CAP BIMBANG HASIL PADI KADA MEROSOT

Gambar: Utusan Malaysia

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang dihadapi oleh para pesawah di kawsan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka dan pengeluaran beras negara.

Selain infrastruktur menjadi salah satu punca kemerosotan hasil padi di KADA, penyusutan tanah sawah akibat pelaksanaan projek pembangunan dan lain-lain masalah seperti ancaman banjir, kemarau, serangan serangga perosak termasuk tanah sawah jerlus turut menyumbang kepada kekurangan hasil padi di kawasan ini.

Walau pun hasil padi di kawasan tersebut melepasi purata hasil nasional 4.1 tan metrik sehektar, namun KADA masih ketinggalan berbanding hasil negeri Selangor 4.32 tan metrik, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) 4.24 tan metrik dan Pulau Pinang 5.05 tan metrik sehektar.

Masalah sistem pengairan tidak sempurna dan gagal berfungsi dengan berkesan telah menyebabkan beberapa kawasan sawah di KADA terancam. Banyak pokok padi terencat pembesarannya musnah akibat kemarau dan banjir. Pada Mei 2023 seluas 7,800 hektar tanaman padi di kawasan ini terjejas berikutan cuaca panas yang berlaku di Kelantan. Dan pada Disember tahun yang sama KADA turut mengalami kerugian sebanyak RM17 juta akibat kemusnahan pokok padi ditenggelami air ketika banjir.

Pada 2022 berpunca dari masalah sistem saliran juga seluas 1,000 hektar tanah sawah menjadi jerlus dan KADA telah kehilangan hasil padi sebanyak 4,200 tan metrik. Kejadian ini amat membimbangkan CAP dan jika tidak ditangani segera lebih luas tanah sawah di jelapang padi ini tidak dapat diusahakan dan terbiar.

Justeru itu, untuk menyelamatkan masa depan sumber pendapatan dan kehidupan 7,648 pesawah dan mengekalkan 25,149 hektar kawasan sawah di KADA, CAP berharap KPKM mengambil tindakan segera ke atas punca-punca berlakunya masalah tersebut. CAP juga meminta jabatan dan agensi yang terlibat memberi perhatian serius mengenai kesan penggunaan racun perosak serta jentera berat yang boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan tanah sawah.

CAP percaya jika masalah tersebut berterusan bukan saja para pesawah KADA akan mengalami kesempitan hidup malah bekalan makanan untuk rakyat dan sektor pertanian negara juga akan terjejas.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden  
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 13 Mac 2024