Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan jaminan yang diberi oleh Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasa berhubung akaun rahsia dalam tax haven (pusat kewangan luar pesisir) yang dikendalikan oleh rakyat Malaysia, seperti yang didedahkan dalam Pandora Papers.
Kami juga mengulangi gesaan yang dibuat lapan bulan lalu agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi menyiasat pengaliran keluar aset kewangan dari Malaysia ke akaun rahsia di tax haven yang menjejaskan ekonomi negara. Justeru Kabinet mesti memutuskan untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Di Raja. Siasatan yang dilakukan oleh agensi belum memadai untuk menangani isu ini. Suruhanjaya tersebut perlu mengenal pasti kelemahan dalam undang-undang dan institusi dalam negara yang membolehkan pengaliran keluar wang secara haram serta mengemukakan cadangan bagi mengukuhkan kerangka kerja institusi perundangan bagi menangani masalah tersebut.
Kini, berikutan pendedahan Pandora Papers mengenai tindakan rakyat Malaysia menyembunyikan wang mereka dalam akaun rahsia di tax haven, adalah penting Suruhanjaya Siasatan Di Raja ditubuhkan tanpa berlengah lagi. Negara-negara lain seperti India, Sepanyol, Ireland, Mexico, Jerman, Pakistan, Bulgaria, Australia, Brazil, Sri Langka, Paraguay dan Panama, di mana rakyat mereka turut dinamakan di dalam Pandora Papers, telah berjanji untuk mengambil tindakan. Malaysia tidak seharusnya terkebelakang dalam hal ini. Siasatan teliti terhadap nama-nama yang disebut di dalam Pandora Papers, serta Panama Papers dan Paradise Papers sebelumnya, perlu dijalankan dan kemudian laporan mengenainya diterbitkan.
Bagi pengubahan wang haram, Malaysia berada di tangga kelima selepas China, Rusia, India dan Mexico. Pandora Papers mendedahkan terdapat pengaliran keluar RM900 bilion dari Malaysia ke akaun tax haven. Menurut Laporan Integriti Kewangan Global (GFI) 2015, Malaysia kehilangan sejumlah RM1.67 trilion dalam tempoh 2004-2013, iaitu secara purata RM167.4 bilion setahun. Hakikatnya aliran keluar sejumlah besar wang secara haram telah berlaku lebih sedekad lamanya, menyebabkan negara kehilangan dana pembangunan yang amat diperlukan. Perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke 12 (2021-2025) berjumlah RM400 bilion, kurang separuh daripada pengaliran keluar wang yang didedahkan oleh Pandora Papers.
Pada 2015, Panama Papers mendedahkan bahawa 2,300 individu dan entiti di Malaysia menyembunyikan wang di tax haven luar pesisir. Pada 2016, Paradise Papers mendedahkan bagaimana syarikat multinasional dan jutawan individu memindahkan wang ke dan dari 19 akaun tax haven untuk mengelak cukai. Apakah alasan mereka menyembunyikan wang dan apakah sumbernya? Papers itu mendedahkan bahawa banyak syarikat luar pesisir adalah entiti “palsu” yang terbabit dalam kegiatan mengelak cukai, manipulasi pasaran, pengubahan wang haram, “round tripping” (membawa keluar wang yang tidak bercukai dari negara ini melalui invois melambung dan kemudian membawanya pulang sebagai pelaburan), menyimpan wang haram, rasuah dan sebagainya.
Dana haram ini datangnya daripada jenayah transnasional, amalan rasuah dan pengelakan cukai. Kegiatan haram seumpamanya membabitkan berbilion ringgit. Industri pelacuran yang dikaitkan dengan pemerdagangan manusia, dianggarkan bernilai US$963.8 juta, atau RM3.68 bilion. Pegawai keselamatan menganggarkan bahawa sindiket perjudian haram atas talian memperolehi keuntungan bernilai US$2.4 bilion (RM7.9 bilion) setahun daripada kegiatan perjudian haram di Malaysia.
Kebanyakan keuntungan daripada kegiatan haram ini cenderung akan mengalir ke akaun luar pesisir seperti Singapura, yang menjadi pintu masuk ke tempat berlindung cukai lain.
Pada 2010, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi Peringkat Tinggi untuk mengurangkan pengaliran wang secara haram. Sudahkah pasukan petugas berkenaan menyiasat pengaliran keluar wang dari Malaysia ke akaun rahsia di tax haven seperti yang disebut di dalam Panama Papers dan Paradise Papers? Apakah hasil penemuan dan saranannya?
Pengaliran keluar dana ke tax haven kini menjadi masalah global utama yang menjejaskan pembangunan di negara Ketiga. Menurut kertas Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), tax haven secara kolektif merugikan kerajaan antara US$500 bilion dan US$600 bilion setahun dalam bentuk kerugian hasil cukai korporat menerusi kaedah yang sah dan tidak begitu sah. Ekonomi golongan berpendapatan rendah mengalami kerugian sekitar US$200 bilion, peratusan GDP mereka lebih tinggi berbanding negara maju.
Syarikat American Fortune 500 sahaja memegang kira-kira US$2.6 trilion wang luar pesisir pada 2017, walaupun sebahagian kecil daripadanya telah dikembalikan berikutan pemulihan cukai AS pada 2018. Menurut satu anggaran, orang perseorangan telah menyimpan wang berjumlah US$8.7 trilion di dalam tax haven, dan US$36 trilion menurut satu anggaran lain. Kedua-duanya, dengan mengandaikan kadar pulangan yang berbeza, meletakkan kerugian pendapatan hasil cukai individu global kepada sekitar US$200 bilion setahun, yang mesti ditambah kepada total korporat.
Berhubung kesan pengaliran keluar wang ke tax haven, kertas IMF memberi amaran bahawa “aliran kewangan yang dirahsiakan atau cuba mengelak cukai korporat memburukkan keadaan kewangan sedia ada, memburukkan ketidaksamarataan, meningkatkan risiko timbul krisis, dan menangani kerosakan politik yang tidak dapat ditentukan memandangkan wang yang diselubungi kerahsiaan menyusup ke dalam sistem politik Barat. Dan seiring dengan pengaliran wang dari negara miskin ke tax haven negara kaya, perpindahan buruh juga akan berlaku”.
Malaysia perlu mengukuhkan kerangkakerja institusi perundangannya untuk menghapuskan kegiatan mengelak cukai dan mengekang pengaliran keluar wang yang amat diperlukan ke tax haven. Kesatuan Eropah (EU) telah meletakkan Malaysia di dalam “grey list” bagi bidang kuasa bukan kooperatif untuk tujuan cukai selepas pendedahan Pandora Papers.
Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan agar:
- Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk menyiasat pengaliran keluar aset kewangan dari Malaysia ke akaun rahsia dalam tax haven dan membuat beberapa saranan
- Bekerjasama dengan negara lain untuk mewujudkan:
- Pertukaran automatik maklumat kewangan merentasi sempadan;
- Pendedahan kepada orang awam mengenai penerima manfaat utama syarikat, pemegang amanah dan yayasan;
- Laporan negara demi negara bagi perbadanan multinasional;
- Cukai kesatuan dengan pembahagian formula untuk membendung amalan mengelak cukai, dan
- Satu sistem bagi mengenal pasti, membendung dan mengurangkan pemindahan -penyelewengan harga oleh syarikat, yang menaikkan kos mereka secara artifisial dan mengaut keuntungan melalui transaksi antara syarikat.
Surat kepada Pengarang, 19 Oktober 2021