Bahan kimia toksik yang berfungsi sebagai penambah (aditif) dalam plastik dan bahan kimia toksik yang boleh mengancam kesihatan manusia dan alam sekitar didapati terkandung dalam pelet plastik yang dipungut di satu pantai di negara ini.
Beberapa kesan terhadap kesihatan yang dikaitkan dengan bahan kimia ini termasuklah yang menyebabkan kanser atau mengubah aktiviti hormon (dikenali sebagai pengganggu hormon) yang boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk menjejaskan sistem pembiakan, pembesaran, dan gangguan kognitif. Kebanyakkan bahan tambah kimia toksik tersebut berupaya memberi kesan buruk ke atas kesihatan, berkekalan dalam alam sekitar, dan berkumpul dalam organisma yang terdedah kepadanya.
Pelet plastik adalah bahan yang digunakan dalam pembuatan plastik. Ia diketahui boleh tercicir keluar ketika proses pembuatan dan pengangkutan dan ditemui di pantai seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Dalam usaha mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai peranan pelet plastik dalam penyebaran bahan kimia toksik di seluruh dunia, CAP menyertai satu kajian bersama International Pollutants Elimination Network (IPEN) dan International Pellet Watch (IPW).
Dua puluh tiga NGO termasuk CAP menyertai usaha mengumpulkan pelet plastik di pantai, untuk menyumbang data yang sedia ada mengenai bahan kimia dalam pencemaran plastik seumpamanya.
Dalam kajian itu, pelet plastik dikutip dari pantai di Pulau Pinang dan dianalisa untuk mengesan polychlorinated biphenyls (PCBs) dan benzotriazole UV-stabilizers (BUVs).
Hasil kajian itu mendapati pelet plastik dari Pulau Pinang mengandungi kepekatan PCB antara 7.8-34.7 ng/g (nano gram per gram). PCBs tersenarai sebagai Persistent Organic Pollutants atau POPs di bawah Konvensyen Stockholm. Menurut laporan, sumber-sumber umumnya termasuklah pencemaran dalam alam sekitar, pengeluaran yang tidak disengajakan, bocoran daripada transformer elektrik lama selain pelupusan dan kitar semula. PCBs mempunyai pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar. Sejak 2015, ia diklasifikasikan sebagai bahan karsinogen.
Pelet dari Malaysia juga mengandungi 8 dari 10 BUVs yang diuji dalam kajian itu, dengan kepekatan diantara 246-1,275 ng/g. Jumlah tersebut meletaknya dalam kelompok pertengahan berbanding sampel pelet lain.
Benzotriazole UV-stabilizers (BUVs) merupakan sekumpulan penstabil UV yang ditambah kepada plastik, bahan penyalut dan kosmetik. Sungguhpun data mengenai sesetengah jenis BUVs adalah terhad, namun beberapa BUVs boleh berkumpul dalam hidupan dan kekal berada dalam persekitaran. Sebahagian daripadanya diketahui sebagai bahan kimia pengganggu endokrin.
Pihak berkuasa Malaysia harus mengambil iktibar dari hasil kajian ini memandangkan sebuah kapal kontainer X-Press Pearl di mana pelet plastik adalah diantara kargo nya telah terbakar dan karam di pesisir pantai Sri Lanka. Laporan PBB menjelaskannya sebagai tumpahan plastik terbesar dalam sejarah. Pelet plastik dari tumpahan ini akan tersebar dari pesisir pantai Malaysia hingga ke Somalia.
PBB menggelarnya “bencana maritim terburuk” Sri Lanka, dengan 87 kontainer di atas kapal menumpahkan berbilion pelet plastik ke laut, di mana sebahagian besar daripadanya berakhir di pantai negara sekelilingnya.
Pelet plastik yang digunakan untuk menghasilkan produk plastik apabila tertumpah ke laut mempunyai kesan yang besar ke atas alam sekitar. Namun begitu, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) masih belum memperakuinya sebagai bahan berbahaya di bawah kod barangan berbahaya bagi pengendalian dan penyimpanan yang selamat.
Sewaktu proses pengangkutanlah pelet plastik berpotensi besar menyebabkan kerosakan alam sekitar. Ia boleh mengancam hidupan liar ketika diangkut ke kilang, terutama melalui kontainer kapal, atau ketika ia dilepaskan oleh kilang plastik. Pelet plastik ini adalah “blok binaan” bagi banyak produk plastik seperti polyethylene, polypropylene dan polystyrene.
Apabila terlepas ke laut, pelet plastik sukar dibezakan dengan telur ikan, memandangkan saiz dan warnanya kelihatan sama. Ikan, burung camar dan hidupan liar marin lain sering tersilap memakannya. Pelet plastik boleh menyebabkan ulser, selain memperdaya ikan dengan membuatnya berasa kenyang dan menyangka ia sudah makan, sebaliknya keadaan ini boleh menyebabkan kekurangan zat makanan dan kebuluran.
Selain itu pelet plastik juga bertindak sebagai “span toksik”, bererti ia menarik bahan cemar di sekeliling ke permukaan air. Bahan cemar ini kemudian memasuki rantaian makanan di sekelilingnya apabila ikan dan hidupan laut tersebut dimakan, keadaan ini akan menyebabkan kesan yang besar terhadap ekosistem.
Lebih 220 spesies marin didapati termakan mikroplastik seperti pelet plastik dan lain-lain serpihan plastik.
Dr Therese Karlson, penasihat sains dan teknikal IPEN, dan ketua pengarang bagi kajian pelet plastik di pantai berkata, “Kajian terbaharu ini menyokong selanjutnya saranan kami bahawa tindakan antarabangsa ke arah penggunaan plastik yang lebih mampan perlu dilihat lebih dari sekadar sisa buangan untuk menangani bahaya dan kerosakan yang berkaitan dengan bahan penambah kimia toksik dalam plastik.”
Memandangkan senario di atas, CAP menggesa pihak berkuasa agar bukan hanya memberi tumpuan kepada kempen menentang plastik kepada hanya beg plastik sekali guna tetapi ia juga perlu:
- Membentuk undang-undang merangkumi pengeluaran, penggunaan, kitar semula dan pelupusan plastik
- Kurangkan penggunaan plastik
- Haramkan penggunaan bahan kimia toksik dalam plastik.
- Haramkan perdagangan sisa plastik
Kenyataan Akhbar, 27 Disember 2021