Cadangan Pelesenan Kegiatan Pemprosesan Benih Boleh Menafikan Hak Petani

Di Persidangan Akhbar mengenai Cadangan Pelesenan dan Kegiatan Pemprosesan Benih Boleh Menafikan Hak Petani.

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia khawatir kerana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membentangkan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tumbuhan yang telah dibincangkan sejak 2019, dalam sidang Parlimen akan datang. Menurut Menteri Pertanian dalam artikel berita 27 Mac 2021, RUU baharu ini akan mengawalselia semua benih terkawal dari segi pemprosesan, pengujian, penjualan, pengedaran, import, dan eksport untuk memastikan bahawa kualiti benih yang dihasilkan memenuhi syarat dan piawaian yang akan ditetapkan.

Benih terkawal adalah benih yang berasal dari spesies tanaman atau varieti yang memiliki nilai komersial yang ditentukan dalam peraturan oleh lembaga khas yang akan dibentuk iaitu Lembaga Kualiti Benih. Ini bermakna semua benih tanaman adalah berisiko dikawal pemprosesannya melalui undang-undang ini. Kawal seliaan terhadap semua benih terkawal ini akan dilakukan melalui penguatkuasaan perlesenan terhadap semua individu yang mahu melaksanakan apa sahaja proses yang melibatkan benih terkawal seperti yang disebut diatas. Untuk mendapatkan lesen, pemohon perlu membayar ‘fee’ dengan jumlah yang akan ditetapkan, menghantar sample benih ke makmal yang dilantik untuk ujian kualiti dan mematuhi piawaian penyimpanan, pembungkusan dan perlabelan. Mana-mana individu yang melanggar undang-undang ini boleh dikenakan denda antara RM100,000 hingga RM200,000 atau dipenjara selama 3 hingga 5 tahun.

Benih berkualiti adalah penting bagi petani dan pengguna. Namun, pembentangan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tumbuhan ini di Parlimen akan memberi kesan yang lebih besar dari sekadar kawalan kualiti kerana ia juga akan menafikan hak petani dan hanya menyokong pengeluar benih komersial. Selanjutnya, undang-undang yang diusulkan ini akan melarang amalan menyimpan, menukar, dan menjual benih oleh petani, yang sudah lama menjadi kebiasaan dan tradisi bagi petani di Malaysia. Hukuman denda dan penjara ke atas petani hanya kerana mereka menjalankan amalan tradisional adalah tidak adil, menindas dan dapat memprovokasi protes seperti yang pernah terjadi di Indonesia dan India, terutama jika kerajaan tidak berhati-hati dalam hal ini.

Undang-undang ini yang mewajibkan petani untuk melakukan ujian makmal dan mendapatkan pensijilan hanya menggalakan amalan monokultur dalam pertanian di mana varieti yang diperkenalkan di pasaran akan berkurangan secara berperingkat dan akan mendiskriminasi kepelbagaian varieti petani dan sistem benih petani sekaligus memusnahkan kepelbagaian biologi secara umum seterusnya merisikokan pengeluaran makanan negara. Bagi petani kecil yang menjual benih secara kecil-kecilan di pasar lambak dan tamu pula, syarat pembungkusan dan perlabelan yang ketat akan menafikan hak mereka untuk menjual dan hak pembeli untuk membeli benih yang mereka suka.

Syarikat-syarikat besarlah nanti yang akan mengawal sistem benih Malaysia apabila pengusaha dan petani kecil yang memproses benih perlahan-lahan akan hilang malah peranan agensi kerajaan juga akan berkurangan. Syarikat-syarikat inilah yang akan melaksanakan pemprosesan benih bermula daripada menguji varieti sehingga mengedar dan menjual benih. Lebih malang lagi apabila wang kerajaan digunakan untuk mensubsidi sistem benih swasta ini dan mendiskriminasi sistem benih tempatan. Apabila ini berlaku, pilihan petani akan terhad dan mereka terpaksa mengikut syarat dan sistem yang telah ditetapkan syarikat seperti menggunakan sistem racun dan baja yang telah ditentukan. Secara tidak langung, harga benih juga akan meningkat.

Kami ingin mengingatkan MAFI bahawa varieti petani tradisional, serta peranan petani kecil, diakui oleh Food and Agriculture Organization (FAO), International Treaty on Plant Genetic Resources for Food And Agriculture (ITPGRFA), Convention on Biological Diversity (CBD) dan juga Deklarasi PBB mengenai Hak-hak Petani dan Orang Lain yang Bekerja di Kawasan Luar Bandar.

Kami mendesak MAFI untuk terlebih dahulu membentangkan Rang Undang-Undang ini secara penuh dan melaksanakan proses konsultasi awam sebelum ia dibentangkan di Parlimen. Kali terakhir proses konsultasi diadakan dengan anggota Forum   ini   adalah   pada   tahun 2019. Adalah sangat penting untuk dilaksanakan satu lagi konsultasi dengan khalayak yang lebih luas dimana Rang Undang-Undang yang lengkap boleh dibaca dan diteliti kerana kami tidak tahu sama ada MAFI telah mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Forum Kedaulatan Makanan Malaysia sebelum ini. Selanjutnya, kami mencadangkan agar Undang- undang Kualiti Benih yang sedang dalam proses penggubalan ini hanya dipakai kepada syarikat-syarikat komersial yang menjual benih bagi memastikan benih yang mereka jual kepada pengguna adalah tulin dan berkualiti. Manakala pihak-pihak selain itu seperti individu yang menanam pokok sebagai hobi, anggota kebun komuniti serta golongan petani, seharusnya bebas untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih selagi ia tidak dilakukan secara komersial.

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia 6 April 2021 

 Disokong oleh;

 Lihat lampiran.

 Maklumat perhubungan:

E-mel: foodsovereignty.malaysia@gmail.com Telefon: 0137069509 (penyelaras – fitri amir)

Halaman Facebook: https://www.facebook.com/foodsovereignty.malaysia