Bawa mereka yang terlibat dalam pemerdagangan hidupan liar ke muka pengadilan!

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan rampasan bernilai USD18 juta (RM80 juta) pada 10 Julai 2022 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang merupakan rampasan terbesar gading gajah, tanduk badak sumbu, tenggiling dan pelbagai lagi bahagian haiwan lain yang terancam. Ia dikatakan sebagai tangkapan terbesar dalam sejarah negara. Walaupun rampasan itu penting, peristiwa baru-baru ini bukanlah yang pertama memandangkan terdapat lagi kes berulang berkaitan perdagangan hidupan liar haram yang memasuki Malaysia sebelum ini.

Akibatnya Malaysia telah menjadi hab transit serantau yang popular digunakan oleh rangkaian jenayah bagi perdagangan haram yang menguntungkan, dengan Pelabuhan Klang menjadi pelabuhan pilihan untuk penghantaran kontena. Kurangnya tindakan daripada kerajaan untuk menghapuskan perdagangan gading ‘darah’ dan tanduk badak sumbu ini telah menjadikan Malaysia dengan reputasi antarabangsa sebagai pengimport bersiri kedua-dua barangan haram ini.

Adalah membimbangkan dan menarik minat bahawa rampasan penghantaran hidupan liar yang dirampas tidak pernah menyebabkan sebarang tangkapan walaupun siasatan dijalankan. Pada masa lalu, pelabelan gading bagi penghantaran kepada alamat di Malaysia gagal menghasilkan sebarang tangkapan kerana alamat tersebut dipercayai palsu.

Pelaku kegiatan haram ini akan terus menjalankan perniagaan mereka, kerana mengetahui betapa mudahnya untuk mengelak daripada ditangkap di Malaysia kerana mereka jarang ditangkap dan lebih jarang dihukum. Selama bertahun-tahun penghantaran gading telah melalui Malaysia dan pemeriksaan kastam tanpa halangan.

Pengasas dan Pengarah Nature Alert (UK) Sean Whyte telah menyuarakan kebimbangannya pada masa lalu dan baru-baru ini dalam e-melnya bertarikh 6 Ogos 2022: “Sekurang-kurangnya sejak 10 tahun lalu Malaysia telah dikenali dan diperkatakan di media nasional dan antarabangsa. sebagai hab utama bagi perdagangan haram gading. Kami telah melihat banyak rampasan, boleh dikatakan tiada ketelusan kerajaan terhadap gading yang dirampas dan tiada tangkapan. Memandangkan penghantaran ini tiba di Malaysia dan ditujukan kepada seseorang, adakah ia tidak mencurigakan bahawa selama ini tiada pengedar gading Malaysia telah ditangkap lebih-lebih lagi tidak didakwa? Sesuatu yang busuk dan ia bukan dari darah pada gading.”

E-mel Whyte mencadangkan bahawa perdagangan haram tidak mungkin berlaku tanpa bantuan orang dalam.

Kebenaran yang mengejutkan itu terbongkar baru-baru ini dengan penahanan suspek penyeludupan hidupan liar utama Malaysia, Teo Boon Ching oleh polis Thailand di Thailand. Perkara ini didedahkan dalam laporan Agensi Penyiasatan Alam Sekitar (EIA) pada 30 Jun 2022, sehari selepas penahanannya. Siasatan EIA mendedahkan penglibatannya dalam perniagaan pemerdagangan hidupan liar selama lebih dua dekad, menyediakan perkhidmatan penyembunyian dan pembungkusan kepada rangkaian jenayah yang terlibat dalam penyeludupan gading gajah, tanduk badak sumbu dan sisik tenggiling ke Asia melalui pelabuhan Malaysia.

CAP amat terkejut dengan pendedahan oleh EIA bahawa ia percaya hubungan kukuh Teo dengan Pegawai Kastam Pelabuhan Johor. Mereka membolehkan pelanggannya memasuki Gudang Pelepasan Kastam untuk mengesahkan barangan sebaik penghantaran hidupan liar tiba di Malaysia. Konsainan itu kemudiannya akan dipindahkan ke gudang Teo sendiri untuk dibungkus semula ke dalam pakej kargo udara bagi perjalanan seterusnya.

Laporan EIA selanjutnya menyatakan bahawa sesiapa yang mempunyai hubungan baik dengan pengangkut pakar ini pasti akan berjaya mendapat pelepasan di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain, sering digunakan sebagai hab transit bagi produk hidupan liar yang diimport secara haram dari Afrika ke Asia. Selama dua dekad beliau terlibat dalam urusan perniagaannya tanpa dikesan kerana hubungannya yang kuat dengan pegawai Kastam dan individu yang terlibat dalam produk hidupan liar haram di Malaysia, Vietnam, China dan Laos.

Dengan rampasan pada 10 Julai 2022, adalah menarik untuk mengetahui sama ada bahagian haiwan yang dirampas dikenal pasti, ditanda, didaftarkan dan terjamin dengan kehadiran pemerhati hidupan liar antarabangsa, Analisis Rekod Perdagangan Flora dan Fauna dalam Perdagangan (TRAFFIC) untuk memastikan barangan tersebut tidak hilang atau masuk semula ke pasaran gelap.

Selepas pengesahan simpanan gading itu perlu dimusnahkan secara terbuka seperti yang telah diamalkan di banyak negara seperti Amerika Syarikat, Hong Kong, Singapura, Tanzania, Kenya dan Congo. Pemusnahan adalah satu tindakan yang amat kuat untuk menunjukkan bahawa sesebuah negara itu tidak akan bertolak ansur dengan jenayah hidupan liar.

Memusnahkan simpanan stok akan memberikan isyarat jelas bahawa Malaysia amat serius dalam melihat penamatan kepada kekejaman dalam pembunuhan, dan untuk memastikan gading dan tanduk yang dirampas tidak akan dijual lagi. Hanya dengan bertanggungjawab secara terbuka dan telus kerajaan boleh meyakinkan kepada dunia mengenai komitmennya ke arah memerangi perdagangan hidupan liar haram.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak penguat kuasa Malaysia bekerjasama dengan semua negara yang berkaitan bagi mengukuhkan lagi kerjasama dalam kes yang dicurigai, dan untuk menjalankan siasatan yang lebih mendalam terhadap kesalahan yang dilakukan yang boleh membawa kepada kejayaan pendakwaan dan sabitan ke atas tertuduh dan sekutu mereka yang turut terlibat dalam pemerdagangan hidupan liar. Mereka yang terlibat dalam penyeludupan gading, pemain utama/ketua kumpulan perlu diekstradisi untuk menghadapi pengadilan.

 

 

Mohideen Abdul kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 30 Ogos 2022