Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengeluarkan piawaian keselamatan mandatori bagi tong gas memasak. Gesaan itu dibuat sebagai reaksi terhadap banyak kecederaan dan kematian yang berlaku akibat letupan yang disebabkan oleh tong gas memasak.
Yang terbaharu berlaku pada malam Ahad lalu (30 Julai), apabila sepasang suami isteri dari Johor, cedera dalam letupan tong gas memasak.
Berikut ialah senarai kemalangan dan kematian tong gas memasak yang berlaku selama ini:
- Pada Mac 2023, rancangan untuk bersahur (makan sebelum subuh) bagi sepasang suami isteri musnah selepas tong gas meletup di rumah mereka di pantai timur daerah Tawau di Sabah, letupan itu menyebabkan kerosakan besar pada rumah mereka.
- Pada Februari 2023, seorang wanita maut selepas cedera parah dalam satu letupan yang melibatkan tong gas memasak di rumahnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
- Pada Disember 2022, seorang wanita melecur teruk di badannya selepas tong gas meletup di rumahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Dalam kejadian itu, mangsa hendak menyalakan api apabila tong gas itu tiba-tiba meletup.
- Pada Mei 2022, lima sekeluarga mengalami kecederaan dalam letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran tong gas memasak di rumah mereka di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
- Pada Ogos 2021, seorang doktor meninggal dunia selepas tiga minggu berada di hospital berikutan letupan akibat kebocoran gas di rumahnya di Pulau Pinang.
- Pada Mei 2021, seorang lelaki maut apabila tangki gas di sebuah bengkel meletup di Pantai Remis, Perak.
- Pada September 2017, lapan pekerja asing cedera apabila tong gas memasak meletup di gudang di Subang, Kuala Lumpur.
- Pada November 2014, seorang wanita yang terlibat dalam letupan tangki gas memasak di Klang, meninggal dunia selepas 8 hari berada di hospital.
Walaupun jumlahnya mungkin kelihatan kecil, kerosakan dan korban yang tidak boleh diperbaiki akibat kebakaran ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila kejadian sebegitu mudah berlaku kepada mana-mana rumah atau bangunan komersial, lebih cepat daripada yang dapat difikirkan.
Menurut seorang doktor, letupan gas kini merupakan salah satu penyebab utama kemasukan ke unit rawatan kebakaran di negara ini, dan berikutan kerumitan serta keterukan kes-kes seumpamanya, majoriti mangsa perlu dirawat di hospital kerajaan, yang memerlukan penjagaan rapi. Kadar kematian amat tinggi, dan secara kasar sepadan dengan bahagian permukaan tubuh yang melecur. Misalnya jika 80% tubuh melecur maka kadar kematian adalah setinggi 80%.
Dalam sebahagian besar kes, jika pesakit mampu bertahan dalam tempoh 24 jam yang pertama, mereka akan mengalami komplikasi, jangkitan dan kegagalan organ yang kesemuanya menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi itu.
Dalam kes-kes di mana mangsa terselamat, rawatan di hospital seringkali berlanjutan hingga 6 bulan atau lebih lama dengan tempoh pemulihan yang panjang selepas keluar dari hospital. Sekiranya mereka mampu kembali bertugas, ia juga memakan masa yang lama.
Gas memasak tidak berbau tetapi ‘mercaptan’ (bahan berbau tengik) dicampurkan kepadanya agar mudah dikesan jika berlaku kebocoran. Ketika letupan gas berlaku, kebocoran boleh berlaku pada injap tong gas ataupun dalam hos getah penyambung, atau pada injap ketuhar. Setiap jenis kebocoran perlu dikendalikan dengan cara yang berbeza.
Hampir setiap rumah di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu dapur yang menggunakan gas (dalam tong) untuk memasak. Sungguhpun ia digunakan selama lebih 50 tahun di Malaysia, tidak banyak maklumat dan pendidikan yang ada bagi membolehkan pengguna arif mengenai kegunaan dan penyelenggaraan tong gas memasak. Sementara itu, banyak tong gas yang digunakan sudah lama, berkarat dan tidak diselenggara dengan sempurna.
Sehubungan dengan bahaya letupan tong gas, CAP menggesa pihak berkuasa agar:
- Mewajibkan tong gas meletakkan tarikh luput bagi tong, injap, hos dan regulator gas;
- Memeriksa dengan kerap tong gas yang digunakan;
- Memastikan semua alat termasuk gelang getah mematuhi piawaian;
- Menubuhkan sebuah badan untuk menguji tong gas dan alatan yang berkaitan;
- Menubuhkan sebuah badan pengawal bagi industri gas memasak;
- Mewajibkan gerai penjaja dan tempat makan mempunyai alat pemadam kebakaran;
- Menggalakkan kesedaran mengenai keselamatan gas.
Sementara itu pengguna dinasihatkan agar:
- Memastikan dapur mereka sentiasa bersih kerana permukaan yang berminyak boleh menyebabkan api mudah menyambar.
- Periksa keadaan tong gas sebelum menggunakannya. Perhatikan penutup getah di sebelah dalam kepala tong gas (selepas tudungnya dibuka). Penutup itu menghalang kebocoran apabila regulator gas dimasukkan.
- Gantikan hos dan klip setiap dua tahun dan regulator gas setiap lima tahun.
- Elakkan cecair melimpah daripada periuk. Sup atau kuah yang tumpah boleh masuk ke dalam/menghalang lubang api gas.
- Pastikan dapur atau ruang memasak mempunyai pengudaraan yang baik.
- Jangan meletakkan benda berat seperti buku di atas regulator gas jika gas tidak dilepaskan. Jika perkara ini berlaku, sudah tiba masanya untuk menukar regulator gas.
- Jika anda terbau gas, matikan sumber gas dan JANGAN HIDUPKAN peralatan elektrik. Ini dapat mencegah percikan elektrik yang boleh menyebabkan gas terbakar atau mengakibatkan letupan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Surat Kepada Pengarang, 16 August 2023