Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia supaya menghentikan segera import lembu hidup dari Thailand.
Gesaan ini dibuat sebagai tindak balas kepada laporan media dari Thailand bahawa terdapat wabak penyakit kulit berbonjol (lumpy skin disease) dalam kalangan lembu yang diternak dalam kandang. Menurut laporan tersebut lebih daripada 6,700 ekor lembu dan kerbau di 35 wilayah di Thailand terjejas.
Penyakit kulit berbonjol adalah penyakit berjangkit dalam kalangan lembu dan kerbau yang disebabkan oleh virus. Penyakit ini menunjukkan gejala-gejala seperti demam, kelenjar limfa yang membesar dan bintil berganda pada kulit dan membran mukus.
Walaupun penyakit ini tidak menjejaskan manusia, penyakit kulit berbonjol merupakan salah satu alasan yang paling ketara bagi pengharaman eksport daging di Eropah dan Amerika Syarikat. Penyakit itu menyebabkan kerugian pengeluaran yang teruk kepada ladang daging dan tenusu. Petani mengalami kerugian besar akibat kos pengurusan dan rawatan.
Memandangkan rakyat Malaysia akan menyambut Aidil Adha* pada Julai ini, haiwan hidup seperti lembu dan kerbau akan diimport ke negara ini untuk sambutan perayaan ini.
Kerana Thailand merupakan negara jiran kita maka penyakit itu dengan mudah boleh berjangkit memandangkan ia disebarkan melalui nyamuk, lalat dan kutu.
Sehubungan itu, CAP menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia supaya dengan segera:
- Menghentikan import lembu dan kerbau hidup dari Thailand.
- Menjalankan siasatan untuk memastikan penyakit ini tidak menjejaskan lembu dan kerbau tempatan kita.
*Aidil Adha adalah perayaan Islam bagi memperingati kepatuhan Nabi Ibrahim AS menurut perintah Allah SWT untuk mengorbankan anaknya. Umat Islam di seluruh dunia menyambutnya sebagai “Peristiwa Korban”. Dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban di Malaysia, Aidil Adha merupakan salah satu peristiwa paling penting dalam Kalendar Islam. Menurut tradisi dalam Islam, ia memberi penghormatan kepada kepatuhan Nabi Ibrahim AS untuk mengorbankan anaknya, Ismail AS dan sebagai tindakan patuh kepada perintah Allah SWT dan dengan belas kasihan Allah SWT menggantikannya dengan seekor kibas di tempat Ismail AS pada saat-saat akhir. “Umat Islam percaya bahawa pada saat Nabi Ibrahim AS meletakkan pisau pada leher anaknya, Allah SWT memerintahkannya supaya berhenti, dengan menyatakan beliau telah berjaya dalam ujian itu dan menggantikan tempat Ismail AS itu dengan seekor kibas untuk dikorbankan.” Umat Islam akan mengorbankan lembu, kambing, biri-biri sebagai mengingati pengabdian Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT dan selepas itu mengedarkan daging kepada keluarga dan jiran serta mereka yang memerlukan.
Kenyataan Akhbar, 1hb Jun 2021