1. BANTAHAN KEPADA TEBUS GUNA SELATAN PULAU PINANG DAN PENGAMBILAN PASIR DARI PERAK:
Lebih daripada beratus nelayan daripada pelbagai unit dan persatuan dari Pulau Pinang dan Perak berkumpul di sini hari ini bersama dengan NGO dan warga prihatin yang menyatakan solidariti dalam perhimpunan aman di luar Parlimen untuk membantah projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) dan kesan daripada pengambilan pasir di Perak. Projek tebus guna ini akan memusnahkan kawasan perikanan yang kaya di barat laut Semenanjung Malaysia, satu kawasan di mana Jabatan Perikanan telah melabur berjuta ringgi selama bertahun-tahun untuk mengembangkan bilangan dan stok ikan. Menebus guna kawasan ini samalah dengan membahayakan jaminan keselamatan makanan kita.
2. PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA PERDANA MENTERI DAN MENTERI:
Wakil komuniti nelayan dan NGO akan menyerahkan memorandum kepada menteri utama, termasuklah
> Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad
> Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YB Dr Wan Azizah
> Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Samad
> Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, YB Yeo Bee Yin
> Menteri Air, Tanah & Sumber Asli, YB Xavier Jayakumar
> Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin
> Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook
> Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Mohamed Azmin Ali
> Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Datuk Salahuddin Ayub
> Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Rina Harun
Memorandum ini telah diemelkan kepada menteri berkenaan seminggu sebelum perhimpunan aman ini. Penyerahan memorandum ini sebagai peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan agar mengekalkan akauntabiliti dalam menangani kesengsaraan semua rakyat Malaysia dengan ketelusan, keadilan dan inklusif.
3. PERHIMPUNAN AMAN UNTUK B40: Nelayan yang berada di sini pada hari ini mewakili 10,000 nelayan lain yang akan terjejas oleh projek tebus guna di Pulau Pinang dan pengambilan pasir di Perak. Mereka datang jauh dari Pulau Pinang dan Perak – perjalanan yang bermula sekitar tengah malam dalam usaha untuk memastikan akan tiba di Parlimen pada pagi ini. Ramai daripada mereka merupakan kumpulan penduduk dalam kelompok B40 di kedua negeri itu, di mana kerajaan Pakatan Rakyat menjanjikan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Mereka berkumpul di sini secara aman, menggesa campur tangan kerajaan Persekutuan untuk menghentikan projek pembangunan hartanah terbaharu Kerajaan Negeri.
4. KELULUSAN EIA MENGEJUTKAN WALAUPUN 44,500 BANTAHAN KEPADA PSR DAN KECACATAN ASAS DALAM EIA: Kami mempersoalkan kelulusan segera laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) PSR oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 5 Julai 2019, kurang daripada sebulan selepas tempoh tamat penyerahan maklum balas. Pelbagai NGO, pakar teknikal, dan nelayan juga menyerahkan surat maklum balas awam mereka kepada JAS dengan menyatakan kenapa EIA tidak sepatutnya diluluskan. Petisyen atas talian Change.org oleh Penang Forum (yang dilancarkan 10 Mei 2019), membantah PSR dengan 20 alasan yang kuat, telah mengumpulkan lebih daripada 45,000 tanda tangan. Daripada menegakkan kepentingan penyertaan awam, layanan proses EIA seperti JAS yang autokratik, menafikan kebimbangan dan bantahan sah, seolah-olah orang ramai tidak memerlukan sebarang penjelasan ini, amat tidak dapat diterima. Antara isu berikut dikemukakan dalam EIA ialah:
> Ramalan penduduk bagi PSR[1] boleh dipersoalkan, yang menyatakan 446,300 orang. Ini diterjemahkan kepada kepadatan 24,522 orang bagi setiap kilometer persegi, lebih tinggi berbanding pulau Hong Kong dengan 17,000 orang bagi setiap kilometer persegi. Kadar kelahiran semula jadi Pulau Pinang ialah 1.4 di bawah kadar kelahiran kebangsaan, dan ia menerima penghijrahan secara puratanya ialah 9,000 orang dalam dua dekad lepas. Oleh itu ramalan bilangan penduduk tidak realistik dan tidak mempunyai justifikasi dan tidak berasas.
> EIA PSR tidak menjelaskan dengan nyata cadangan untuk menjual tanah tebus guna untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Malahan, EIA mengelirukan, dalam menyatakan PSR untuk “menyelesaikan bekalan tanah” di Pulau Pinang. Jika ini yang menjadi perhatian, maka cadangan pertumbuhan masa depan Pulau Pinang boleh dan seharusnya dirancang di atas tanah sedia ada yang sudah pun dimiliki oleh Kerajaan Negeri contohnya di Batu Kawan dan kawasan lain yang masih kosong di Seberang Perai.
5. PERNYATAAN BILANGAN NELAYAN YANG TERJEJAS MENGELIRUKAN: Kami berpendapat bahawa naratif berulang oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang (pemilik projek PSR), bahawa setengah daripada nelayan bersetuju dengan projek itu, ia amat mengelirukan.[2] Kami melihat ini sebagai usaha yang disengajakan untuk memberikan gambaran dan memudahkan isu yang rumit ini dan merampas suara 10,000 nelayan yang akan terjejas oleh tebus guna di Pulau Pinang dan pengambilan pasir di Perak. “Nelayan” Pulau Pinang yang menerima pampasan terdiri terutamanya daripada mereka yang bersara atau nelayan separuh masa. Seperti mana yang boleh dilihat hari ini, majoriti yang membanjiri perhimpunan hari ini adalah nelayan sepenuh masa yang membantah sepenuhnya terhadap kehidupan menangkap ikan mereka yang dibatasi oleh projek pembangunan hartanah. Tapak projek ini akan melenyapkan kawasan perikanan sedia ada yang amat berharga bagi ketam, udang dan ikan. Bagi nelayan untuk keluar jauh ke lautan luas, mereka memerlukan kos yang lebih tinggi untuk peralatan perikanan yang lebih maju, bot dan bahan api, melangkaui kemampuan mereka atau pengalaman perikanan pantai mereka. Kita mestilah mempertimbangkan permasalahan ini yang boleh membawa kepada potensi pertembungan antara komuniti nelayan yang berbeza yang bersaing bagi kawasan penangkapan ikan yang semakin merosot.
6. PENGAMBILAN PASIR DI PERAK, BOM JANGKA YANG MENUNGGU MASA: Kami memperingatkan bahawa pengambilan pasir laut berskala besar di luar pantai Perak akan memberikan implikasi yang buruk ke atas pergerakan dasar laut dan aliran hidraulik kawasan itu. PSR dan aktiviti pengambilan pasir akan menjejaskan pantai utara Perak, di mana hakisan pantai sudah pun menjadi satu masalah, dan akan menjejaskan nelayan dari Tanjung Piandang sehingga ke Pangkor, dan turut memberikan kesan kepada kawasan hutan bakau, terutama sekali di Kuala Kurau dan Kuala Sepetang yang tersenarai sebagai tapak Ramsar. Untuk PSR, 189.1 juta m3 pasir akan dikeluarkan daripada pantai Perak (berbanding 161.9 juta m3 yang digunakan oleh tebus guna Pulau Forest City). Risiko kecurian pasir juga amat tinggi. Malangnya, isu pengambilan pasir Perak tidak mencakupi secara rasmi dalam EIA PSR, dan tiada peluang bagi nelayan Perak untuk menyerahkan maklum balas awam mereka berhubung EIA sumber pasir.
Dengan ini kami menyerahkan 10 memorandum kepada menteri terpilih, termasuk dua petisyen berkaitan Tebus Guna Selatan Pulau Pinang oleh sejumlah 165,000 orang. Kami memohon agar Majlis Perancangan Fizikal Negara:
> Membatalkan projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang.
> Menggesa kajian semula PTMP yang lebih lengkap termasuk 3 lebuh raya utama, oleh pakar pengangkutan bebas dan perancang profesional.
> Meletakkan moratorium berhubung aktiviti pengambilan pasir laut di luar pantai Perak.
Muat turun memorandum di sini
Atau melalui pautan ini: http://tiny.cc/114d9y
[1] Sumber ramalan bilangan penduduk ialah daripada dokumen 18 nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara.
[2] 18 Nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara, menyatakan pilihan bagi 805 nelayan berdaftar yang terjejas, dengan keluarga berjumlah 3,140 orang, tetapi ini hanya angka berkait dengan “Komuniti Nelayan dalam Kawasan Kajian” dalam EIA dan bukannya bilangan nelayan sebenar yang mana kehidupan mereka bergantung kepada kawasan yang terjejas. Bagi komponen penilaian kesan sosial EIA, rundingan awam hanya mengumpulkan maklum balas daripada 165 orang, daripada 58% yang bukan nelayan, daripada lingkungan 5 kilometer. Daripada nelayan yang ditemubual (69 orang), hanya 17 menyatakan sokongan untuk projek PSR, manakala 14 daripadanya menolak. Manakala 24 orang mengemukakan beberapa persoalan untuk mendapatkan penjelasan mengenai projek itu, dan selebihnya 5 orang bertanyakan mengenai pampasan. Jelas, mengesahkan kelulusan projek PSR dengan maklum balas daripada hanya 17 nelayan adalah amat mengelirukan. Bilangan yang dipetik ini adalah berdasarkan fakta yang disediakan dalam laporan EIA PSR (Jilid 3: Lampiran).
KENYATAAN AKHBAR, 11 Julai 2019