CAP KESAL SUMBER PERIKANAN NEGARA TERUS DIROMPAK NELAYAN ASING

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempertingkatkan usaha bagi mencegah aktiviti pencerobohan nelayan asing ke perairan negara ini.

Langkah sedemikian perlu dilakukan segera bukan saja bagi mengawal sumber perikanan di perairan negara ini dicuri oleh nelayan asing tetapi juga untuk meningkatkan hasil pendapatan nelayan tempatan dan mengekalkan sumber itu untuk keperluan rakyat keseluruhannya.

Mengulas laporan akhbar tempatan hari ini (Berita Harian, 14 April 2021) bertajuk “RM4.25 bilion hasil laut negara ‘dirompak’ nelayan asing, CAP bimbang dengan kejadian tersebut dan jika dibiarkan ia boleh menjejaskan ekonomi negara dan menggugat sektor perikanan pada masa akan datang.

Jabatan Perikanan Malaysia menyifatkan perbuatan nelayan asing menceroboh dan merompak hasil laut negara kini berada pada tahap kritikal. Ketua Pengarahnya Ahmad Tarmidzi Ramly berkata, nilai kehilangan sumber perikanan negara ini diperolehi berdasarkan kaji selidik yang dilakukan terhadap tangkapan kapal nelayan asing dan hasil rampasan dari bot mereka.

CAP merasa kesal walaupun masalah ini sudah lama berlaku dan beberapa gesaan telah dibuat oleh CAP agar tindakan tegas diambil ke atas bot-bot nelayan asing yang terlibat namun hingga sekarang kejadian itu gagal ditangani dengan berkesan.

Di bawah undang-undang Malaysia, bot dan kapal asing yang menceroboh perairan negara boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap pemilik bot dan denda RM100,000 bagi setiap anak kapal jika disabitkan kesalahan.

Di samping itu, CAP turut mendesak supaya bot nelayan asing yang terlibat dan peralatan mereka dirampas dan dimusnahkan.

Berhubung laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini (14 April 2021) mengenai peningkatan harga ikan yang berlaku, CAP menggesa Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) segera menyiasat punca berlakunya perkara itu.

Harga ikan kembung atau ikan rakyat antara RM22 hingga RM25 sekilogram berbanding RM20 hingga RM23 sekilogram sebelum ini. Kerisi RM15 hingga RM18 sekilogram berbanding RM12 hingga RM15 sebelum ini. CAP menegaskan, peranan orang tengah perlu diberi perhatian serius dan ditangani segera agar harga ikan tidak menjadi terlalu mahal dan membebankan pengguna.

CAP percaya jika tindakan tegas tidak diambil oleh pihak kerajaan terhadap aktiviti pencerobohan nelayan asing dan nelayan tempatan yang menggunakan pukat tunda sumber perikanan negara akan mengalami kepupusan pada masa akan datang.

CAP meminta pihak berkenaan menyiasat perkara ini dan mengumumkan hasil siasatan tersebut kepada orang ramai punca-punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak beberapa jenis ikan di pasaran ketika ini.

 

Kenyataan Media, 14 April 2021