Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi oleh petani-petani yang menyertai projek Mini Estet di Kampung Baru, Padang Sanai daerah Padang Terap di sini.
Petani-petani telah mengalami kerugian beribu ringgit pada musim menuai baru-baru ini kerana kemerosotan hasil padi. Selain hasil pendapatan terjejas teruk, ada kalangan petani di sini terpaksa meninggalkan tanah sawah mereka kerana tidak mampu berusaha bagi menangani masalah tersebut.
Di samping bekalan air yang tidak mencukupi, petani-petani di sini juga menghadapi masalah sistem saliran yang tidak sempurna dan ancaman rumput sambau yang serius.
Mengulas laporan akhbar tempatan (Sinar Harian: 28 September 2016) mengenai perkara ini, CAP kesal dan bimbang dengan keadaan tersebut dan berharap jabatan terbabit mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh petani-petani di kampung berkenaan.
CAP berpendapat kejadian ini tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkenaan perlu menyediakan kemudahan asas yang lengkap kerana sawah yang terlibat merupakan kawasan projek Mini Estet.
CAP percaya jika punca masalah yang berlaku ini tidak ditangani segera bukan saja para peserta projek Mini Estet di kampung tersebut sahaja akan mengalami kerugian besar, malah tanah sawah dan pengeluaran padi di negeri jelapang padi ini juga akan terjejas serta berkurangan pada masa akan datang.
Tinjauan CAP mendapati berbagai masalah berlaku di kawasan sawah di Kedah termasuk di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sehingga menjejaskan hasil padi dan sumber pendapatan petani-petani di sini.
Selain bekalan air yang tidak mencukupi dan keadaan sistem saliran yang tidak sempurna, petani-petani di negeri ini juga sering menghadapi masalah tanah sawah jerlus dan ancaman makhluk perosak yang semakin serius. Walaupun masalah-masalah ini sudah lama berlaku namun ia gagal ditangani dengan berkesan.
Kenyataan Media, 4 Oktober 2016