Bentuk Piawaian untuk Plumbum dalam Cat – CAP

CAP gesa peraduan bagi plumbum dalam cat.

Sempena Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi gesaan kepada kerajaan Malaysia agar menyingkirkan plumbum dalam cat dengan mengadakan peraturan untuknya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memperakui 25-31 Oktober 2020 sebagai Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan tindakan untuk mengetengahkan kesan pendedahan plumbum ke atas kesihatan, terutama ke atas kanak-kanak, wanita hamil dan pekerja.

Plumbum adalah berbahaya tanpa mengira tahap pendedahan kepadanya. Justeru tiada paras pendedahan kepada plumbum boleh dianggap selamat. Kanak-kanak yang berusia 6 tahun ke bawah khususnya mudah terjejas jika terdedah kepadanya. Sebaik plumbum masuk ke dalam tubuh kanak-kanak melalui cara menelan, menghidu atau menerusi uri, ia berpotensi merosakkan beberapa sistem dan laluan biologi.

Pendedahan plumbum pada paras rendah sekalipun boleh merosakkan saraf dan sukar diubati. Kerosakan sistem saraf akibat terdedah kepada plumbum cenderung menyebabkan kanak-kanak mengalami kesukaran untuk belajar.

WHO menggelar cat berplumbum sebagai “tahap meledak” bagi potensi keracunan plumbum dan berkata “sejak penyingkiran secara berperingkat” petrol berplumbum, cat plumbum merupakan salah satu sumber terbesar pendedahan kepada plumbum dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam satu ujian terbaharu CAP, dengan kerjasama Rangkaian Penyingkiran Bahan Cemar Antarabangsa (IPEN), 48 tin cat semburan dibeli secara atas talian dan dari beberapa kedai di sekitar Pulau Pinang. Cat tersebut terdiri daripada 16 jenama berbeza dan dianalisis menggunakan penganalisis kimia X-Ray Fluorescence (XRF) yang mudah alih.

Dari 48 sampel, 12 sampel didapati mengandungi plumbum. Dua sampel didapati mengandungi plumbum melebihi 10,000 bahagian persejuta (bps), di mana kandungan plumbum tertinggi  yang dikesan ialah 19,261 bps.

Cat dalam tin aerosol digunakan sebagai cat kemasan untuk perkakasan, kereta, aksesori dan hiasan serta menjadi bahan untuk projek di sekolah. Selain plumbum, pengguna cat semburan turut terdedah kepada wasap disebabkan bahan ramuan sebatian organik mudah meruap (VOC) seperti acetone, toluene dan xylene yang boleh dihidu.

Dalam kajian CAP terdahulu (1992), tujuh dari sembilan cat enamel didapati mengandungi plumbum melebihi 600 bps. Kandungan plumbum tertinggi yang dikesan dalam ujian itu adalah 11,700 bps. Dalam satu kajian lain mengenai plumbum dalam cat, 72 cat enamel yang dibeli di Malaysia di antara 2004 – 2007 didapati mengandungi plumbum pada paras yang tinggi dalam sampel yang diuji.

Pada 2016, CAP pernah membuat gesaan yang sama kepada kerajaan agar membentuk piawaian bagi kandungan plumbum dalam cat setelah kami menemui lebih 60% daripada sampel yang diuji mengandungi plumbum pada paras yang amat tinggi. Kini selepas hampir empat tahun kerajaan Malaysia masih belum membentuk undang-undang dan piawaian bagi plumbum dalam cat.

Tahun lalu analisis CAP mendapati 11 daripada 17 sampel alat permainan bersadur plumbum di kawasan utara Malaysia mengandungi plumbum pada paras berbahaya iaitu melebihi 10,000 bps.

Setakat ini belum ada peraturan di Malaysia yang mengehadkan jumlah plumbum dalam cat bagi kegunaan isi rumah dan sebagai hiasan. Menurut laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP), 40% dari semua negara di dunia mempunyai undang-undang berhubung cat berplumbum, sehingga September 2020.

Kewujudan piawaian negara secara sukarela didapati tidak berkesan. UNEP berkata, untuk melindungi kesihatan manusia, undang-undang, peraturan dan piawaian yang dikuatkuasakan dengan tegas diperlukan di setiap negara dalam usaha menghentikan pengeluaran, penjualan dan pengimportan cat berplumbum.

Misalnya piawaian semasa bagi cat hiasan di Kanada, China, Filipina, India, Nepal, Kenya, Tanzania dan Amerika Syarikat ialah kandungan plumbum maksimum 90 bps.

Negara seperti Malaysia yang hanya mengenakan kawalan ke atas lapisan plumbum yang digunakan pada alat mainan kanak-kanak, tidak bergerak ke arah mencapai matlamat Kesepakatan Global untuk Menyingkirkan Cat Berplumbum.

Sehubungan bahaya pendedahan kepada plumbum dan turut mengambil kira bahawa penyingkiran plumbum semakin meningkat di seluruh dunia, CAP menggesa kerajaan agar menggubal dan menguatkuasakan undang-undang untuk menghapuskan plumbum dalam cat.

Malaysia tidak seharusnya bersikap sambil lewa. Memandangkan plumbum boleh memberikan kesan yang buruk kepada kanak-kanak, tindakan segera diperlukan untuk menjaga keselamatan generasi masa depan.

 

Kenyataan Akhbar, 27 Oktober 2020