CAP Kemukakan Memorandum Menggesa Peraturan bagi Plumbum dalam Cat

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyerahkan satu memorandum bertarikh 8 Disember 2020 kepada kerajaan Malaysia dengan menggesa penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang berhubung cat berplumbum.

Sudah diketahui umum bahawa plumbum mampu meracuni hampir kesemua sistem tubuh, lebih-lebih lagi boleh memudaratkan kanak-kanak dan wanita hamil. Tidak ada paras selamat bagi pendedahan kepada plumbum; justeru langkah-langkah perlu diambil untuk meminimumkan pendedahan kepadanya.

Cat berplumbum merupakan sumber pendedahan kepada plumbum yang boleh dielakkan. Salah satu cara yang penting untuk mengelak pendedahan kepadanya ialah dengan negara-negara memperkenalkan langkah-langkah peraturan dari segi undang-undang yang melarang penambahan plumbum ke dalam cat.

Kajian mengenai kandungan plumbum dalam cat di pasaran di lebih 60 negara menunjukkan di mana ketiadaan undang-undang berhubung plumbum dalam cat, didapati cat dengan paras plumbum yang tinggi dijual kepada pengguna. Analisis CAP mengenai kandungan plumbum dalam cat sejak berdekad mengesan plumbum dalam cat, di mana sesetengahnya dalam kepekatan yang tinggi.

Di Malaysia, setakat ini belum ada peraturan yang mengehadkan kandungan plumbum dalam cat untuk isirumah, hiasan dan cat kegunaan industri. Pada ketika ini kita hanya mempunyai piawaian keselamatan mandatori yang menetapkan paras maksimum plumbum dalam cat tidak melebihi 90 bahagian per sejuta (bps) dalam alat permainan kanak-kanak di bawah 14 tahun. Piawaian ini tidak mencukupi untuk mengelak pendedahan kepada plumbum.

Usaha mengurangkan kesan buruk cat berplumbum ke atas kesihatan bermakna kita perlu mengawal pendedahan kepadanya. Pengharaman ke atas pembuatan, pengimportan, penjualan dan pengedaran cat berplumbum  amat diperlukan. Langkah mengurangkan risiko pendedahan kepada plumbum adalah lebih menjimatkan kos berbanding dengan sebarang rawatan pemulihan kesan keracunannya.

Senaskah memorandum telah dikemukakan kepada pihak berkuasa termasuk Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Standard Malaysia, menggesa penggubalan peraturan mengenai plumbum dalam cat.  Memorandum ini menggariskan bahaya plumbum, kesan keracunan plumbum, hasil kajian kandungan plumbum dalam cat di Malaysia dan melampirkan dokumen panduan yang dirangka oleh Global Alliance to Eliminate Lead Paint (Lead Paint Alliance) untuk mendraf undang-undang berkaitan cat berplumbum.

Memandangkan langkah menyingkirkan plumbum dalam cat semakin meningkat di seluruh dunia, CAP menggesa kerajaan Malaysia agar mempercepatkan penggubalan peraturan, meningkatkan kesedaran awam, membantu industri cat dalam peralihan untuk mengeluarkan cat tanpa plumbum dan menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Haramkan Cat Berplumbum demi Masa Depan yang Sihat!

 

Kenyataan Akhbar, 14 Disember 2020

Muat turun memorandum di sini