ASEAN Mesti Ambil Tindakan Untuk Hentikan Kebakaran Hutan Indonesia

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan langkah oleh Perdana Menteri Malaysia untuk berhubung dengan Indonesia dalam menangani peningkatan masalah jerebu rentas sempadan yang begitu serius menjejaskan Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Kami berharap langkah segera akan diambil oleh pihak berkuasa Indonesia untuk menghentikan kebakaran hutan yang berpunca dari Indonesia, memandangkan data pemantauan daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menunjukkan majoriti tompok panas dilihat di Kalimantan dan Sumatra.

Berulangnya masalah jerebu ini menimbulkan kebimbangan yang serius mengenai keberkesanan Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ASEAN yang berkuatkuasa pada 2014 dan mengenai pelaksanaan ‘Hala Tuju Kerjasama ASEAN Terhadap Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan,’ yang mahu menjadikan ASEAN bebas jerebu menjelang 2020, yang kini dilihat seperti satu tugas yang amat mustahil.

Perlu diakui bahawa Perjanjian ASEAN kekurangan mekanisme penguatkuasaan atau instrumen bagi penyelesaian pertikaian dan oleh sebab itu agak lemah dan tidak cukup berkesan. Ia bertitik tolak terutamanya dalam mempromosikan kerjasama dalam kalangan negara ahli ASEAN dan mengharapkan setiap negara mengambil daya usaha mencegah kebakaran hutan di negara masing-masing, tanpa melanggar kedaulatan negara ahli.

Memandangkan kepada kelemahan ini, lebih banyak langkah berkesan diperlukan dengan segera termasuklah dalam mempercepatkan penubuhan dan operasi Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACCT-HPC) di Indonesia ditingkatkan lagi kerjasama dan tindakan bagi memerangi masalah ini.

Memandangkan terpulang kepada negara ahli untuk memastikan pencegahan kebakaran hutan di negara masing-masing, ia juga penting untuk menangani kenapa kerajaan tidak mampu untuk mencegah berulangnya kebakaran hutan.

Beberapa penyelidikan dan laporan menunjukkan bahawa terdapat isu tadbir urus sistemik yang serius di Indonesia berkaitan sektor perhutanan dan pembangunan ladang.

Rangka kerja tadbir urus bagi pembangunan peladangan di Indonesia amat kompleks, melibatkan peringkat kerajaan yang berbeza, menjadikan pemantauan dan penguatkuasaan berpusat satu cabaran . Selanjutnya, kebimbangan yang serius juga dikemukakan oleh masyarakat sivil Indonesia berhubung dakwaan kurangnya ketelusan dalam tabdir urus dan wujudnya rasuah dalam sektor perhutanan dan peladangan.

Menambah lagi masalah, syarikat peladangan yang terlibat dalam peladangan monokultur seperti kelapa sawit dan pulpa dan kertas, sering gagal untuk mematuhi undang-undang Indonesia dan mengambil jalan dengan menggunakan api dalam aktiviti pembersihan tanah.

Siasatan mestilah mendedahkan asal usul syarikat ini, kerana jika syarikat Malaysia juga turut terlibat dalam tindakan yang tidak bertanggungjawab ini, mereka juga mesti dihukum sekerasnya oleh pihak berkuasa kita. Ini seharusnya menjadi tambahan kepada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Indonesia terhadap semua syarikat yang bertanggungjawab bagi kebakaran hutan di Indonesia.

Tanpa menerima hakikat ini, maka ia menjadi satu cabaran bagi kerajaan ASEAN untuk memastikan visi bebas jerebu pada 2020.

Mestilah terdapat pengiktirafan serantau bahawa korporat besar ladang kelapa sawit dan pulpa dan kertas menebabkan bukan hanya penebangan hutan tetapi juga bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan di Indonesia.

Kumpulan masyarakat sivil Indonesia seperti Sahabat Alam Indonesia (WALHI), juga turut mengaitkan kebakaran besar dengan ladang korporat. Ia merupakan korporat besar dan bukannya petani kecil yang menjadi penyebab sebenar.

Pada tahun ini, seawal 10 Ogos, Jakarta Post sudah pun melaporkan bahawa Polis Riau telah menamakan korporat kelapa sawit sebagai suspek kebakaran hutan, manakala Reuters pada 29 Ogos melaporkan bahawa Polis Indonesia sedang menyiasat syarikat kelapa sawit berhubung kebakaran.

Oleh sebab itu penting bagi kita untuk menghentikan naratif palsu biasa yang menyalahkan sebahagian besarnya kebakaran kepada petani tempatan, di mana penanaman tanaman di tanah yang biasanya kecil.

Oleh sebab itu, dalam usaha untuk membantu menyokong Indonesia untuk menghentikan kebakaran hutannya secara kekal, tiga langkah asas perlu diambil oleh negara ASEAN termasuklah oleh kerajaan kita sendiri:

  • Pertama, mestilah terdapat pemahaman yang jelas mengenai penyebab sistemik kebakaran hutan dan aktiviti korporat yang sebahagian besarnya bertanggunjawab terhadapnya. Tindakan berkesan mestilah diambil untuk menghentikan aktiviti peladangan dan perhutanan tidak mampan ini, termasuk dalam mencegah penggunaan api dalam aktiviti membersihkan tanah.
  • Dua, mekanisme kerjasama ASEAN mestilah ditingkatkan dan menambah baik untuk lebih berkesan, termasuk melalui penubuhan ACCT-HPC.
  • Tiga, juga mestilah terdapat kesanggupan bagi Malaysia dan negara ASEAN lain untuk memastikan korporat milik warganegara mereka tidak terlibat dalam aktiviti yang merosakkan dan tidak mampan di luar negara.

Oleh sebab itu, kami menggesa Kerajaan Persekutuan menerajui proses menangani sumber masalah dan memastikan bahawa rantau ini tidak akan lagi melihat satu lagi kebakaran hutan dan menjadikan ASEAN bebas jerebu satu kenyataan dan bukan angan-angan.

 

Siaran Akhbar, 18 September 2019