Quezon City, 7 April 2021- Perhimpunan dalam talian lebih dari 100 orang untuk memperingati Hari Kesihatan Sedunia hari ini mengetengahkan bahaya pendedahan kepada satu kelompok kimia yang wujud berterusan, digelar “kimia selamanya” (Forever Chemicals), dan kepentingan melindungi keselamatan orang ramai dan alam sekitar daripada bahan kimia sintetik ini.
Di bawah anjuran bersama Eco Waste Coalition dan International Pollutants Elimination Network (IPEN), “D-tox Webinar on Forever Chemicals” itu memberikan tumpuan kepada bahaya PFAS (akronim bagi bahan-bahan per- and polyfluoroalkyl), iaitu sekumpulan lebih 5,000 bahan kimia yang diberi jolokan “kimia selamanya” kerana ia tidak mudah terurai dan boleh kekal dalam alam sekitar, lama kelamaan berada dalam tubuh manusia dan memberi kesan buruk kepada mereka.
Kakitangan sumber, Pamela Miller (Pengerusi Bersama IPEN dan Pengarah Eksekutif Alaska Community Action on Toxics) dan Jeff Gearhart (Pengarah Penyelidikan Healthy Stuff Lab and Ecology Center) mengetuai perbincangan mengenai PFAS dan menyarankan beberapa tindakan untuk mengawal dan mencegah pendedahan kepada kimia kekal tersebut.
“Selama lebih 70 tahun, perbadanan kimia seperti Dupont dan 3M telah mencemari dunia dan tubuh kita dengan bahan-bahan PFAS berbahaya. Kimia ini boleh memudaratkan kesihatan meskipun pendedahan pada paras rendah. Kita mesti mengambil tindakan bersama untuk memastikan pengeluar kimia bertanggungjawab dan mengharamkan PFAS sebagai satu kelas untuk melindungi kesihatan dan alam sekitar dari terus terjejas,” kata Miller.
“Kita tahu bahaya yang dikaitkan dengan banyak bahan kimia PFAS, sungguhpun terdapat 1,000 bahan kimia PFAS yang belum dikaji dengan sempurna,” tegas Gearhart. “Akibatnya bagi banyak aplikasi produk, kita sendiri tidak tahu identiti bahan kimia spesifik yang digunakan sehinggalah ia muncul dalam makanan, tubuh, air dan alam sekitar. Kami menggalakkan pengeluar agar menyingkirkan PFAS dan mencari pengganti yang selamat bagi produk mereka.”
PFAS dikenali dengan ciri-ciri tahan minyak dan air, sering digunakan dalam pelbagai produk termasuk kuali tidak melekat, pembungkus makanan kalis minyak, pakaian penahan air, permaidani dan langsir pencegah kotoran, busa pemadam api, penggilap dan lilin, cat, penyalut dan pelekat, produk penjagaan diri dan kosmetik, dan sebagainya.
Manusia terdedah kepada PFAS apabila mereka meminum air yang dicemari PFAS, memakan makanan yang ditanam atas tanah yang dicemari PFAS, memasak dalam peralatan memasak bersalut PFAS atau dibungkus dalam bahan pakai buang yang mengandungi PFAS, memakan ikan yang ditangkap dari perairan yang dicemari PFAS, menghidu udara dan zarah yang dicemari PFAS, dan melalui penyerapan kulit daripada membersih dan produk kosmetik yang mengandungi PFAS.
Sementara itu kesan buruk pendedahan kepada PFAS terhadap kesihatan termasuklah hipertensi yang didorong oleh kehamilan, tekanan pada imun, kerosakan hati dan buah pinggang, kenaikan paras kolesterol, kenaikan risiko penyakit tiroid, peningkatan risiko asma, penurunan tahap kesuburan, berat badan rendah ketika lahir dan respons antibodi rendah kepada vaksin.
“Mereka yang terdedah kepada PFAS mungkin lebih mudah dijangkiti COVID-19 dan komplikasinya”, kata Miller. Selain itu PFAS juga boleh menjejaskan sistem imun dan merendahkan daya tahanan tubuh kepada penyakit berjangkit. Kajian menunjukkan pendedahan kepada PFAS boleh merendahkan respons antibodi kepada vaksin seperti tetanus (rahang kaku), difteria, flu dan rubella.”
Untuk mengelak pendedahan kepada PFAS, orang ramai digalakkan supaya:
- Jangan gunakan kuali dan peralatan memasak yang tidak melekat; sebaiknya gunakan peralatan keluli tahan karat (stainless steel) atau besi tuang.
- Berhati-hati dengan fabrik berlabel pencegah kotoran atau air
- Kurangi makanan segera berminyak – ia kerap diisi dalam bekas bersalut PFAS.
- Elakkan memasak bertih jagung dengan ketuhar gelombang mikro, sebaliknya gunakan dapur memasak.
- Pilih produk dandanan diri tanpa “PTFE” atau ramuan “fluoro”.
- Pilih produk yang tidak dirawat terlebih dahulu dan elakkan rawatan pencegah kotoran untuk permaidani dan perabot baharu.
Untuk mencegah penggunaan kimia PFAS yang berterusan dan akhirnya dilepaskan ke dalam alam sekitar, tindakan berikut disarankan:
- Haramkan PFAS sebagai kelas, termasuk penggunaan kimia PFAS dalam buih pemadam kebakaran, pembungkusan makanan, tekstil dan produk lain yang tidak perlu.
- Mewajibkan industri terbabit mencatatkan kandungan PFAS dalam produk dan meletakkan label amaran dengan jelas.
- Memperkenalkan standard air minuman yang melindungi kesihatan dan memastikan komuniti yang berdepan masalah pencemaran menerima sumber air minuman yang bersih.
- Melakukan pemantauan kimia PFAS terhadap manusia dan alam sekitar untuk mencegah pendedahan yang kronik dan akut.
- Memastikan pengeluar bertanggungjawab dari segi kewangan untuk membersihkan pencemaran PFAS dan kemudaratannya ke atas komuniti.
“Memandangkan PFAS tidak dikawal dengan ketat di kebanyakan negara, kami menggesa kerajaan supaya mengambil pendekatan yang lebih proaktif untuk mengawal dan menyingkirkan bahan-bahan yang wujud secara berterusan. Tindakan yang boleh mencegah dan mengurangkan kesan PFAS yang menjejaskan kesihatan manusia dan ekosistem akan menyumbang kepada pencapaian pembangunan mampan dan masa hadapan bebas toksik bagi semua,” kata Chinkie Peliño-Golle, Penyelaras Serantau IPEN bagi Asia Tenggara dan Timur yang beribu pejabat di Filipina.
CAP telah menerbitkan sebuah buku mengenai “Kimia Selamanya” dalam Kuali Tidak Melekat.