CAP Kecewa Dengan Perobohan Runnymede

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan perobohan bangunan sampingan di dalam kawasan hartanah Runnymede di Pulau Pinang. Kami keliru kerana menurut maklumat laman sesawang One Stop Centre (Pusat Sehenti), permohonan kebenaran merancang oleh pemaju Warisan Pinang Sdn. Bhd., iaitu MBPP/OSC/PM2798/15 telah “batal” dan keputusan itu dibuat pada 24 November 2015.

Kami tidak pasti sama ada pemaju telah mengemukakan semula permohonan dan kemudiannya diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang memandangkan tidak terdapat kemaskini di dalam laman sesawang. Walau bagaimanapun, satu perkara yang perlu dipertimbangkan ialah permohonan projek termasuk pembinaan satu blok pangsapuri 61 tingkat, satu blok menara hotel 31 tingkat, satu blok menara perniagaan dan pejabat 12 tingkat, dan pemuliharaan bangunan sedia ada Runnymede.

Adakah ini bermakna pihak pemaju kini dibenarkan untuk meneruskan dengan semua pembangunan ini? Apakah yang telah berlaku kepada garis panduan yang mengehadkan ketinggian bangunan di kawasan tapak warisan? Apakah daya tampung kawasan ini, apakah justifikasi untuk tambahan bangunan komersial dan apakah pengurusan trafik di kawasan yang sesak?

Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia Georgetown menyatakan bahawa “peningkatan dalam ketinggian semua bangunan warisan di dalam Tapak Warisan Dunia (Kategori II) dan ketinggian yang dibenarkan bagi tapak Infill and Replacement dibina kepada maksimum 18 meter daripada paras tanah kepada bumbung cucur atap”.  Seterusnya dinyatakan bahawa “kawalan ketinggian adalah langkah yang sewajarnya untuk memastikan kepentingan melindungi vista, townscape dan streetscape bersejarah yang tidak boleh dikompromikan”.

Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menjelaskan perobohan dan kelulusan yang telah diberikan. Apakah tindakan yang akan diambil terhadap pemaju? Sekadar mengenakan denda yang tidak seberapa seperti mana dalam kes Bukit Botak (Relau) adalah tidak bermakna.

Di samping memulihara warisan fizikal kita, Kerajaan Negeri perlu memastikan bahawa warisan semula jadi Pulau Pinang juga turut dilindungi dan tidak sekali-kali tunduk kepada pemaju.Nampaknya tiada apa yang dibiarkan di Pulau Pinang, dari bukit ke laut dan kini bangunan warisan.  Seolah-olah tiada had kepada perancangan dan kelulusan yang diberikan, dan pemaju mendapat manfaat paling besar dalam arus pembangunan yang dikejari.

 

Kenyataan Akhbar,  11 Februari 2016