Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin memberitahu bahawa pada 2 hb Februari 2021, kami bersama 24 pertubuhan daripada beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Selangor telah pun menyampaikan suatu bantahan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi berhubung dengan pemohonan tanah kerajaan negeri Kedah oleh Langkasuka Land Sdn. Bhd.
Bantahan tersebut adalah seperti berikut:
Latar belakang
1. Kami, yang terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang tersenarai di bawah, telah difahamkan bahawa satu permohonan telah pun dikemukakan oleh Langkasuka Land Sdn. Bhd. (syarikat tersebut) kepada kerajaan negeri Kedah untuk beberapa bidang tanah di Padang Matsirat iaitu di kawasan ‘Break-Water’, Kuala Muda, Kedah.
2. Tanah-tanah tersebut terdiri daripada PT 449 (Utara), Lot 60002/PT 17/Lot 1047/Lot 967 (Timur), Tanah Kerajaan (Laut) (Barat) dan Lot 60012 & PT 1298.
3. Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan yang memaklumkan bahawa sekiranya beliau tidak menerima sebarang bantahan yang munasabah berkenaan dengan permohonan tanah ini sebelum 3 Februari 2021, maka “tanah tersebut mungkin akan dibenarkan” kepada syarikat tersebut.
Bantahan-bantahan kami
4. Kami mendapati bahawa permohonan syarikat tersebut ada berkaitan dengan projek penambakan laut seluas 1,979 ekar yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Kedah baru-baru ini bersama Widad Business Group Sdn Bhd (WBG).
5. Sebarang permohonan tanah yang berkaitan dengan projek penambakan laut tersebut seharusnya tidak boleh dibenarkan kerana ianya adalah pramatang (premature) atas sebab ia masih lagi belum melalui proses undang-undang yang diperuntukkan.
6. Sebarang projek penambakan laut seluas ini wajib mendapatkan nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) (National Physical Planning Council) di bawah Seksyen 20B Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Untuk memperolehi nasihat MPFN tersebut, cadangan pembangunan (development proposal) tersebut bersama dengan laporan penilaian kesan sosial (social impact assessment) dan lain-lain laporan wajib disediakan terlebih dahulu.
7. Pada pandangan kami, laporan-laporan tersebut harus juga merangkumi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling Jadual Kedua (Environmental Impact Assessment Schedule 2), di mana penglibatan orang awam dan kelulusan Jabatan Alam Sekitar diperlukan.
8. Pada pandangan kami, undang-undang tersebut wajib dipatuhi dan penglibatan awam perlu dilakukan kerana projek penambakan laut dengan keluasan yang sedemikian rupa tentunya akan memberikan dampak negatif yang ketara kepada alam sekitar. Projek ini perlu mengambil kira pelbagai isu, termasuklah perubahan iklim, kesan-kesan ke atas ekosistem marin, sektor perikanan dan kesan-kesan sosio-ekonomi yang akan dihadapi oleh nelayan-nelayan pantai di Pulau Langkawi dan di kawasan sekitarnya.
9. Kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan negeri Kedah harus juga diberi perhatian terutamanya industri pelancongan yang sedang mengalami kemerosotan teruk akibat dari pandemik Covid-19. Oleh yang demikian, amatlah penting bahawa sebelum projek ini diteruskan, analisa faedah dan kos (cost benefit analysis) yang terperinci dan proses ulasan orang awam wajib dilaksanakan terlebih dahulu. Ini akan menyelamatkan kerajaan negeri daripada mengambil sebarang keputusan yang akan memudaratkan ekonomi, kewangan dan alam sekitar negeri Kedah.
10. Tambahan pula, kita mesti mengambil iktibar daripada projek-projek penambakan laut besar-besaran yang telah gagal di negara-negara lain seperti di Timur Tengah.
11. Sekiranya permohonan ini dibenarkan tanpa pematuhan proses undang-undang dan penglibatan orang awam, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai satu penyalahgunaan kuasa dan salah di sisi undang-undang.
Seruan/Tuntutan kami
Berdasarkan perkara-perkara di atas, dan untuk memastikan proses kepemerintahan yang baik, yang prihatin kepada pandangan rakyat, kami menyeru agar permohonan Langkasuka Land Sdn Bhd ini ditolak.
Kenyataan Akhbar, 7 Feb 2021