CAP GESA PENCEMARAN SISA LUMPUR DI KUALA JURU DITANGANI SEGERA

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan Pulau Pinang menyiasat dan mengambil tindakan segera punca kejadian pencemaran sisa lumpur yang mengancam projek ternakan kerang di Kuala Juru daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Tinjauan CAP mendapati pencemaran tersebut telah menyebabkan 15 pengusaha ternakan kerang di sini mengalami kerugian RM700,000 setelah kerang yang diternak di kawasan seluas 28 hektar di muara sungai di sini mati akibat masalah itu.

Timbunan Kulit Kerang yang Mati di Pangkalan Unit B, Kuala Juru.
Bahari Edin, Ketua Unit B, Persatuan Nelayan Kuala Juru – Menunjukkan Gambar Kerang yang Mati Pada Hari Kejadian 12 Mac 2021.

CAP difahamkan oleh Ketua Unit B Persatuan Nelayan Kuala Juru, Bahari Edin, 74, pencemaran sisa lumpur ini berlaku disyaki berpunca daripada kerja-kerja bagi mendalamkan Sungai Juru oleh sebuah syarikat di kawasan berkenaan.

Lumpur yang dikorek sepatutnya dibuang di kawasan lain tetapi syarikat terbabit telah membuang bahan itu di lokasi yang sama menyebabkan ia mengancam kerang ternakan mereka.

Beliau memberitahu, kerang yang mati akibat pencemaran ini berusia setahun dan sudah boleh dipasarkan. Sebelum ancaman Covid-19, hasil ternakan mereka dieksport ke Thailand, Vietnam dan Kemboja tetapi selepas itu hanya dijual di pasaran tempatan.

Beliau merasa kesal kerana pihak yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek itu tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Jika pencemaran ini tidak berlaku mereka memperolehi pendapatan lebih kurang RM45,000 dalam jangka masa 10 hari tetapi pada hari kejadian mereka hanya mendapat RM32.00 sahaja dan sekarang tidak mendapat sebarang hasil kerana semua kerang yang diternak telah mati.

CAP meminta pihak berkenaan menjalankan siasatan secara menyeluruh punca kejadian ini dan hasil ujian sampel air yang dicemari lumpur dan kerang yang mati perlu didedahkan kepada umum terutama sekali pengusaha-pengusaha yang terlibat dengan ancaman pencemaran tersebut.

Pihak yang dikenal pasti menjadi punca pencemaran ini berlaku dan ternakan kerang mati perlu membayar pampasan kepada pengusaha yang terlibat setimpal dengan kerugian yang mereka alami.

CAP bimbang dengan masalah ini kerana ia bukan saja menjejaskan pendapatan para pengusaha ternakan kerang di sini tetapi juga sumber bekalan makanan untuk pengguna dan masa depan ekonomi negara.

 

Kenyataan Media, 24 Mac 2021