Hari ini (5 Jun) ialah Hari Alam Sekitar Sedunia dan tema tahun ini ialah “Pemulihan ekosistem”.
Ekosistem menyokong semua kehidupan di atas Bumi ini. Lebih sihat ekosistem, lebih sihat planet dan manusia. Daripada hutan dan tanah ladang hinggalah kepada air tawar, lautan dan pantai, kepelbagaian dan kepentingan ekosistem Bumi menjadi asas kemakmuran dan kesejahteraan manusia. Malangnya kita semakin menjejaskan sumber yang amat berharga ini dalam cara yang amat membimbangkan.
Tahun ini menandakan pelancaran rasmi Dekad PBB mengenai Pemulihan Ekosistembertujuan “untuk mencegah, menghentikan dan membalikkan kemerosotan ekosistem di setiap benua dan di setiap lautan”.
Pemulihan ekosistem bermaksud membantu dalam pemulihan ekosistem yang telah merosot atau musnah, serta memulihara ekosistem yang masih kekal. Ekosistem yang sihat dengan kekayaan biodiversiti, menghasilkan manfaat yang lebih besar seperti lebih banyak tanah yang subur, hasil kayu dan ikan yang lebih besar dan simpanan gas rumah hijau yang lebih besar.
Pemulihan boleh berlaku dalam banyak cara – contohnya melalui penanaman secara aktif atau menghilangkan tekanan supaya alam semula jadi boleh pulih dengan sendiri. Tidak selalu mungkin atau diinginkan untuk mengembalikan ekosistem kepada keadaan asalnya. Contohnya, kita masih memerlukan tanah ladang dan infrastruktur di atas tanah yang satu ketika adalah hutan dan ekosistem seperti masyarakat perlu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
Antara sekarang dan 2030, pemulihan 350 juta hektar daratan yang terjejas dan ekosistem akuatik boleh menjana US$9 trilion dalam perkhidmatan ekosistem. Pemulihan boleh juga menghapuskan 13-26 gigaton gas rumah hijau daripada atmosfera. Manfaat ekonomi daripada campurtangan seperti itu melebihi 9 kali kos pelaburan, manakala tidak melakukan apa-apa tindakan sekurang-kurangnya 3 kali lebih mahal berbanding pemulihan ekosistem.
Semua jenis ekosistem boleh dipulihkan, termasuk hutan, tanah lading, kota raya, tanah lembap dan lautan. Inisiatif pemulihan boleh dilancarkan oleh hampir sesiapa sahaja, daripada kerajaan dan agensi pembangunan hinggalah kepada perniagaan, komuniti dan individu. Ini kerana penyebab kemerosotan adalah banyak dan pelbagai dan boleh memberikan kesan pada skala yang berbeza.
Contohnya, kemerosotan mungkin hasil daripada dasar berbahaya seperti subsidi bagi pertanian intensif atau undang-undang pemilikan yang lemah menggalakkan penebangan hutan. Tasik dan pesisir pantai boleh menjadi tercemar disebabkan oleh pengurusan sisa yang lemah atau kemalangan industri. Tekanan komersial boleh menjadikan bandar dan kota raya terlalu banyak aspal dan terlalu sedikit ruang hijau.
Pemulihan ekosistem besar dan kecil boleh membantu menghapuskan kemiskinan, memerangi perubahan iklim dan mencegah kepupusan massa. Ia melindungi dan memperbaiki kehidupn penduduk yang bergantung kepadanya. Ia juga membantu mengawal penyakit dan mengurangkan risiko bencana alam. “Pada hakikatnya, pemulihan boleh membantu kita untuk mencapai semua Matlamat Pembangunan Mampan,” kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tiada yang lebih perlu disegerakan untuk memulihkan ekosistem yang rosak berbanding sekarang. Ia hanya akan berjaya jika setiap orang memainkan peranannya.