CAP: Amalkan budaya gaya hidup sihat

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia supaya mengamalkan budaya gaya hidup sihat dalam kehidupan mereka dengan menjalankan aktiviti fizikal, pemakanan sihat dan memastikan kesihatan mental terjaga dalam usaha untuk menguatkan imuniti dalam melawan penyakit.

Gesaan ini dibuat sempena dengan Hari Kesihatan Sedunia (WHD), yang diadakan setiap tahun pada 7 April, sebagai memperingati ulang tahun penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1948. Nilai kesihatan yang amat berharga ini disambut pada Hari Kesihatan Sedunia. Diterajui oleh WHO, kesejahteraan fizikal, mental dan emosi digalakkan dan diraikan di seluruh dunia pada hari ini.

Malaysia dianggap negara tidak sihat memandangkan bilangan rakyat yang menghidap penyakit jantung dan kegemukan amat tinggi. Seorang bagi setiap dua orang gemuk dan mempunyai berat berlebihan, manakala seorang bagi setiap empat orang tidak mengamalkan aktiviti fizikal dan hanya seorang bagi setiap 20 orang mengekalkan pemakanan sihat.

Perangkaan menunjukkan 3.6 juta rakyat Malaysia hidup dengan diabetes, angka tertinggi di Asia, manakala 6.1 juta rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi.

Malaysia juga merupakan negara yang rakyatnya paling gemuk di Asia, dengan kira-kira separuh daripada lebih 32 juta penduduknya mengalami berat badan berlebihan atau gemuk.

Diabetes adalah kebimbangan kesihatan awam yang serius. Di seluruh dunia terdapat kecenderungan dalam kelaziman diabetes disebabkan oleh banyak faktor seperti pertambahan penduduk, penuaan, perbandaran dan peningkatan kelaziman kegemukan dan tidak aktif secara fizikal.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, bilangan kes pra diabetes melonjak daripada 8.8 peratus pada 2015 kepada 23.6 peratus pada 2019. Bilangan itu mewakili hampir suku daripada penduduk yang masih belum menghidap diabetes tetapi akan menghidapinya jika tiada tindakan drastik dilakukan untuk menterbalikkan kecenderungan itu.

Kadar kelaziman diabetes di Malaysia telah meningkat dengan begitu cepat sekali berbanding daripada yang dijangkakan, hampir dua kali ganda besarnya sepanjang dekad yang lalu. Diabetes bukan hanya menjejaskan sumber, memandangkan ia adalah penyakit yang menelan kos yang tinggi bagi negara tetapi juga ke atas anggota dan penglihatan penghidapnya.

Menurut perangkaan rasmi, setengah juta orang dewasa mengalami kemurungan.

Tabiat makan yang tidak sihat, peningkatan tahap tekanan, gaya hidup yang tidak aktif dan merokok sebahagian besarnya hasil daripada jadual kerja yang sangat sibuk mempengaruhi ibu bapa yang masih muda terdedah kepada kolesterol tinggi dan penyakit kronik tidak berjangkit (NCD) yang lain.

Senario itu menjadi bukti sekarang ini memandangkan negara kita terus bergelut dengan penyakit jantung yang kini menjadi penyebab utama kematian di negara ini.

Penyakit jantung di Malaysia dalam kalangan golongan muda adalah yang tertinggi berbanding di negara lain di rantau Asia Tenggara.

Mendedahkan implikasi jangka panjang diet yang tidak sihat, pakar kesihatan memberi amaran bahawa bahawa kitaran ganas pengurusan kolesterol yang buruk mungkin membawa kepada daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

Pengguna dinasihatkan supaya meneliti diet, mengawal berat badan, meningkatkan aktiviti fizikal mereka dan mengelakkan daripada menggunakan produk tembakau.

Apabila melibatkan makanan CAP menasihatkan pengguna supaya:

  • Kurangkan makanan berminyak, digoreng dan makanan yang tinggi garamnya.
  • Kurangkan jumlah pengambilan snek, dan sebagai ganti pilihlah pilihan yang lebih sihat seperti buahan segar dan sayuran.
  • Kurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan bergula.
  • Pastikan pengambilan daging proses dan makanan segera pada tahap minimum.

Memandangkan keadaan kesihatan rakyat Malaysia yang amat membimbangkan ini, CAP menggesa kerajaan supaya:

  • Haramkan mesin jualan layan diri di sekolah, hospital dan tempat awam lain.
  • Mendidik rakyat Malaysia mengenai bahaya kegemukan dan diabetes.
  • Makanan tidak sihat yang tinggi kandungan lemak, gula, garam dan bahan penambah seharusnya tidak digalakkan dengan memperkenalkan cukai ke atas makanan seperti itu.
  • Menyediakan kemudahan rekreasi yang mencukupi di semua kawasan perumahan.
  • Mewajibkan pengeluar makanan supaya melabelkan jumlah natrium pada label.
  • Mandat pelabelan yang jelas terhadap kandungan lemak bagi semua makanan termasuk makanan segera.
  • Menjalankan kempen pendidikan bagi ibu bapa dan kanak-kanak mengenai bahaya kegemukan dan diabetes.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Kenyataan Akhbar, 6 April 2023