Anggaplah Setiap Hari Sebagai Hari Bumi

Hari ini 22 April kita menyambut Hari Bumi di mana ia merupakan hari untuk memperingati Bumi dan bagaimana kita memperlakukannya selama ini. Cuma sehari dalam setahun sememangnya tidak memadai untuk mengingati Bumi jika kita benar-benar ingin menyelamatkannya. Kita mesti mengingatinya setiap hari, dengan mengutamakan kepentingan alam sekitar dan ekologi ketika membuat sesuatu keputusan, jika kita mahu mengelak malapetaka di masa depan yang mengakibatkan bencana ekonomi.

Sekali lagi Hari Bumi disambut ketika kita dilanda pandemik Covid-19. Negara-negara dunia terus bergelut antara membendung pandemik dan mengurus pemulihan ekonomi negara masing-masing. Pertimbangan sewajarnya mengenai alam sekitar dan ekologi masih terkebelakang.

Virus corona itu sendiri dipercayai muncul dari pengurusan alam sekitar yang tidak betul, iaitu melalui perdagangan, pengambilan dan pemakanan hidupan liar oleh manusia sendiri. Laporan utama dan penting dari PBB telah memberi amaran mengenai kemunculan atau kemunculan semula penyakit berjangkit berikutan peningkatan kegiatan pencerobohan ke atas alam sekitar seperti pembersihan tanah dan pemecahan habitat serta pengurangan dalam biodiversiti.

Model ekonomi dan pembangunan semasa langsung tidak mampan, dengan kesan negatif bukan sahaja ke atas kualiti hidup kita tetapi turut mengancam kesinambungan kehidupan kita di atas muka bumi.

Hakikatnya, laporan yang baharu dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia mengenai ‘Keadaan Iklim Dunia’menunjukkan purata suhu dunia pada 2020 adalah sekitar 1.2°C melebihi paras pra-industri, yang ‘amat hampir’ dengan had 1.5°C yang disarankan oleh saintis untuk membendung kesan paling buruk perubahan iklim.

Model pembangunan utama kita memberikan penekanan kepada ekonomi dan kegiatan komersial, sementara masalah kesihatan dan alam sekitar dilihat sebagai kesan sampingan yang boleh diatasi dengan mudah apabila ia berlaku. Namun perkara ini tidak semestinya berlaku  memandangkan apa yang dikatakan ‘kesan sampingan’ ini sudah pasti akan menenggelamkan objektif ‘aliran utama’ pertumbuhan ekonomi jika kita tidak memandangnya dengan lebih serius.

Krisis kesihatan Covid-19 sudahpun menenggelamkan objektif aliran utama pertumbuhan ekonomi. Begitu juga krisis air dan kejadian buruk banjir yang berlaku kebelakangan ini jelas menunjukkan bagaimana bencana alam boleh membantutkan kegiatan ekonomi jika kita terus gagal menanganinya dengan segera dan secara serius.

Krisis air dan banjir cuma sebahagian kecil kes yang ada. Kita berdepan dengan masalah perubahan iklim dan kesan buruknya yang akan menimbulkan malapetaka kepada kehidupan manusia dan ekonomi. Ianya tidak cukup disedari bahawa alam sekitar dan sumber-sumber semula jadi menjadi tunjang ekonomi, dan menjadi ukuran berapa banyak pertumbuhan ekonomi yang mampu dikekalkan.

Sekali lagi kami menggesa ke arah komitmen transformatif dan anjakan paradigma dalam cara kita menghasilkan dan menggunakan sesuatu. Memikirkan semula dan mengubah corak pemikiransecara mendalam amat diperlukan sekarang.

Kita tidak boleh terus mempromosikan projek-projek ‘perniagaan seperti biasa’ yang tidak lestari seperti projek tambakan mega di seluruh negara, yang bukan sahaja menelan kos yang tinggi malah memusnahkan sumber perikanan yang amat berharga dan biodiversiti marin yang sukar dipulihkan. Projek perlombongan pasir dan kesan kegiatan tersebut kepada alam sekitar tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia menyebabkan kerosakan selamanya ekosistem yang sukar diganti.

Pendekatan ‘perniagaanseperti biasa’ perlu diubah. Beberapa aspek penting yang perlu diberi keutamaan adalah seperti berikut:

Pertama, kita mesti memandang serius masalah perubahan iklim dan memastikan kesungguhan dan tindakan yang lebih besar berhubung mitigasi, adaptasi dan usaha menangani kehilangan dan kerosakan. Kami mengalu-alukan inisiatif terbaharu kerajaan untuk meningkatkan tindakan berhubung perubahan iklim termasuk melalui pembentukan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia, dan juga dalam menerapkan undang-undang mengenai iklim dan Plan Adaptasi Negara. Kesemua inisiatif positif ini perlu dilaksanakan dengan segera dan perubahan iklim diserapkan ke dalam aliran utama di semua peringkat kerajaan, dari persekutuan, negeri hingga ke peringkat tempatan, termasuk dalam sistem pendidikan kita.

Kedua, kita perlu tangani segera isu-isu berkaitan pemuliharaan hutan dan tanah, pengurusan sungai, pencegahan dan mitigasi banjir, dan memastikan bekalan air mencukupi secara bersepadu. Hutan dan pokok menjadi tunjang ekologi, bekalan air dan pengurusan dan biodiversiti.  Penebangan hutan, terutama di kawasan bukit, sama ada untuk tujuan pembalakan, perladangan mahupun projek komersial, mesti dihentikan atau dikurangkan secara drastik  kerana ia sudah lama berlaku. Langkah-langkah terbaharu kerajaan persekutuan untuk menyalurkan dana bagi usaha perlindungan, pemuliharaan dan pemulihan kepada negeri-negeri dialu-alukan. Tetapi usaha-usaha ini perlu disegerakan. SAM bagaimanapun amat bimbang mengenai promosi projek mengimbangi karbon yang terlibat dalam usaha pemuliharaan hutan, menerusi penglibatan kepentingan korporat. Pengalaman negara luar menunjukkan kesan buruknya terhadap penduduk, khususnya komuniti tempatan dan orang asal. Kita mesti belajar daripada pengalaman seumpamanya dan berusaha mengelaknya.

Keutamaan ketiga ialah berhubung kawalan ke atas isu pencemaran dan produk toksik, bahan kimia dan sisa buangan. Kita telah berdepan dengan beberapa kes pencemaran air dan udara yang serius. Pencemaran Sungai Kim Kim dan gangguan bekalan air di Lembah Kelang menjadi peringatan buruk mengenai kesan toksin dalam alam sekitar terhadap kesihatan penduduk. Sementara usaha terbaharu yang diambil oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air dialu-alukan, termasuk mendapatkan kerjasama pihak polis dan tentera dalam mempertingkatkan penguatkuasaan, masih banyak langkah yang perlu diambil dalam usaha mencegah pencemaran, terutamanya yang membabitkan sumber air kita.

Kini sudah tiba masanya dibentuk satu badan berkuasa persekutuan yang bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen dengan memberi tumpuan kepada sungai di negara ini, termasuk memastikan kawasan tadahan air dan sungai yang terdapat di negeri-negeri dilindungi dengan sempurna dan sumber air diuruskan dengan baik.

Sementara Akta Kualiti Alam Sekitar kini sedang disemak dan diperbaiki, kita sememangnya memerlukan Akta Perlindungan Alam Sekitar yang lebih baik, yang menangani soal kelemahan undang-undang sebelumnya, termasuk berhubung peraturan mengenai penilaian kesan terhadap alam sekeliling.

Keempat, baru-baru ini terdapat desakan agar dikembalikan industri perlombongan di negara ini, termasuk mengekstrak nadir bumi, dengan usaha ke arah membentuk plan negara untuk menukar industri perlombongan. Sungguhpun kerajaan persekutuan memberi jaminan bahawa kegiatan perlombongan tidak akan dijalankan di kawasan alam sekitar yang mudah terjejas, apa yang membimbangkan kami ialah ada kemungkinan di kawasan inilah sumber-sumber seumpamanya wujud, berdasarkan sejarah perlombongan dan pengekstrakan masa lalu di negara ini. Tanggapan mengenai perlombongan yang “mampan” adalah suatu oksimoron. Mengendalikan bahan toksik, berbahaya dan sisa radioaktif untuk generasi yang akan datang tidak seharusnya menjadi halatuju kita.

Sekali lagi akan muncul persaingan di antara kepentingan ekonomi dan alam sekitar, di mana alam sekitar biasanya akan dikorbankan demi memberi laluan kepada keuntungan untuk industri.

Kita tidak boleh terus  melakukan pengorbanan sebegini. Sudah tiba masanya kita menyedari kita sudah sampai ke tahap apa yang boleh diterima oleh Bumi, dan jika kita terus tidak mempedulikan tanda amaran dan batasan ini, kita akan berdepan dengan bencana alam yang akan membebankan manusia dan ekonomi.

 

Surat kepada Pengarang,  22 April 2021