PBB mengakui pengiktirafan meluas risiko yang ditimbulkan oleh makanan dan tanaman GM. Sebagai parti kepada Protokol Cartagena, Malaysia perlu melaksanakan Prinsip Berjaga-jaga (Precautionary) terhadap GMO, seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian ini dan yang juga merupakan asas kepada Akta Biokeselamatan 2007. Ini bermakna bahawa memandangkan ketidakpastian saintifik dan kekangan dalam aspek penilaian dan pemantauan risiko GMO, kerajaan tidak harus meluluskan sebarang GMO untuk kajian lapangan atau pelepasan, dan menarik balik semua kelulusan yang sedia ada.
Apa yang membuatkan situasi ini lebih penting ialah rakyat Malaysia dalam semua kemungkinan sudah makan produk GM yang diimport dari negara-negara yang menghasilkan tanaman GM, contohnya Amerika Syarikat. AS merupakan pengeluar terbesar tanaman GM seperti soya, jagung dan canola. Malaysia mengimport kacang soya dan jagung dari AS. Semua ini berakhir di dalam makanan seperti minyak soya dan jagung, tofu, minuman soya, kicap, sirap jagung, kanji jagung, emping jagung, dan sebagainya. Selain itu, kita makan daging, susu dan telur dari haiwan yang diberi makanan GM.
Soya GM Roundup Ready® (RR®) yang toleran kepada racun herba glyphosate (biasanya dipanggil Roundup) merupakan kira-kira 80% daripada pengeluaran soya tahunan global. Kajian terbaru telah menemui paras tinggi baki sisa glyphosate dalam RR® kacang soya dari pendedahan kepada penyemburan racun herba tersebut semasa penanaman. Kajian juga mendapati bahawa kacang soya GM yang diberi sebagai makanan ternakan boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan haiwan, kematangan sistem pembiakan dan bilangan anak walaupun pada tahap yang jauh di bawah had yang dibenarkan[6]. Pada bulan Mac 2015, Agensi Antarabangsa Kajian Kanser (International Agency for Research on Cancer – IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengklasifikasikan glyphosate sebagai “mungkin karsinogenik kepada manusia”[7] dengan “bukti yang meyakinkan” tentang kekarsinogenan kepada haiwan makmal[8] .
Beribu-ribu rakyat Malaysia terus memakan produk GM kerana tidak tahu atau sedar tentang kandungannya. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bangkit dan mempertahankan hak mereka untuk makanan yang selamat, sihat dan persekitaran yang terpelihara. Pengguna mesti menuntut pelabelan mandatori dan jelas bagi semua produk yang mengandungi bahan-bahan diubahsuai genetik – tanpa sebarang ambang dan pengecualian.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengharaman GMO di negara ini berkuatkuasa serta merta dan mana-mana produk yang mengandungi GMO yang diimport ke Malaysia perlu didedah sepenuhnya.
Surat kepada Pengarang, 10 Julai 2015
LAMPIRAN 1[9]
- Diluluskan untuk Makanan, Makanan Ternakan dan Pemprosesan
Jagung (8)
- MON 603 Roundup Ready™ Maize (NK 603) (herbicide-tolerant)
- MON 810 YieldGard™ Maize against Corn-Borer
- MON 863 YieldGard® Rootworm Maize
- SYN-Bt11-1 – YieldGard™ Maize (insect-resistant and herbicide-tolerant)
- T25 LibertyLink® maize (herbicide-tolerant)
- TC 1507 maize (insect-resistant and herbicide-tolerant)
- MON 89034 (insect-resistant)
- MON 88017 (insect-resistant and herbicide-tolerant)
Kacang Soya (6)
- MON 4032 Roundup Ready™ Soybean (herbicide-tolerant)
- ACS-GM5-3 soybean (herbicide-tolerant)
- A5547-127 LibertyLink® soybean (herbicide-tolerant)
- MON 89788 RoundupReady2Yield™ soybean (herbicide-tolerant)
- CV127 soybean (herbicide-tolerant)
- FG72 soybean (herbicide-tolerant)
Diluluskan untuk Pelepasan – Produk Living Modified Organism (LMO)
- ISP type III HPLC 12 Glacein™(ice structuring protein)
- MOUSTICIDE™ Wettable Powder (WP) and MOUSTICIDE™ Rice Husk (RH)
- Cut flowers of genetically modified carnation (Dianthus caryophyllus)
- Single Cell Protein (SCP), Liquid Fertilizer and Solid Fertilizers
- TMOF_Yeast (to produce Mousticide RH & Mousticide WP) and Mousticide WP (for Release)
- Diluluskan untuk Kajian Lapangan
- Betik GM (Eksotika)
- Nyamuk GM (Aedes aegypti (L.))
[1] Lampiran 1 menyenaraikan semua produk GM yang telah diluluskan di Malaysia. Sumber: http://www.biosafety.nre.gov.my/country_decision/app_plmo.shtml
[2] http://www.federaljack.com/page/4/?s=soy
[3] http://www.ensser.org/increasing-public-information/no-scientific-consensus-on-gmo-safety/
[4] http://www.enveurope.com/content/27/1/4/abstract
[5] Cartagena Protocol on Biosafety is the only international treaty to specifically regulate GMOs, and the Codex Alimentarius Commission is a joint body of the World Health Organization and the Food and Agriculture Organization of the United Nations which governs global food safety issues. Both call for a careful case-by-case assessment of each GMO by national authorities in order to evaluate whether the particular GMO satisfies the national criteria for safety.
[6] Marek Cuhra1, Terje Traavik, Mickaël Dando, Raul Primicerio, Daniel Ferreira Holderbaum and Thomas Bøhn. 2015. Glyphosate-Residues in Roundup-Ready® Soybean Impair Daphnia Magna Life-Cycle. Journal of Agricultural Chemistry and Environment, 2015, 4, 24-36 http://www.scirp.org/journal/jacen http://dx.doi.org/10.4236/jacen.2015.41003
[7] This is Group 2A, the IARC’s second highest category for carcinogenicity in humans.
[8] WHO International Agency for Research on Cancer. 2015. IARC Monographs Volume 112: Evaluation of five organophosphate insecticides and herbicides. http://www.iarc.fr/en/media-centre/iarcnews/pdf/MonographVolume112.pdf
[9] http://www.biosafety.nre.gov.my/country_decision/app_ffp.shtml