Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan penduduk-penduduk yang tinggal berhampiran kawasan perindustrian di Sungai Petani,Daerah Kuala Muda, Kedah membantah tindakan pengusaha kilang sisa plastik termasuk yang beroperasi secara haram kerana menyebabkan berlakunya pencemaran udara yang serius sejak setahun lalu.
Berikutan kejadian itu CAP telah menghantar surat bersama 3300 tandatangan penduduk-penduduk yang terlibat kepada Menteri Tenaga,Sains,Teknologi,Alam Sekitar dan Perubahan Iklim YB Yeo Bee Yin menggesa masalah ini diberi perhatian serius dan diambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran yang timbul.
Antara tempat dan taman perumahan yang terjejas akibat pencemaran tersebut ialah Bandar Seri Astana,Taman Ria Jaya,Taman Petani Jaya,Taman Sejahtera,Taman Berangan,Taman Seri Wang,Taman Intan,Taman Nilam,Cinta Sayang Resort Homes,Resort Villas, Taman Seraya dan Taman Keladi.
Dalam tinjauan yang dibuat CAP bersama Persatuan Tindakan Alam Sekitar (PTAS) Sungai Petani, difahamkan bahawa masalah ini telah dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) di samping protes secara aman oleh penduduk terbabit tetapi sehingga kini tidak ada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkenaan untuk membendung pencemaran yang timbul.
Masalah ini bukan saja menjejaskan keselesaan kehidupan seharian penduduk malah ramai yang mengalami batuk,selsema,sesak nafas,sakit mata dan gatal kulit. Keadaan menjadi lebih serius kerana pengusaha kilang sisa plastikyang juga mengendalikan sisa import kerap menjalankan operasi termasuk pembakaran pada waktu malam termasuk di lokasi pembuangan sampah secara haram di daerah itu.
CAP amat kesal dengan perbuatan tersebut kerana ia bukan saja melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 malah mencemarkan alam sekitar dan mengancam kehidupan serta kesihatan awam. Masalah ini akan menjadi lebih teruk lagi pada masa akan datang jika pihak yang bertanggungjawab terus memandang ringan terhadap aduan pencemaran ini.
CAP mendapati isu lambakan sisa plastik import dan masalah pencemaran alam sekitar yang berlaku gagal diambil tindakan berkesan oleh pihak kerajaan maka sewajarnya permit import yang dikeluarkan kepada syarikat-syarikat kitar semula plastik oleh Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN) dibatalkan segera.
Kenyataan Media, 19 Jun 2019