
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan jabatan yang terlibat mengambil tindakan lebih berkesan dalam usaha mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda negeri ini.
CAP kesal walau pun kejadian tersebut berulang kali berlaku sejak beberapa tahun yang lalu namun masalah ini masih berlarutan hingga sekarang semakin serius.
Baru-baru ini lebih kurang 10 kawasan melibatkan taman perumahan dan kampung di sini telah diancam banjir kilat dan menjejaskan kehidupan ribuan penduduk termasuk para pengguna jalan.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati kemungkinan punca kejadian ini akibat dari pelaksanaan projek pembangunan di tanah tinggi dan kemusnahan hutan semulajadi yang menjadi tempat tadahan air ketika hujan.
Selain itu, sistem saliran yang sempit dan tidak diuruskan dengan baik menyebabkan ia tidak mampu menampung pengaliran air ketika hujan dari bukit-bukit yang diteroka dan tersekat oleh mendapan lumpur dan sampah sarap.
Masalah ini menjadi bertambah buruk kerana sistem saliran dan sungai gagal berfungsi dengan berkesan. Parit serta longkang dipenuhi semak samun dan berbagai bahan buangan manakala sungai dan muara sungai menjadi cetek akibat hakisan tanah.
CAP percaya jika punca-punca tersebut dibiarkan ia bukan saja menjejaskan aktiviti harian dan ekonomi penduduk setempat malah boleh mengancam keselamatan mereka serta mengalami kerugian yang besar akibat kerosakan harta benda .
Justeru itu, CAP berharap kerajaan Pulau Pinang tidak membenarkan pemaju sewenang-wenangnya memusnahkan hutan dan meneroka bukit bukau di negeri ini tanpa mengambil kira kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.
CAP berpendapat, demi masa depan yang lebih selamat dari sebarang bencana projek pembangunan yang boleh menyumbang kepada kejadian banjir kilat dan mengancam alam sekitar negeri ini wajar dikaji semula dan dihentikan pelaksanaannya dengan segera.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Media, 21 Julai 2023