Sesuatu yang amat menggembirakan apabila melihat keputusan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Mabel Sheela Muttiah yang membawa kepada pengguna (Poratha Corporation Sdn. Bhd.) menang dalam tuntutannya terhadap syarikat kereta (FA Wagen Sdn. Bhd.).
Sejak beberapa tahun lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima beberapa aduan mengenai kereta daripada pemilik kereta berjenama yang baharu dengan pelbagai kecacatan yang tidak seharusnya ada pada kereta baharu. Sebarang usaha dari pihak kami memberikan alasan kepada syarikat kereta dan mengingatkan mereka bahawa tugas mereka adalah menyediakan kereta yang sesuai bagi tujuan (kegunaan) seperti yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan segera ditolak oleh syarikat. Mereka menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang kecacatan dalam pengeluaran memandangkan semuanya mengikut “spesifikasi”, termasuk isu seperti bunyi menggiling dan mencicit yang bukan hanya tidak dapat diperbetulkan tetapi puncanya juga tidak dapat dikenal pasti; dan pengadu hanya perlu terus membawa kereta mereka untuk diservis. Tidak diragui lagi syarikat kereta cuba melepas diri daripada masalah sebaik tempoh jaminan tamat.
Tingkah laku tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh syarikat kereta yang beroperasi di Malaysia amat menakutkan memandangkan ia jelas tidak mempedulikan nyawa manusia. Sebarang kenderaan yang mempunyai kecacatan yang dipandu di atas jalan raya berpotensi meletakkan risiko pada nyawa pemandu dan pengguna jalan raya lain.
Bagi kami, menerima aduan mengenai kereta terutamanya, amat mengecewakan. Mereka yang datang ke CAP kerapkali tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menyaman syarikat kereta di mahkamah, yang dilihat hanya menjadi satu-satunya tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat kereta yang tidak masuk akal. Tindakan Pengurus Poratha Corporation menyaman syarikat kereta merupakan pengecualian yang jarang berlaku. Pengguna sering dibiarkan dengan barang yang rosak yang tidak berani digunakan kerana ia akan membahayakan nyawa mereka.
Sehubungan itu, Hakim Mabel Sheela Muttiah menegaskan Lemon Law adalah amat penting. CAP telah lama menyuarakan supaya diperkenalkan Lemon Law sebagai sebahagian daripada APP 1999. Pada 2018, CAP mengeluarkan kenyataan menjelaskan bagaimana pengenalan Lemon Law akan memberikan manfaat kepada pengguna. Contohnya, jika terdapat kerosakan yang muncul dalam tempoh masa tertentu (Singapura menetapkan 6 bulan pertama dan di Amerika Syarikat tempoh masanya berbeza mengikut negeri) dan tidak boleh dibaiki maka syarikat kereta tidak boleh mendesak tanpa henti agar kereta itu “diservis” tetapi mesti menggantikannya dengan segera.
Kini tiba masanya pihak Kementerian menimbang untuk melaksanakan Lemon Law di Malaysia.