Bukan Sekadar Membunuh Tikus

Seorang pembaca Facebook telah menyuarakan kebimbangannya kepada Sahabat Alam Malaysia (SAM) berhubung penggunaan racun tikus secara berleluasa dalam parit di sekitar kawasan Little India di Georgetown, Pulau Pinang. Perkara ini sememangnya membimbangkan kerana sistem perparitan terbuka yang sedia ada menganjur terus ke laut dan selepas hujan lebat, racun itu akan dihanyutkan dan dilarutkan di laut.

Kehadiran tikus sebenarnya berpunca daripada tindak tanduk manusia dan bilangannya semakin bertambah di pekan dan bandar yang bergelut untuk menghapuskannya. Di kawasan bandar dan pinggir bandar, pengguna terbesar racun tikus adalah pengguna biasa yang membelinya di kedai perkakasan untuk kegunaan di rumah, ataupun mengupah pakar kawalan serangga untuk menggunakannya di premis mereka. Di kawasan pertanian pula, ia diguna pakai oleh petani untuk menghapuskan tikus yang mengganggu tanaman mereka.

Tikus suka bertumpu di kawasan yang didiami oleh manusia, dan begitu cepat menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Ia gemar mencari makan di dalam dan di sekitar rumah, restoran dan tempat perniagaan. Apabila masuk ke kawasan kejiranan yang mudah untuknya mencari makan, tikus akan berkembang biak. Ia juga gemar mencari makan di kawasan sampah sarap, dari beg buangan dan tin, pasar, taman dan halaman, malah di pusat buangan sampah komuniti.

Membiarkan tikus berkeliaran memang sesuatu yang tidak diingini; atas alasan inilah, manusia dan tikus tidak dapat hidup bersama. Namun walaupun kita tidak boleh membiarkannya berkembang biak, itu bukan bermaksud kita menggunakan kaedah yang kejam untuk mengawal bilangan tikus. Umumnya, racun atau perangkap tikus digunakan untuk mengurangkan bilangannya, sambil mengetepikan punca masalah itu sendiri iaitu tabiat kotor penduduk yang membuang sisa makanan dengan sewenang-wenangnya.

Ramai yang tidak menyedari bahawa racun yang mereka gunakan untuk memerangkap tikus akan berakhir dalam rantaian makanan. Kebanyakan racun tikus membunuh lebih daripada sekadar tikus; ia juga membahayakan burung pemangsa dan hidupan liar lain. Meskipun ada burung yang tidak mati, racun tikus berkenaan akan meninggalkan kesan buruk kepada pembiakan dan kesihatannya. Sungguh malang sehingga kini belum ada kajian atau pemantauan yang menyeluruh  mengenai hidupan liar di negara kita yang terjejas akibat penggunaan racun tikus.

Kaedah semula jadi untuk mengawal tikus ialah dengan menggunakan burung pemangsa yang besar  seperti helang, falcon dan burung hantu. Burung hantu merupakan burung pemangsa yang hebat kerana tabiatnya bergerak pada waktu malam memastikan ia paling aktif semasa tikus keluar mencari makan. Pemangsa tikus yang lebih umum ialah haiwan peliharaan kita seperti kucing dan anjing yang sudah pasti mencari dan mengejar tikus di dalam rumah.

Sebaliknya, tikus sawah menyebabkan kerugian besar kepada petani, baik di sawah mahupun dalam pengurusan selepas padi dituai. Ia sangat sensitif kepada gangguan manusia dan jarang ditemui dalam rumah. Pemangsa semula jadinya adalah kucing liar, burung dan ular. Haiwan-haiwan ini cukup cekap mengawal tikus di sawah dan tidak seharusnya disingkirkan daripada sawah padi.

Amalan membunuh pemangsa semula jadi tikus akan memberi kesan ke atas bilangan tikus.

Daripada kita mencari kaedah yang paling baik dan berpotensi berbahaya untuk membunuh tikus, cara menangani konflik manusia dengan tikus adalah dengan mencari dan mengenal pasti tempat yang menjadi tumpuannya. Kita seharusnya mencari punca sebenar masalah yang ada dan bukannya dengan menuang lebih banyak racun ke dalam parit di bandar.

Di antara langkah yang boleh diambil ialah memastikan kawasan kediaman dan harta benda kita sentiasa bersih, mengurangkan buangan sisa makanan, mengkompos sisa makanan dengan secekap mungkin, memastikan tong sampah di tempat makan mempunyai penutup yang ketat dan kerap dikosongkan, mengenalpasti tempat yang tikus mudah masuk dan menghalangnya sebaik yang mungkin, menghapuskan segala semak samun yang tidak diingini dan langkah berkesan lain bagi menangani masalah tikus berkeliaran.

 

Surat kepada Pengarang, 2 Disember 2019