CAP Gesa Pertimbangan Berhati-hati Terhadap Penggunaan Tenaga Solar di Malaysia

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan semua aspek penggunaan tenaga solar dengan berhati-hati. Dalam memorandum terbaharu kami yang diserahkan kepada agensi berkaitan pada 23 Mei 2024, kami telah menggariskan manfaat, cabaran dan syor utama bagi peralihan tenaga ke arah tenaga solar. Objektif kami adalah untuk memastikan bahawa keputusan yang bermaklumat dibuat, dengan mengutamakan kemampanan jangka panjang dan kesejahteraan negara dan rakyatnya.

Manfaat Tenaga Solar

1. Boleh Diperbaharui dan Mampan: Tenaga solar banyak dan tidak habis-habis. Lokasi strategik Malaysia berhampiran Khatulistiwa menyediakan kapasiti tenaga solar yang tinggi, menjadikannya sumber tenaga jangka panjang yang boleh dipercayai.
2. Mesra Alam: Pengeluaran tenaga solar melibatkan pelepasan gas rumah hijau yang minimum, membantu memerangi perubahan iklim dan mengurangkan pencemaran udara berbanding penjanaan kuasa berasaskan bahan api fosil.
3. Penciptaan Pekerjaan: Pengembangan industri solar menjana peluang pekerjaan yang ketara merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, pemasangan, penyelenggaraan dan penyelidikan serta pembangunan.

Cabaran Tenaga Solar

1. Kos Permulaan yang Tinggi: Pelaburan awal bagi membeli dan memasang panel solar serta peralatan berkaitan boleh menjadi penghalang bagi kebanyakan pemilik rumah dan perniagaan.
2. Had Ruang: Pemasangan solar memerlukan ruang yang besar, yang boleh menjadi satu cabaran di kawasan berpenduduk padat atau tempat teduh.
3. Kesan Alam Sekitar Daripada Pengilangan dan Pelupusan: Pengeluaran dan pelupusan panel solar melibatkan bahan berbahaya, mendedahkan potensi risiko alam sekitar dan kesihatan tanpa dasar pengurusan sisa yang betul.
4. Bahaya Kebakaran dan Larut Resap dari Tapak Pelupusan: Bateri litium-ion mempunyai potensi tinggi untuk terbakar apabila terdedah kepada haba dan lembapan, atau dihancurkan. Pelupusan bateri litium-ion yang tidak sesuai menyebabkan banyak bahaya kebakaran di tapak pelupusan sampah dan kemudahan kitar semula bateri.

Cadangan Utama

1. Insentif Pelaburan: Menyediakan insentif kewangan seperti kredit cukai, rebat, subsidi, dan pinjaman dengan kadar faedah rendah untuk menggalakkan penggunaan meluas sistem tenaga solar.
2. Mewujudkan Dasar yang Jelas Terhadap Pengurusan Sisa: Loji kitar semula yang khusus untuk pengurusan sisa yang selamat bagi panel solar diperlukan untuk mengurangkan kesan alam sekitar dan menggalakkan amalan ekonomi sirkular. Oleh itu, dasar dan peraturan yang jelas diperlukan untuk memastikan pengendalian dan pelupusan sisa fotovoltaik yang betul, menggalakkan pematuhan seluruh industri terhadap piawaian kitar semula.
3. Perkhidmatan Sehenti: Mewujudkan platform berpusat bagi perkhidmatan tenaga solar untuk menyelaraskan seluruh proses daripada pengumpulan maklumat kepada pemasangan, penyelenggaraan dan pengurusan sisa, memastikan pengalaman yang lancar bagi pengguna.
4. Menyebarkan Maklumat dan Kempen Kesedaran: Menjalankan kempen maklumat dan kesedaran yang komprehensif untuk mendidik orang ramai tentang faedah tenaga suria dan insentif yang tersedia, memperkasakan pembuatan keputusan yang bermaklumat.
5. Pembiayaan di Kawasan Luar Bandar dan Komuniti Miskin Bandar: Memperuntukkan dana untuk menyokong pemasangan tenaga solar di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, menggalakkan pembangunan mampan dalam komuniti setempat mereka.

CAP menekankan kepentingan pendekatan yang seimbang dalam mempertimbangkan penggunaan tenaga solar. Dengan memperimbangkan manfaat dan cabaran serta melaksanakan cadangan kami, kerajaan boleh memastikan peralihan tenaga yang berjaya dan adil. Kami menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan tegas, memupuk masa depan tenaga yang lebih bersih dan berdaya tahan bagi Malaysia.

Klik di sini untuk memorandum: https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2024/06/6-Jun-2024-Memorandum-Peralihan-Tenaga.pdf

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)