CAP kesal kejadian pencerobohan bot Pukat Tunda di perairan Pulau Tenggol

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan Terengganu dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan aktiviti pencerobohan oleh bot-bot pukat tunda di perairan Pulau Tenggol, Dungun, ditangani dengan berkesan.

Mengulas isu tersebut berikutan laporan akhbar Utusan Malaysia, 21 Oktober 2021, CAP kesal walau pun kejadian ini sudah lama berlaku namun ia masih berlarutan hingga sekarang.

Masalah yang melibatkan nelayan tempatan dan asing ini bukan saja merosakkan terumbu karang di perairan pulau tersebut tetapi juga akan memusnahkan benih hidupan laut dan boleh mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang.

Justeru itu CAP menggesa pihak berkuasa berkenaan mengawal keadaan ini dengan berkesan di samping menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994) dengan tegas.

Di bawah akta tersebut, mana-mana individu yang melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan larangan Taman Laut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

CAP turut meminta Jabatan Perikanan dan APMM mendedahkan hasil siasatan mengenai masalah ini kepada umum dan tindakan yang diambil bagi membenteras aktiviti haram itu dari berterusan.

 

Kenyataan Media,  21 Oktober 2021