Banteras perbuatan merempit sekarang

Pada awal pagi Tahun Baharu 2020, pihak polis telah menjalankan operasi di Lebuh raya Tun Dr. Lim Chong Eu untuk menahan Mat Rempit yang menggila-gila berlumba di jalan raya. Jumlah Mat Rempit yang dilaporkan ditangkap dan ditahan di balai polis Bayan Lepas untuk diproses mencecah ratusan orang. Selepas membaca laporan ini perasaan kami berbelah bagi, sama seperti orang lain yang membacanya.

Ini cuma salah satu insiden daripada sebegitu banyak kes merempit yang berlanjutan selama bertahun-tahun. Pihak polis telah melakukan tugas dengan baik, iaitu menghalang kegiatan itu sebelum sempat mereka memulakannya. Namun sekadar menangkap mereka berlumba secara haram masih belum memadai. Semakin kerap polis menjalankan operasi untuk menangkap mereka, semakin menjadi-jadi kegiatan merempit di jalan raya. Oleh itu pihak berkuasa perlu berusaha lebih keras untuk menghentikan sama sekali perbuatan merempit tersebut.

Di seluruh dunia terdapat aktiviti yang membabitkan orang bermotosikal secara berkumpulan. Misalnya terdapat lumba motosikal dan kelab motosikal. Sementara aktiviti sebegini bukan sebahagian daripada budaya kita dan cuma membazirkan sumber dengan meninggalkan kesan buruk ke atas alam sekitar, individu atau kumpulan terbabit tidak membuat kecoh atau membahayakan orang lain.

Sebaliknya Mat Rempit lain kisahnya. Merempit dengan mempamerkan kelakuan yang tidak beradab dan melanggar peraturan jalan raya, mereka  bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain di sekitar mereka. Malah ramai Mat Rempit berkelakuan seperti  samseng jalan raya. Tingkah laku dan perlakuan sebegini sememangnya tidak dapat diterima sama sekali.

Alasan kenapa sesetengah orang asyik merempit adalah kerana ia mudah dilakukan dan berjaya melepaskan diri pada kebanyakan masa.

Bagi membanteras budaya merempit, pihak berkuasa perlu mengharamkan individu yang merempit dari memperolehi lesen kenderaan jalan raya bagi suatu jangka masa yang lama. Sesetengah orang mungkin membantah kerana kebanyakan Mat rempit tidak mempunyai lesen motosikal. Bagaimanapun tujuannya ialah untuk menyenaraihitamkan mereka.

Kedua, sebaik sahaja individu terbabit disenaraihitamkan, mereka perlu dihantar menjalani program pemulihan sivik mandatori untuk mengubah tingkah laku merempit mereka yang sangat buruk.

Kami menggesa pihak berkuasa agar mengambil langkah proaktif yang serius terhadap golongan Mat Rempit. Tindakan pencegahan dan pembetulan perlu dilaksanakan dalam usaha membendung perlakuan tidak sihat ini. Kerajaan perlu mengarahkan dibuat kajian mengenai kenapa remaja beralih kepada merempit dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk membanteras gejala sosial ini.

Surat kepada Pengarang, 13 Januari 2020