Bila Makanan Di Atas Meja Tidak Diutamakan

Sudah sekian lama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan kerajaan mengenai bahaya ketiadaan jaminan bekalan makanan. Namun pihak berkuasa hanya memekakkan telinga dan enggan merombak keseluruhan dasar pertanian, yang turut termasuk tinjauan ke atas rantaian pengagihan makanan. Terdapat perbincangan yang berlegar mengenai kewujudan kartel dan orang tengah, yang mengaut untung lebih besar dari petani atau peruncit sejak berdekad lamanya.

Kami menggesa kerajaan agar tidak menangani isu jaminan bekalan makanan sedikit demi sedikit tetapi terlebih dahulu meneliti dan mengenal pasti masalah di semua sektor serta merumuskan penyelesaian jangka panjang.

Malah kajian pada 2014 yang diterbitkan di dalam Malaysian Journal of Public Health Medicine menunjukkan 25 peratus orang dewasa kekurangan makanan; 25.5 peratus kekurangan pelbagai makanan; 29.1 peratus terpaksa mengecilkan saiz hidangan makanan; dan 15.2 peratus tidak memakan makanan utama kerana kesempitan wang.

Penduduk negara ini kurang memakan buahan dan sayuran, seperti yang didedahkan oleh National Plan of Action For Nutrition of Malaysia 111 2016-2025. Ia menyatakan kira-kira 59.1 peratus orang dewasa Malaysia memakan buahan jauh lebih kurang daripada cadangan dua hidangan sehari sementara 81.7 peratus mengambil kurang daripada tiga hidangan sayuran sehari yang dicadangkan.

Isu makanan telah melanda Malaysia sejak 1980an di mana negara mula mengenepikan pertanian dengan memberi ruang kepada perindustrian dan sektor perkhidmatan. Menangani masalah jaminan bekalan makanan menjadi tugas penting kerana diet yang tidak seimbang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan dan membuatkan tubuh menjadi kurus, pertumbuhan terbantut, kekurangan berat badan, atau mungkin berlebihan berat badan. Diet tidak seimbang mungkin lebih ketara ketika pandemik Covid-19 ekoran inflasi global.

Lebih ramai penduduk dijangka kurang makan buahan dan sayuran ketika pandemik kerana kenaikan harga sementara bajet bulanan penduduk harus diperketatkan.  Dengan kemunculan inflasi, kebanyakan penduduk Di bawah 40 (B40) dan khususnya kumpulan berpendapatan   rendah Pertengahan 40 (M40) akan teruk terjejas memandangkan pendapatan mereka kurang cenderung naik atau tidak naik seiiring dengan inflasi.

Sejak awal Januari 2022 harga makanan penjaja telah naik kira-kira 20% (RM4.20-RM5.00 di sesetengah tempat). Ini paling memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah kerana mereka cenderung makan di luar memandangkan mereka sering melakukan 2-3 kerja meskipun sebelum muncul pandemik untuk mencukupkan nafkah. Pekerjaan dalam musim pandemik sukar diperolehi; oleh itu, bagaimana mereka hendak menyara diri dan keluarga?

Makanan cenderung menjadi barang terakhir dalam bajet bulanan mereka selepas memberi keutamaan kepada sewa, pinjaman bank, utiliti, pendidikan dan mungkin bayaran perubatan. Ini kerana kesemuanya akan memberi kesan yang drastik ke atas kehidupan seharian mereka berbanding makanan di mana mereka boleh memilih sama ada memakan makanan yang murah, dalam jumlah yang sedikit dan/atau tidak memakannya.

Keluarga juga mungkin terpaksa tidak memakan buahan dan sayuran kerana dua alasan utama: harga tinggi kedua makanan itu (meskipun keluaran tempatan), dan keduanya lebih mudah dicernakan berbanding daging; justeru lebih cepat terasa lapar. Sayuran mengambil masa antara 30-60 minit untuk dicerna sementara daging ayam mengambil masa kira-kira 2 jam, sementara daging lembu atau kambing, 4 jam.

Jika kita mengambil kira laporan FAMA pada 17 Februari  mengenai harga runcit komoditi Seberang Perai Tengah, ayam yang diproses berharga RM9.30 sekg berbanding bawang besar import yang berharga RM3.50 sekg; cili dari Thailand, RM15.00 sekg, kelapa parut, RM9.00 sekg, dan bendi RM12.00 sekg. Telur ayam (gred C) saiz paling kecil dan merupakan sumber protein termurah berharga RM3.90 untuk 10 butir.

Buahan seperti betik berharga RM5.00 sekg; pisang berangan dan pisang emas berharga RM6.50 sekg; dan tembikai tidak berbiji, RM4.50. Golongan miskin perlu memilih antara makanan untuk mengisi perut atau mana yang tidak.

Dengan kekangan kewangan, keluarga berpendapatan rendah perlu memilih dengan mengutamakan apa yang hendak dimakan. Nutrisi bukan pilihan kerana mereka perlu memaksimumkan kuantiti makanan untuk keluarga dan pada masa sama, meminimumkan kosnya. Jika ini tidak berjaya, maka mereka perlu memikirkan untuk mengurangkan makanan yang dimakan.

Kami bimbang dengan berbuat begitu, mereka akan mengalami kekurangan khasiat makanan yang membawa kepada obesiti dan diabetes dalam kalangan penduduk kerana mengambil lebih banyak nasi (karbohidrat). Peningkatan penyakit yang dikaitkan dengan kekurangan vitamin dan mineral mungkin berlaku akibat kurang makan buahan dan sayuran. Hospital dan klinik awam mungkin memerlukan bajet kesihatan yang lebih besar untuk mengendalikan penyakit tidak berjangkit tetapi dikaitkan dengan nutrisi, yang sebaliknya boleh dicegah.

Sehubungan itu, kami ingin menggesa kerajaan agar memberi keutamaan kepada jaminan makanan dengan merombak dasar pertanian. Bagaimanapun, pandemik yang melanda kini menunjukkan kepada kita bahawa dasar pertanian yang baik seharusnya perlu termasuk mempelbagaikan pengeluaran makanan kita, menghasilkan makanan ternakan kita sendiri, menghapuskan penggunaan bahan kimia pertanian dengan mengguna pakai prinsip agroekologi untuk mencapai kedaulatan makanan. Ini dapat membantu mengurangkan kesan gangguan rantaian bekalan makanan atau ringgit yang lemah.

 

Surat kepada Pengarang,  25hb. Februari 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/