Berkebun di Bandar: Temu Bual 5
Sudah hampir setahun sejak Aziwan bin Ali dan isteri mula menanam herba, sayuran, pokok bunga dan buahan di perkarangan rumah mereka di Sungai Jawi, Pulau Pinang.
Kini terdapat 5 jenis herba; serta limau kasturi dan pokok amra yang hidup subur di kebunnya. Pokok mangga yang ditanam oleh ibunya kini berbuah dengan lebat sekali. Kira-kira 6 – 7 jenis sayuran yang ditanam lebih awal rosak akibat serangan makhluk perosak tetapi pasangan ini tidak berputus asa, kini mereka menanamnya semula.
Sekarang Aziwan mampu untuk menuai hasil makanannya sendiri serta mempunyai lebihan untuk dikongsikan bersama jiran mereka. Paling baik, makanannya ditanam secara semula jadi. Ini amat menggembirakannya.
Aziwan berkongsi mengenai pengalamannya seperti berikut:
“Saya bersemangat untuk mencuba berkebun di bandar selepas melihat sayuran yang ditanam di tepi beberapa rumah di beberapa kawasan perumahan. Tanaman ini ditanam dalam pasu, polibeg, bekas plastik terpakai dan semua jenis alat kelengkapan.
“Saya mula menanam – bunga raya, melur dan kemboja – kemudian secara perlahan-lahan berusaha menanam sayuran dan herba. Saya menanam sayuran daripada biji benih yang dibeli dan benih yang disimpan oleh saya sendiri. Saya akan menyimpan biji benih ini untuk kegunaan pada masa depan.
“Untuk kompos, saya gunakan daun mangga kering dan juga abu daripada pembakaran pelbagai jenis daun kering. Jiran saya memberikan semburan semula jadi yang diperbuat daripada serai wangi yang saya gunakan untuk mengawal makhluk perosak.
“Saya tidak berpeluang untuk menghadiri latihan pertanian bandar oleh CAP tetapi saya berpeluang untuk melihat pertanian bandar CAP dan memperoleh sedikit pandangan yang amat berguna.
“Pertanian bandar boleh diusahakan walaupun anda tidak mempunyai anjung atau halaman belakang. Anda boleh menanam tanaman di dalam pasu, bekas plastik terpakai atau tayar, atau anda boleh menggunakan idea sendiri untuk menanamnya. Ia adalah satu aktiviti yang amat menarik. Cubalah, hasilnya akan mengejutkan anda,” kata Aziwan.
#GreenActionWeek Agroecology Fund