Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengawal selia Bahan Kimia Pengganggu Endokrin (EDCs) dalam produk yang dijual di negara ini.
Gesaan ini dibuat selaras dengan ujian yang dijalankan ke atas pemadam dan kertas termal dari Malaysia.
Pemadam ini dibeli dari kedai terkenal di Pulau Pinang. Kebanyakan daripada pemadam ini adalah buatan China. Sesetengah pemadam ini mempunyai ciri-ciri khayalan (seperti bentuk lucu, watak kartun dan bau buahan) yang boleh menarik kanak-kanak untuk meletakkannya ke dalam mulut mereka. Kertas termal pula diambil dari pelbagai tempat awam seperti hospital pejabat pos dan kedai runcit termasuk pasar raya, kedai serbaneka, kedai francais tempatan dan luar negara.
Daripada 44 sampel kertas termal yang diserahkan daripada Malaysia, 27 daripadanya mengandungi (Bisphenol A) BPA dan 13 sampel (Bisphenol S) BPS. Dalam kajian ke atas pemadam, daripada 40 sampel yang diuji, ftalat dikesan dalam 26 daripadanya.
Pada masa kini di Malaysia, tidak terdapat standard bagi analog BPA (atau derivatif) dalam kertas termal dan ftalat dalam pemadam.
Kajian dilakukan dengan bantuan Wonjin Institute for Occupational and Environmental Health (WIOEH), dengan sokongan daripada Financial Industry Public Interest Foundation (FIPIF), Korea.
Pihak Yayasan dan Institut menganjurkan bersama Persidangan Asia Bebas EDC pada 31 Mac 2022, untuk mengumumkan hasil ujian bagi kehadiran EDC dalam pemadam dan kertas termal. Mereka mendedahkan bahaya produk dengan toksik EDC kepada kanak-kanak dan orang ramai. Mereka juga menggesa agar kerajaan menggubal undang-undang di negara negara Asia untuk melindungi rakyat mereka. Undang-undang seperti itu sudah pun digubal di Korea dan beberapa negara Eropah.
Persidangan itu dihadiri oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk CAP di Malaysia dan daripada Indonesia, Vietnam, Nepal, Sri Lanka, Bangladesh, Filipina, Jepun dan Korea. NGO tersebut adalah sebahagian daripada pertubuhan dalam International Pollutants Elimination Network (IPEN), rangkaian kerja global bagi dunia bebas toksik.
Menurut laporan, “Plastics, EDCs and Health” yang diterbitkan oleh Endocrine Society dan IPEN, “EDCs dikaitkan dengan gangguan neurologi dan tingkah laku, obesiti dan disfungsi metabolik, gangguan reproduktif, dan kanser sensitif hormon,” menyatakan bahawa “pengeluaran dan penggunaan ftalat adalah kebimbangan kesihatan awam disebabkan oleh beberapa ftalat yang dikenal pasti sebagai EDCs.”
Para pakar memberi amaran bahawa pendedahan kepada EDCs dan kesannya boleh berlaku pada dos yang amat rendah, bawah nilai ambang peraturan yang ditetapkan, dengan terdapat kecenderungan tiada dos ‘selamat’ bagi EDCs.
Jitka Strakova, Penyelidik IPEN memberi amaran bahawa BPA masih meluas penggunaannya memandangkan ia hanya diharamkan dalam beberapa produk di sesetengah negara. Apa yang lebih membimbangkan ialah peningkatan penggunaan bispenol yang sama yang mengancam kesihatan manusia dan alam sekitar.
Strakova menambah bahawa kita perlu mengutamakan penghapusan EDCs yang menjejaskan kebanyakan golongan yang mudah terjejas, terutamanya wanita usia subur, janin belum lahir, dan kanak-kanak.
Memandangkan kesan kesihatan yang dikaitkan dengan EDCs, CAP menggesa pihak berkuasa untuk mengawal selia Bahan Kimia Pengganggu Endokrin (EDCs) dalam produk yang dijual di negara ini. Banyak negara sudah pun mengawal bahan kimia berbahaya ini sejak beberapa tahun yang lalu.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Akhbar, 26hb April 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/