Pada 15 Mac 2011, Malaysia mengumumkan pengharaman botol polikarbonat mengandungi Bisphenol A (BPA). Pengharamannya berkuatkuasa pada Mac 2012. Keputusan untuk mengharamkan botol susu ini diambil kerana BPA berisiko kepada sistem hormon bayi.
Menurut Seksyen 27A Peraturan Makanan 1985: (1) Tiada seorang pun boleh mengimport, mengeluar atau mengiklankan bagi jualan atau menjual sebarang botol susu mengandungi Bisphenol A (BPA). (2) Perkataan “Bebas BPA” mungkin dilabelkan ke atas botol susu atau di atas bungkusan botol susu yang tidak mengandungi Bisphenol A (BPA).
Bagaimanapun dalam kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama International Pollutants Elimination Network (IPEN), BPA dikesan dalam semua 9 sampel botol polikarbonat Malaysia yang diuji.
Jumlah BPA yang dikesan dalam sampel Malaysia antara daripada 0.3 – 5.8 bpb (bahagian per bilion). BPA adalah bahan kimia toksik dengan tiada paras pendedahan yang selamat.
Antara sampel adalah botol susu bayi buatan China yang ditemui mengandungi 2.6 bpb BPA. Botol itu juga mempunyai label “Bebas BPA”. Produk itu bukan hanya melanggar Peraturan Makanan 1985 tetapi juga Akta Perihal Dagangan 1972.
Dalam kajian yang dijalankan oleh IPEN di lapan negara, BPA terdapat dalam 76 daripada 98 botol susu dan bekas makanan yang dianalisis. Dua pertiga sampel botol dilabelkan sebagai bebas BPA didapati mengandungi bahan kimia.
Pendedahan BPA dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan kesihatan termasuk kanser, gangguan kesuburan, dan difungsi seksual dalam kalangan lelaki dan wanita serta diabetes.
Amat mengejutkan bahawa begitu banyak produk disalah label sebagai bebas BPA. Ibu bapa yang prihatin tertipu dengan membeli produk yang boleh membahayakan bayi mereka. Kita memerlukan peraturan yang lebih ketat dan tegas bagi pelabelan bahan kimia toksik dalam produk pengguna.
“Adalah amat membimbangkan apabila mendapati BPA, bahan kimia toksik dengan tiada paras pendedahan selamat, dalam produk direka khusus untuk kanak-kanak. Kita juga perlu memastikan bahawa semua bahan kimia bisphenol diharamkan sebagai satu kumpulan, untuk mengelakkan pengganti daripada satu bahan kimia dengan bahan yang lain,” kata Jitka Strakova, Penyelidik Global IPEN.
Mendedahkan anak-anak kita kepada penggangu endokrin seperti BPA akan menjejaskan perkembangan mereka dan ia seharusnya dielakkan sama sekali.
Berdasarkan kepada penemuan terbaharu ini dan bahaya yang dikaitkan dengan BPA, CAP menggesa pihak berkuasa supaya menguatkuasakan dengan lebih ketat dan tegas Peraturan Makanan 1985 dan Akta Perihal Dagangan 1972.
Sementara itu, CAP menggesa pengguna supaya mengambil langkah berikut bagi mengurangkan pendedahan kepada BPA.
- Gunakan botol susu bayi yang diperbuat daripada kaca.
- Gunakan botol air logam atau kaca.
- Elakkan pengambilan makanan dalam tin.
- Gunakan bekas simpanan makanan kaca sebagai ganti plastik.
- Makanan makanan segar pada musimnya untuk mengelakkan pengambilan makanan dalam tin.
- Jangan gunakan pembalut plastik atau bekas plastik untuk memanaskan makanan.
- Buang sebarang botol plastik lama dan tercalar.
Kenyataan Akhbar, 18hb Februari 2022
Nota kepada Pengarang:
Pautan kepada laporan: https://ipen.org/documents/call-action-free-children-bpas-toxic-legacy
Apakah ia: Bisphenols, seperti bisphenol A (BPA), digunakan sebagai blok binaan bahan kimia dalam plastik polikarbonat dan resin epoksi dan digunakan dalam bekas makanan dan minuman guna semula, botol air guna semula, lapisan tin makanan, peralatan perubatan dan sukan, kanta cermin mata, resit kertas haba, dan paip air plastik.
Laluan pendedahan: Jumlah pengeluaran bahan kimia ini yang tinggi menyebabkan kebanyakan orang ramai terdedah kepada BPA apabila ia melarut resap daripada bahan sentuhan ke dalam makanan dan minuman yang mereka ambil. BPA melarut resap daripada tapak pembuangan sampah yang mencemarkan air sisa, air bawah tanah, dan air tawar, dan ditemui di seluruh dunia di persisiran pantai dan dalam sisa plastik di lautan. BPA, disenaraikan sebagai bahan yang amat membimbangkan oleh Kesatuan Eropah (EU), terdapat beratus kajian yang membuktikan ia nya toksik. Banyak negara telah mula mengambil langkah untuk mengharamkan BPA daripada botol bayi, tetapi terdapat bukti kukuh bahawa pengganti bahan kimia ini juga menunjukkan kesan kesihatan yang sama.
Kesan kesihatan: Terdapat banyak bukti yang mengesahkan bahawa BPA boleh menjejaskan perkembangan otak dan tingkah laku. Pendedahan kepada bahan kimia ini boleh meningkatkan perasaan kebimbangan, kemurungan, hiperaktif, kurang perhatian, masalah tingkah laku. Bahan ini juga dikaitkan dengan masalah pembiakan yang buruk kerana ia menjejaskan pembahagian sel dalam telur. BPA juga dikaitkan dengan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) — satu keadaan hormon kompleks yang dikaitkan dengan kitaran haid yang tidak teratur, kesuburan berkurangan dan peningkatan risiko diabetes. Di kalangan lelaki, BPA boleh menjejaskan kesuburan dan dikaitkan dengan disfungsi seksual kerana pendedahan semasa bekerja. BPA turut dikaitkan dengan kanser payudara, prostat, ovari dan endometrium.
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/