Bentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat aliran keluar kewangan ke akaun rahsia di tempat perlindungan cukai

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas akaun rahsia di tempat perlindungan cukai (tax haven) yang dikendalikan oleh rakyat Malaysia, seperti yang didedahkan dalam Pandora Papers. Siasatan itu juga harus merangkumi individu dan syarikat Malaysia yang telah dinamakan dalam Panama Papers 2015 dan Paradise Papers 2016 yang didedahkan dahulu.

Pada 2015, Panama Papers mendedahkan bahawa 2,300 individu dan entiti Malaysia menyembunyikan wang di tempat perlindungan cukai luar pesisir (offshore). Pada 2016, Paradise Papers mendedahkan cara syarikat multinasional dan individu kaya raya memindahkan wang ke dan dari 19 tempat perlindungan cukai untuk mengelak atau menghindari cukai. Apakah alasan mereka menyembunyikan wang tersebut dan apakah sumber kewangannya? Laporan dalam Papers ini mendedahkan bahawa banyak syarikat luar pesisir adalah entiti “palsu” yang terlibat dalam pengelakan/penghindaran cukai, manipulasi pasaran, pengubahan wang haram, round tripping (mengambil wang yang tidak dicukai keluar dari negara melalui invois yang melambung dan kemudian membawanya kembali sebagai pelaburan), menempatkan wang hitam, rasuah, dll.

Dana haram ini datang daripada jenayah transnasional, rasuah dan pengelakan cukai. Berbilion ringgit terlibat dalam kegiatan haram. Industri pelacuran, yang dikaitkan dengan pemerdagangan manusia, dianggarkan bernilai AS$963.8 juta, atau RM3.68 bilion. Pegawai sekuriti menganggarkan bahawa sindiket perjudian dalam talian haram memperoleh sehingga AS$2.4 bilion (RM7.9 bilion) setahun daripada aktiviti perjudian haram di Malaysia. Kebanyakan keuntungan yang diperoleh secara haram ini berkemungkinan akan berakhir di akaun luar pesisir contohnya di Singapura, yang juga merupakan pintu masuk ke tempat perlindungan cukai yang lain.

Pada tahun 2010, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi Peringkat Tinggi untuk mengurangkan aliran kewangan haram. Adakah Pasukan Petugas Khas ini telah menyiasat aliran keluar kewangan dari Malaysia ke akaun rahsia di tempat perlindungan cukai seperti yang didedahkan dalam Panama Papers dan Paradise Papers? Jika ya, apakah penemuan dan cadangannya? Kita masih tidak tahu hasil siasatan ini.

Pada Oktober 2021, ketua pembangkang ketika itu telah mengemukakan resolusi di Parlimen untuk membahaskan Pandora Papers tetapi ia ditolak oleh Speaker ketika itu. Keputusannya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengarahkan SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis menjalankan siasatan. Selama lebih satu tahun tiada kedengaran mengenai siasatan itu sehingga tiga bulan selepas pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila media melaporkan SPRM telah menyoal siasat bekas menteri yang disebut dalam Pandora Papers.

Lebih setahun yang lalu, CAP telah menyeru kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat aliran keluar aset kewangan dari Malaysia ke akaun rahsia di tempat perlindungan cukai, yang memberi kesan buruk kepada ekonomi kita. Kami mengulangi gesaan kami untuk menubuhkan RCI. Siasatan oleh agensi tidak mencukupi untuk menangani isu ini. RCI mesti mengenal pasti kelemahan dalam undang-undang dan institusi kita yang membolehkan aliran keluar wang haram dan membuat cadangan untuk mengukuhkan rangka kerja institusi perundangan kita untuk menangani masalah tersebut.

Aliran keluar dana ke tempat perlindungan cukai telah menjadi masalah global utama, yang menjejaskan pembangunan di negara Dunia Ketiga. Menurut kertas International Monetary Fund (IMF), tempat perlindungan cukai secara kolektif menanggung kos kerajaan antara AS$500 bilion sehingga AS$600 bilion setahun dalam kehilangan hasil cukai korporat melalui cara yang sah dan tidak sah. Ekonomi berpendapatan rendah kerugian sekitar AS$200 bilion, peratusan yang lebih tinggi daripada KDNK mereka berbanding negara maju.

Syarikat American Fortune 500 sahaja memegang anggaran AS$2.6 trilion di luar pesisir pada tahun 2017, walaupun sebahagian kecil daripadanya telah dihantar pulang berikutan pembaharuan cukai Amerika Syarikat pada 2018. Individu-individu telah menyembunyikan AS$8.7 trilion mengikut satu anggaran dan, oleh yang lain, AS$36 trilion di tempat perlindungan cukai. Kedua-duanya, dengan mengandaikan kadar pulangan yang sangat berbeza, meletakkan kerugian cukai pendapatan individu global sekitar AS$200 bilion setahun, yang mesti ditambah kepada jumlah korporat.

Mengenai kesan pengaliran keluar modal ke tempat perlindungan cukai, kertas IMF memberi amaran bahawa “aliran kewangan yang dirahsiakan atau melarikan diri daripada cukai korporat nampaknya memburukkan krisis kewangan, ketidaksamaan yang semakin teruk, meningkatkan kerentanan terhadap krisis, dan menangani kerosakan politik yang tidak dapat diukur kerana modal yang diselubungi kerahsiaan tersebut menyusup masuk ke dalam sistem politik Barat. Dan apabila modal kewangan mengalir dari negara-negara miskin ke tempat perlindungan cukai di negara yang kaya, penghijrahan buruh akan ikuti”.

Malaysia perlu mengukuhkan rangka kerja perundangan dan institusinya untuk menghapuskan pengelakan dan penghindaran cukai, dan mengekang pengaliran keluar modal yang sangat diperlukan oleh kita ke tempat perlindungan cukai. Pada 2021 Kesatuan Eropah meletakkan Malaysia dalam “senarai kelabu” yakni bidang kuasa tidak bekerjasama untuk tujuan cukai selepas pendedahan Pandora Papers.

Kami menyeru kerajaan untuk:

1. Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat aliran keluar aset kewangan dari Malaysia ke akaun rahsia di tempat perlindungan cukai dan memberi cadangan untuk menangani masalah tersebut.

2. Bekerjasama dengan negara lain untuk melaksanakan:
a) Perkongsian automatik maklumat kewangan merentas sempadan.
b) Mendedahkan kepada awam tentang penerima manfaat individu utama sesuatu syarikat, amanah dan yayasan.
c) Pelaporan negara demi negara untuk syarikat multinasional.
d) Cukai unitari dengan pembahagian formula untuk menghindari pengelakan cukai.
e) Sistem untuk mengenal pasti, membendung dan mengurangkan salah harga pindahan oleh syarikat yang sengaja melambungkan kos mereka dan mengecilkan keuntungan melalui urus niaga dalam syarikat.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang

Surat Kepada Pengarang, 21 Februari 2023