Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak meneruskan kerja bagi Projek PSR memandangkan terdapat rayuan oleh komuniti nelayan yang terjejas oleh projek terhadap kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) oleh Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar.
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memberikan kuasa kepada mereka yang terjejas untuk merayu terhadap keputusan kelulusan laporan EIA oleh Ketua Pengarah. Peruntukan ini amat penting dalam undang-undang bagi membolehkan orang awam yang terjejas untuk memastikan bahawa sebarang cadangan pembangunan tidak mempunyai kesan buruk ke atas alam sekitar dan masyarakat. Pihak berkuasa, terutamanya Kerajaan Negeri, mestilah mengakui dan menghormati hak untuk membuat rayuan ini dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskannya.
Yang memranjatkan, walaupun Lembaga Rayuan masih belum memulakan pendengaran rayuan, Timbalan Ketua Menteri dilaporkan berkata projek itu akan bermula seawal Mac, bermula dengan tebus guna Pulau A.
Dari manakah beliau mendapat jaminan bahawa Lembaga Rayuan akan membuat keputusan berpihak pada Kerajaan Negeri dan SRS, rakan penyampai projek, jadi mereka boleh mula melaksanakan projek pada Mac? Beliau tidak seharusnya membuat kenyataan itu kerana ia akan memberikan kesan negative, dan menghakis keyakinan awam, terhadap proses rayuan.
Apa akan berlaku jika penghakiman tidak berpihak kepada Kerajaan Negeri dan SRS apabila cabaran kepada kelulusan EIA akhirnya diputuskan? Ekosistem pantai yang akan ditebus guna dan sumber perikanan akan musnah dan komuniti nelayan terdedah kepada kesukaran hidup.
Rayuan terhadap kelulusan EIA oleh komuniti nelayan mempunyai alasan yang amat kuat, berkaitan dengan isu penting. Perintah Ketua Pengarah bertentangan dengan pengakuan awalnya, iaitu jika projek SRS dilaksanakan akan terdapat “kerosakan yang tidak dapat dipulihkan dan kesan selut ke atas ekosistem kukup, kawasan perikanan, pendaratan penyu dan sebahagian terumbu karang di Pulau Rimau yang merupakan ekosistem penting kepada sumber perikanan. Kerosakan yang tidak dapat dipulihkan akan menyebabkan kesan negatif yang ketara kepada sumber perikanan, ikan dan akan mengancam jaminan keselamatan makanan negara.” Jika terdapat kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada sumber perikanan dan ekosistem kita, maka tiada ‘pembangunan’[pada hakikatnya kemusnahan] seharusnya dibenarkan.
Alasan rayuan penting lain ialah Ketua Pengarah, sebelum memberikan kelulusan EIA, tidak mengambil kira kepentingan komitmen Malaysia di bawah Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan perjanjian lain. Ia termasuk pemuliharaan dan penggunaan mampan lautan, laut dan sumber marin bagi pembangunan mampan. Projek tebus guna akan mengakhiri penggunaan mampan sumber marin dan lautan dengan kemusnahan berkekalan perikanan. Projek ini juga akan menjana lebih banyak karbon dioksida yang mencabuli janji Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Projek tebus guna yang dicadangkan dan Pelan Induk Pengangkutan SRS akan menelan belanja RM58 bilion. Kerajaan Negeri dan SRS tidak pernah mengeluarkan sebarang bukti bahawa mereka mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan projek mega ini. Kerajaan Persekutuan tidak menyokongnya. Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan mengeluarkan bon tanpa jaminan Persekutuan. Apabila dinyatakan bahawa cadangannya itu tidak berperlembagaan beliau terus diam.
Pada Julai tahun lepas, Ketua Menteri mengumumkan bahawa bagi memulakan projek tiga pulau, SRS akan menyerahkan pelan kewangan dalam tempoh sebulan kepada Kerajaan Negeri supaya ia “boleh melihat aliran tunai, kos… untuk mempertimbangkan pelbagai pilihan pembiayaan projek.” Tidak ada apa lagi yang didengar mengenai pelan kewangan yang dijanjikan itu.
Kerajaan Melaka membatalkan projek tebus guna Malacca Gateway yang berharga RM43 bilion kemungkinan kerana ia tidak berdaya maju. Ini seharusnya menjadi peringatan kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk mendengar kritikan dan saranan daripada masyarakat sivil untuk mengelakkan daripada melakukan kesalahan besar yang serupa. Dalam kes projek PSR, pertubuhan masyarakat sivil membuat kritikan yang kuat, dibuktikan dengan fakta dan data, bahawa ia boleh memberikan kesan negatif yang serius ke atas sosioekonomi dan alam sekitar. Ini sebelum pandemik Covid-19.
Tidak masuk akal bahawa Kerajaan Negeri mahu melaksanakan projek mega yang berharga RM58 billion sekarang dalam suasana pandemik masih tidak terkawal; perdagangan terganggu; perusahaan kecil dan sederhana berdepan bankrap; berjuta menganggur dan perbendaharan negara menghapai kekurangan dana untuk pembangunan. Ahli politik yang menguruskan negeri seharusnya lebih sensitif kepada realiti semasa dan menggunakan sumber negeri untuk mengurangkan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.
Kerajaan Pulau Pinang perlu mengambil pengajaran daripada projek Malacca Gateway yang gagal dan membatalkan projek mega tebus guna dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang berharga RM58 bilion yang dicadangkan dan direka oleh Gamuda dan rakan kongsi SRS. Pertubuhan masyarakat sivil telah mengemukakan cadangan alternatif kepada SRS PTMP yang menelan kos yang rendah untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas. Tidak sepatutnya kita memusnahkan warisan semula jadi dan memiskinkan komuniti nelayan untuk menjual tanah kepada orang asing untuk menjadikan orang kaya bertambah kaya.
Siaran Akhbar, 14 Februari 2021