Bahan kimia toksik ditemui dalam pelet plastik untuk plastik kitar semula – CAP

Presiden CAP menunjukkan pelet plastik kitar semula yang digunakan untuk membentuk produk baharu.

Ramai yang melihat peningkatan dalam kitar semula plastik sebagai jalan penyelesaian bagi krisis pencemaran plastik. Namun begitu bahan kimia toksik dari plastik tidak disingkirkan dalam proses kitar semula tetapi berpindah kepada produk plastik kitar semula yang baharu.

Proses mengitar semula plastik sepatutnya menyumbang kepada ekonomi sepusingan (sirkular). Tetapi plastik yang mengandungi kimia toksik tidak sepatutnya dikitar semula, dan sebaliknya perlu dianggap sebagai bahan bukan sepusingan (sirkular).

Selepas China menutup pintu kepada sisa plastik, Malaysia muncul sebagai antara destinasi utama bagi pengeksport sisa plastik. Mengitar semula sisa plastik menjadi perniagaan yang menguntungkan di Malaysia, malah kerajaan turut menggalakkannya menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Plastik kitar semula toksik.

Mengitar semula sisa plastik dari luar negara mungkin menguntungkan tetapi kekurangan peraturan dan pengawasan telah menimbulkan pelbagai masalah di Malaysia. Ini kerana plastik yang tidak sesuai untuk dikitar semula mungkin dilupuskan melalui pembakaran, justeru ia melepaskan bahan kimia toksik ke dalam alam sekitar. Ataupun ia mungkin di buang di tapak pelupusan sampah, dengan itu berpotensi mencemarkan tanah dan sumber air.

Plastik terpakai dikitar semula menjadi pelet, yang seterusnya digunakan untuk menghasilkan produk plastik lain. Ujian yang dijalankan ke atas pelet ini telah mengesan bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan.

Dalam usaha mendapatkan gambaran global dan data mengenai pengkitaran plastik CAP telah menyertai satu kajian bersama International Pollutants Elimination Network (IPEN).

CAP adalah antara 24 NGOs dari 23 negara yang mengambil sampel pelet plastik kitar semula yang diperbuat daripada polietilena densiti tinggi (HDPE).

Bahan penambah dalam sampel.

CAP mendapatkan pelet plastik kitar semula berkenaan daripada pengitar plastik yang mengeksport dan menjual pelet tersebut kepada pengeluar tempatan untuk dijadikan produk baharu.

Kesemua pelet itu dianalisa bagi kandungan tiga kumpulan bahan kimia yang diketahui berbahaya: penstabil UV benzotriazole, bahan kalis api berbromin dan Bisphenol A.

Penstabil UV benzotriazole  (BUVs) merupakan sekumpulan penstabil UV yang ditambah kepada plastik, penyalut dan kosmetik. Sungguhpun data bagi sesetengah jenis BUVs kurang ditemui, terdapat data yang menunjukkan beberapa BUVs boleh berkumpul dalam hidupan  dan berkekalan dalam alam sekitar. Sesetengahnya merupakan bahan kimia pengganggu endokrin.

Bahan kalis api berbromin diketahui boleh menjejaskan sistem endokrin, imun dan pembiakan. Malah ada di antaranya didapati menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak. Secara keseluruhan, analisa itu membabitkan ujian ke atas 18 bahan kimia (11 bahan kalis api berbromin, 6 penstabil UV dan Bisphenol A). Daripada 18 bahan kimia ini, 12 diketahui merupakan bahan kimia pengganggu endokrin.

Jika pelet itu mengandungi  bahan kalis api berbromin, ia menandakan plastik dari sisa elektronik dimasukkan dalam proses kitar semula. Kehadiran Bisphenol A (plastik yang telah diharamkan atau dibatasi penggunaannya di banyak negara) pula menandakan bahawa plastik polikarbonat telah digunakan dalam proses kitar semula.

Pelet dari CAP didapati mengandungi ketiga-tiga kumpulan bahan kimia yang dianalisa. Ia mengandungi 16 bahan kimia, termasuk 9 bahan kalis api, 6 bahan penstabil UV dan Bisphenol A. Bahan kimia yang dikesan dalam sampel tersebut turut termasuk 10 bahan kimia pengganggu endokrin.

Menurut Penasihat Sains IPEN, Dr Sara Brosché, pelet dari Malaysia tidak sesuai untuk kegunaan dalam produk baharu terutama produk yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kimia toksik.

Kajian terbaharu IPEN menunjukkan pengitar kekurangan maklumat dan kapasiti untuk menjalankan pengasingan sumber. Plastik yang dikitar semula mengandungi kimia berbahaya yang boleh memudaratkan ke dalam produk baharu.

Sehubungan dengan penemuan terbaharu itu, CAP menggesa pihak berkuasa Malaysia memperkenalkan undang-undang membabitkan pengeluaran, penggunaan, pengitaran semula dan pelupusan semua plastik. Pengeluaran plastik perlu dikurangkan secara drastik dan perdagangan sisa plastik perlu diharamkan.

Kerajaan tidak sepatutnya menggalakkan perniagaan mengitar semula plastik toksik kerana ia bukan sahaja memusnahkan alam sekitar malah turut menjejaskan kesihatan pekerja dan pengguna.

Pengeluar perlu menghentikan penggunaan bahan kimia toksik dalam plastik secara berperingkat. Mereka juiga perlu mendedahkan sebarang kandungan bertoksik kepada pengguna hiliran, pengguna, pengitar semula dan kakitangan pengurusan sisa.

 

Kenyataan Akhbar, 13 Januari 2022